WhatsApp Image 2022-11-16 at 2.39.28 PM
WhatsApp Image 2022-11-16 at 2.39.28 PM

PRU15: Pelajar IPTA tuntut kestabilan ekonomi, kebebasan berpolitik

Adlan Farhan Azwan
17 Nov 2022 12:02pm
A
A
A

Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang bakal berlangsung pada Sabtu ini menyaksikan pengundi berumur 18 hingga 20 tahun buat pertama kali dalam sejarah negara akan melaksanakan tanggungjawab membuang undi.

Golongan ini juga dikatakan akan menjadi penentu hala tuju politik negara berdasarkan jumlah mereka yang mampu memberikan kesan kepada setiap calon yang bertanding.

Menurut pelajar Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Mekanikal (Teknologi Penyelenggaraan), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Muhammad Sharul Rizal Saripuzan, 20, PRU15 merupakan detik bersejarah buatnya yang bakal melaksanakan pengundian buat pertama kali.

Pelajar Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Mekanikal (Teknologi Penyelenggaraan) UTeM, Muhammad Shahrul Rizal Saripuzan.

Jelasnya, untuk PRU kali ini, mana-mana parti yang peroleh kemenangan untuk membentuk sebuah kerajaan perlulah mengembalikan semula kestabilan ekonomi negara yang sebelum ini merudum akibat pandemik Covid-19.

“Saban hari kita dapat lihat nilai mata wang negara semakin menurun dan ini akan menyukarkan kami sebagai pelajar IPT untuk memulakan alam pekerjaan di pelbagai sektor tidak lama lagi.

“Justeru, kestabilan ekonomi perlu menjadi keutamaan kerajaan agar negara dapat bergerak ke arah yang lebih maju,” katanya kepada Sinar Bestari, hari ini.

Dalam pada itu, pelajar Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal, Universiti Malaysia Pahang (UMP), Badrul Amin Badrul Hisham, 24, pula berkata, sistem pendidikan sedia ada memerlukan penambahbaikan sebagai usaha menarik semula golongan muda menyambung pengajian di IPT.

Pelajar Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal UMP, Badrul Amin Badrul Hisham.

“Hari ini kita boleh lihat ramai anak muda yang tidak meneruskan pengajian di peringkat yang lebih tinggi selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) disebabkan lebih selesa bekerja untuk mendapatkan pendapatan.

“Ia bukanlah menjadi satu kesalahan sekiranya anak muda mengambil keputusan untuk berbuat sedemikian, namun ia menjadi satu kerugian kerana negara bakal kehilangan pakar-pakar dalam pelbagai bidang.

“Sekiranya kestabilan ekonomi dapat dicapai, lebih ramai golongan muda akan menyambung pengajian,” jelasnya.

Sementara itu, pelajar Sarjana Muda Pentadbiran Korporat, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Seremban 3, Muhammad Aqil Ariff Fadzillah, 24, berpendapat, perubahan dari segi pentadbiran perlu dilakukan bagi memberi kebebasan kepada para pelajar untuk mendalami isu-isu semasa seperti politik mahupun ekonomi.

Pelajar Sarjana Muda Pentadbiran Korporat UiTM Kampus Seremban 3, Muhammad Aqil Ariff Fadzillah

“Pentadbiran sesebuah IPT seharusnya memberi peluang kepada pelajar untuk meneroka ilmu-ilmu ini memandangkan hampir semua pelajar layak untuk mengundi.

“Saya berharap PRU kali ini dapat memberi laluan untuk melaksanakan pindaan terhadap Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 yang mengekang penglibatan pelajar dalam politik,” tambahnya.

Artikel berkaitan

PRU15: Etika pemakaian ketika mengundi, ini yang perlu guru dan mahasiswa ambil tahu

Tambang pulang pelajar IPT mahal, SPR diharap guna pendekatan undi pos

Galak kesedaran politik di usia muda, mahasiswa selia aplikasi dalam talian bantu undi MPP universiti


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok