HomeKomunitiPRU15: Golongan muda bakal mengundi buat pertama kali, ini 10 langkah membuang...

PRU15: Golongan muda bakal mengundi buat pertama kali, ini 10 langkah membuang undi yang perlu dipatuhi

Bagi mereka yang baru pertama kali mengundi terutamanya golongan muda berusia 18 hingga 20 tahun pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), sudah pasti persoalan, apa yang perlu dilakukan ketika hari mengundi Sabtu ini menjadi tanda tanya.

Hakikatnya, proses membuang undi di lokasi mengundi mempunyai peraturan tersendiri yang harus dipatuhi semua pengundi.

Bagi memastikan proses pengundian berjalan lancar, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerusi satu infografik yang dimuat naik di laman Twitter baru-baru ini telah memperincikan 10 langkah pengundian semasa hari mengundi.

Berikut merupakan 10 langkah pengundian yang dikongsikan SPR

1. Masuk bilik undi – Anda boleh masuk apabila dibenarkan oleh anggota polis yang bertugas mengawal selia pintu masuk di bilik undi.

2. Serah Mykad – Serahkan Mykad atau dokumen pengenalan diri dan slip semakan (jika ada) kepada Kerani Pengundian Pertama. Tunjukkan kedua-dua belah tangan untuk diperiksa.

3. Semakan Mykad – Kerani pengundian pertama akan memberikan Mykad atau dokumen pengenalan diri pengundi kepada kerani pengundian kedua untuk pengesahan. Pastikan nombor kad pengenalan dan nama anda yang disebut oleh kerani pengundian pertama adalah tepat.

4. Celup jari – Bergerak ke hadapan kerani pengundian kedua. Celupkan jari telunjuk tangan kiri ke dalam botol dakwat pilihan raya apabila diminta oleh kerani pengundian kedua.

5. Kertas Undi – Anda akan menerima kertas undi daripada kerani pengundian ketiga.

6. Tinggalkan telefon – Anda akan bergerak ke meja Ketua Tempat Mengundi (KTM) untuk meninggalkan telefon bimbit/pintar.

7. Pilih calon – Bergerak ke petak undi dan tandakan ‘X’ pada ruang kosong bersebelahan dengan nama dan simbol calon dalam kertas undi dengan menggunakan pen. Anda hanya boleh pilih satu calon sahaja.

8. Peti Undi – Masukkan semula kertas undi tadi ke dalam peti undi yang betul.

9. Ambil semula telefon – Bergerak ke meja KTM sekali lagi untuk mengambil semula telefon bimbit/pintar yang diletakkan tadi.

10. Beredar- Segera tinggalkan tempat mengundi setelah selesai mengundi.

Sehubungan itu, Sinar Bestari berharap perkongsian ini dapat membantu semua pengundi untuk melakukan pengundian dengan lancar pada hari kejadian.

Sumber: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR)

Artikel berkaitan

PRU15: Pelajar IPTA tuntut kestabilan ekonomi, kebebasan berpolitik

PRU15: Etika pemakaian ketika mengundi, ini yang perlu guru dan mahasiswa ambil tahu

PRU15: Mudah dan pantas! Ini caranya menyemak tempat mengundi bagi guru dan mahasiswa


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok