wana ajak
wana ajak

7 tip menjadi atlet silat yang berjaya

Rasyidah Zulkifi
13 Jun 2022 11:03am
A
A
A

Atlet mewakili negara dan dianggap duta kecil dalam apa juga acara merupakan suatu pencapaian yang amat membanggakan.

Selain menggalas nama negara, kejayaan yang dikecapi juga mampu menjulang nama Malaysia di pentas antarabangsa.

Bagi atlet silat negara, Siti Shazwana Ajak, 29, tiada apa yang lebih menggembirakan apabila dapat melakar nama negara di peta dunia dengan kejayaan yang dikecapinya dalam sukan silat.

Ternyata kejayaan atlet ini tidak dapat direalisasikan dengan sendirinya tanpa bantuan dan sokongan daripada semua pihak.

Untuk itu kali ini Sinar Bestari kongsikan tip-tip yang diberikan Siti Shazwana untuk menjadi seorang atlet silat yang berjaya.

**

1. Jaga pemakanan

Pemakanan adalah nombor satu dan ia mesti dititiberatkan dalam kalangan para atlet. Ini kerana kejohanan silat kebiasaannya mengikut kategori berat badan yang berbeza, jadi penting untuk mereka patuhi piramid makanan seperti yang digariskan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi menjaga dan mengekalkan berat badan yang seimbang. Pemakanan yang tidak seimbang akan menimbulkan kemudaratan pada kesihatan atlet.

2. Semangat yang tinggi

Jika ingin menjadi seorang pesilat perlu mempunyai jiwa dan semangat yang tinggi kerana silat olahraga ini bersifat lasak. Ia memerlukan tenaga yang kuat untuk melumpuhkan pihak lawan. Tanpa semangat yang kuat, bukan mudah untuk menjadi seorang pesilat berjaya. Justeru, mereka perlu berjiwa besar sama seperti dalam perumpamaan Cina iaitu ‘Chi’ bermaksud mempunyai semangat hati yang kuat. Ini disebabkan pertarungan dalam gelanggang bukanlah suatu yang mudah kerana banyak cabaran.

3. Ilmu

Ilmu silat perlu dipelajari dengan jurulatih yang betul bagi mengelakkan sebarang masalah berlaku. Atlet mestilah fahami teknik-teknik silat olahraga berdasarkan bimbingan yang diberikan. Selepas itu, mereka perlu manfaatkan pengetahuan tersebut dalam pertarungan di gelanggang supaya dapat menyumbang pingat kemenangan ketika menentang pihak lawan.

4. Kekerapan latihan

Latihan perlu dilakukan dengan kerap supaya pesilat dapat beradaptasi dengan sukan tempur ini. Setiap hari akan ada dua ke tiga sesi latihan di mana pesilat akan memperuntukkan masa dua jam setiap sesi.

5. Dorongan

Dorongan amat diperlukan oleh semua atlet untuk kekal konsisten dan maju dalam profesion sukan. Bagi setiap pesilat boleh berdoa mengikut kepercayaan agama masing-masing untuk menguatkan aspek kerohanian dalam diri. Ini kerana doa mampu menguatkan jiwa. Pesilat juga boleh mendapat dorongan daripada jurulatih, orang sekeliling dan sahabat terdekat. Ia pasti dapat menguatkan semangat untuk melakukan yang terbaik dalam gelanggang.

6. Saling hormat-menghormati

Ini penting bagi mendapat keberkatan ketika pertarungan di dalam dan luar gelanggang silat. Dalam jiwa pesilat itu perlu ada sikap hormat-menghormati tanpa mengira muda atau tua. Dalam silat juga ada adab yang tersendiri seperti jaga percakapan dan pergaulan. Kedua-dua adab ini perlu dijaga supaya tidak melebihi batas untuk mengelakkan perasaan tidak puas hati sesama atlet. Perkara negatif ini akan menyebabkan hilang keberkatan, jadi ia perlu dijaga sebaiknya.

7. Berdisiplin

Setiap atlet silat olahraga perlu mempunyai disiplin yang tinggi dalam diri. Sifat ini akan hadir apabila jiwa dan hati mampu mengikut arahan yang betul. Sebagai contoh, disiplin akan mengatur masa rehat, masa bersosial, membuat latihan tambahan, menjaga berat badan dan sebagainya.

PROFIL

Nama: Siti Shazwana Ajak

Umur: 29 tahun

Asal kelahiran: Sabah

Anak: Bongsu daripada lima beradik

Hobi: Bersukan dan menonton filem

Pekerjaan: Atlet Majlis Sukan Negara (MSN) sepenuh masa

Tahap pendidikan: Sarjana Pengurusan Awam, Universiti Utara Malaysia (UUM)

Anugerah dan kejayaan

1. Pemenang pingat perak SUKAN SEA Hanoi 2022

2. Pemenang pingat emas SUKAN SEA KL 2017

3. Pemenang pingat gangsa Kejohanan Silat Dunia 2018

4. Pemenang pingat perak Kejohanan Asia 2019

5. Pemenang pingat emas Kejohanan Terbuka Belgium 2017 dan 2019

6. Pemenang pingat emas Kejohanan Terbuka MALAYSIA

7. Pemenang pingat emas Kejohanan Terbuka Uzbekistan 2020 dan 2021

8. Pemenang pingat emas Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2014, 2015 dan 2016

9. Pemenang pingat emas Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) 2015 dan 2016

10. Anugerah Atlet Terbaik 2015 dan 2017

11. Pemenang pingat perak Sukan Malaysia (SUKMA) Pahang

Artikel berkaitan

7 tip menjadi atlet silat yang berjaya

Tingkat pertahanan diri dengan silat sejak sekolah rendah

Pesilat perlu berani, kuasai kemahiran menerusi latihan berterusan

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan