HomeKomunitiGuru Bahasa Inggeris KV Keningau terima Anugerah Ikon Belia Karismatik

Guru Bahasa Inggeris KV Keningau terima Anugerah Ikon Belia Karismatik

Guru Bahasa Inggeris, Kolej Vokasional (KV) Keningau, Sabah, Dr Sirhajwan Idek, 35, telah dipilih sebagai penerima Anugerah Ikon Belia Karismatik peringkat kebangsaan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Cikgu Sirhajwan menerima anugerah tersebut pada Majlis Anugerah Perdana Belia Negara pada 17 Disember lalu atas sumbangannya dalam pelbagai aspek bidang pendidikan.

Anugerah tersebut merupakan salah satu daripada 15 anugerah yang disampaikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, di Hotel Sama-Sama, Sepang, Selangor, untuk mengiktiraf pencapaian golongan belia di negara ini.

Pengiktirafan itu sekali gus menyaksikan Cikgu Sirhajwan membawa pulang wang tunai berjumlah RM 10,000 beserta trofi dan sijil.

Penyampaian anugerah telah dilakukan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh di Sepang, baru-baru ini.

Menurut Cikgu Sirhajwan, pengiktirafan ini adalah yang terindah buat dirinya dan juga warga KV Keningau.

“Saya sangat gembira kerana ia adalah pengiktirafan untuk hasil usaha dalam membantu para pelajar serta guru dan pada masa sama membuktikan kepentingan pendidik dalam pembangunan belia negara,” katanya ketika dihubungi Sinar Bestari, baru-baru ini.

Beliau telah melalui proses pemilihan dan penilaian daripada 20 calon yang disenarai pendek dari ratusan permohonan sebelum mara ke peringkat tiga finalis terbaik dan akhirnya diumumkan sebagai pemenang.

Sejak 2016, Cikgu Sirhajwan telah melatih dan mengurus hampir 500 para pelajarnya untuk membentang projek pada pertandingan inovasi dan persidangan secara bersemuka mahupun dalam talian.

Cikgu Sirhajwan membawa pulang wang tunai RM10,000 beserta trofi dan sijil.

Hasilnya, ramai di antara pelajar ini yang mendapat pengiktirafan serta anugerah dan juga menerima geran.

Dalam pada itu, beliau juga berkata, anugerah ini akan dijadikan sebagai pemangkin untuk terus konsisten dalam membimbing para pelajar membangunkan projek inovasi.

“Saya bertekad untuk memperluaskan lagi projek-projek ini agar ia mampu membantu guru-guru dan pelajar-pelajar di sekolah dan KV yang lain,” jelasnya.

Beliau memperoleh pendidikan peringkat Ijazah Sarjana Muda Bahasa Inggeris pada tahun 2011 dan kemudiannya meneruskan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana pada 2014 dalam bidang yang sama.

Pada 2019 pula, beliau berjaya menamatkan pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD) Bahasa Inggeris di universiti yang sama.

Ramai pelajar yang dibimbing oleh Cikgu Sirhajwan yang telah berjaya menempa nama di peringkat antarabangsa antaranya Alesyah Asa yang merupakan 10 finalis terbaik Global Student Prize pada tahun 2022 dan Zurainnizah Omar yang berjaya meraih anugerah melalui OD Impact Challenge pada tahun yang sama.

Selain itu, Cikgu Sirhajwan juga telah berjaya membudayakan amalan seni dengan membimbing lebih 200 pelajar dalam bidang seni persembahan, penulisan dan visual dengan menggunakan Bahasa Inggeris sebagai pengantara sejak penghujung 2020.

Sirhajwan memulakan karier sebagai pendidik pada 2012 di Sekolah Menengah Vokasional Keningau sebelum dinaik taraf menjadi KV Keningau pada tahun 2013.

Artikel berkaitan

Pelajar KV Keningau cemerlang di peringkat antarabangsa, dinobatkan juara pertandingan menulis haiku

Samuel Isaiah cipta sejarah, rakyat Malaysia pertama terima anugerah TRT World Citizen Educator Award

Brigette jadi rakyat Malaysia pertama terima Anugerah Pelajar SENIA 2022


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok