Untitled designBrigette jadi rakyat Malaysia pertama terima Anugerah Pelajar SENIA 2022
Untitled designBrigette jadi rakyat Malaysia pertama terima Anugerah Pelajar SENIA 2022

Brigette jadi rakyat Malaysia pertama terima Anugerah Pelajar SENIA 2022

Roshlawaty Md Raieh
05 Dec 2022 03:56pm
A
A
A

Pelajar Berkeperluan Khas Bermasalah Pendengaran, Kolej Vokasional (KV) Keningau, Sabah, Brigette Yasin, 17, menjadi rakyat Malaysia pertama memenangi Anugerah Pelajar Special Education Network and Inclusion Association (SENIA) 2022.

Berita gembira tersebut telah dikongsi Cikgu Sirhajwan Idek iaitu salah seorang guru KV Keningau kepada Sinar Bestari.

Menurut Cikgu Sirhajwan, Brigette membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM6,720, plak dan sijil penghargaan serta berpeluang menyampaikan ucapan (menggunakan bahasa isyarat) semasa persidangan SENIA secara dalam talian, 3 Disember lalu.

Mengulas lanjut, Cikgu Sirhajwan yang juga guru subjek Bahasa Inggeris berkata, Anugerah Pelajar SENIA 2022 merupakan anugerah berprestij yang diberikan secara tahunan oleh Persatuan Pendidikan Khas Global, SENIA di Kanada.

Ia dianugerahkan kepada pelajar Berkeperluan Khas yang banyak memberi sumbangan dalam memartabatkan komuniti bagi kategori tersebut.

Brigette turut aktif dalam pelbagai jenis sukan anjuran KV Keningau.

Sambung guru ini lagi, pencapaian Brigette dalam dunia sukan seperti olahraga, permainan berpasukan dan sukan dalaman sememangnya membanggakan warga sekolah dan pelajar Berkeperluan Khas yang lain.

“Dia berjaya meraih pingat emas dalam acara larian pecut 400 meter (m) dan 200 m (naib johan) peringkat negeri tahun ini.

“Brigette juga pernah mengetuai pasukan sekolah yang terdiri daripada pelajar Berkeperluan Khas dalam pertandingan futsal dan tenpin boling peringkat Sabah serta banyak lagi.

“Pencapaian ini telah melayakkan Brigette sebagai penerima Anugerah Pelajar SENIA 2022,” ujar Cikgu Sirhajwan.

Kejayaan demi kejayaan dirangkul oleh Brigette bersama ahli pasukannya.

Sementara itu, Pengarah KV Keningau, Johari @ Jaibin Sabin melahirkan rasa bangga dengan pencapaian yang diraih oleh Brigette.

“Walaupun Brigette kategori pelajar Berkeperluan Khas, namun dia berjaya membuktikan yang dirinya mampu melakar kejayaan sama seperti pelajar normal lain.

“Saya berharap Brigette dan rakan-rakan seangkatan dengannya akan terus mencipta lebih banyak kecemerlangan dan kegemilangan buat diri dan kolej ini,” ujar Johari.

Artikel berkaitan 

4 guru KV Keningau lakar kejayaan di Amerika Syarikat

45 pelajar KV Keningau sertai program Pertukaran Pendidikan secara dalam talian

Karya asli 3 pelajar Sabah diterbitkan di majalah sastera terkemuka United Kingdom. Kagum!


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok