Guru ambil sekali lagi SPM, bagi dorongan kepada anak duduki peperiksaan sesi kedua
Dijangkiti virus Covid-19 hujung Februari lalu menyebabkan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simpang Renggam, Johor, Afif Ajmal Zulkifli, 18, terpaksa mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 untuk sesi kedua.
Bagaimanapun, Afif Ajmal tidak menduduki kertas Matematik dan Bahasa Inggeris seorang diri kerana ditemani bapanya, Zulkifli Md Pungot, 54, yang turut mengambil peperiksaan sekali.
Baca juga
Calon SPM 2021 positif Covid-19, mangsa banjir bakal duduki peperiksaan sesi kedua mulai 5 April
Maklumat penting untuk calon SPM 2021 yang kontak rapat atau positif Covid-19
"Sepatutnya, saya dan anak menduduki peperiksaan subjek Bahasa Inggeris Kertas 1 dan 2 pada 3 Mac namun masing-masing disahkan positif Covid-19 pada 26 Februari dan 1 Mac lalu.
"Saya bersyukur kerana sudah sembuh dan berpeluang menduduki peperiksaan sesi kedua tersebut serta anggap apa yang berlaku sebagai ujian ALLAH," katanya seperti dilaporkan di sebuah portal tempatan, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Guru Penolong Kanan Petang SMK Dato' Abdul Rahman Andak (SDARA) berkata, itu bukan pertama kali beliau menduduki semula peperiksaan SPM kerana pernah menjadi calon mata pelajaran Matematik sejak 2011 sebanyak 22 kali.
Pada SPM 2016, Zulkifli pernah menjadi calon kertas peperiksaan Matematik dengan anak sulungnya, Puteri Nur Nabilah, 23, yang kini penuntut tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Bioteknologi Makanan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Nilai, Negeri Sembilan.
Menurutnya, tahun ini beliau mengambil SPM mata pelajaran Matematik buat kali ke-23 namun dengan tambahan kertas Bahasa Inggeris kerana ingin mencabar kemampuan diri.
Dengan cara begitu juga beliau memberi motivasi berbentuk saingan agar anaknya, Afif Jamal melakukan yang terbaik bagi mendapatkan keputusan cemerlang dalam SPM.
Bercerita tentang persediaan sebelum menduduki peperiksaan, Zulkifli berkata, pengalaman sebagai guru Matematik selama lebih 20 tahun dijadikan inisiatif untuk berkongsi dengan anaknya menerusi kelas bimbingan yang dijalankan.
Beliau berbuat demikian bagi membantu Afif Ajmal dalam mata pelajaran Matematik malah, turut mengajak lain-lain rakan anaknya yang lemah dan tidak mampu mengikuti kelas tuisyen luar untuk belajar bersama.
Katanya, kelas bimbingan percuma itu dilakukan pada setiap malam Ahad, Isnin dan Selasa bermula pukul 8.30 hingga 10 malam.
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok
Melalui inisiatif tersebut juga difahamkan, Zulkifli membuat ulang kaji sendiri walaupun dirinya seorang guru Matematik.
"Bagi subjek Bahasa Inggeris pula, saya belajar di Youtube dengan menonton video berkaitan kemahiran bertutur, mendengar dan menulis di saluran itu," katanya.