1134368
1134368

"Hati yang bersih memudahkan pelajar menerima ilmu dan menghafal al-Quran dengan baik" - Ustazah Husna

Nor Azma  Muhamat Laila
21 Jul 2021 04:16pm
A
A
A

Al-Quran adalah kalam ALLAH yang diturunkan untuk seluruh umat bagi menerangi kegelapan hati dan memberi cahaya dalam kehidupan.

Salah satu amalan paling baik yang ingin diperolehi semua umat Islam adalah menghafaz al-Quran kerana banyak manfaat dan kebaikan dapat diraih sekiranya seseorang itu berjaya menjadi hafiz atau hafizah.

Antara keutamaan yang akan diterima jika seseorang itu menjadi huffaz ialah diberikan darjat yang tinggi oleh ALLAH di dalam syurga kelak.

Namun begitu, menghafaz al-Quran bukan satu tugas mudah kerana memerlukan tempoh yang sangat lama dan teknik yang betul supaya setiap ayat, surah, juzuk yang dihafaz itu melekat di dalam kepala sampai bila-bila.

Jika tidak bijak memanfaatkan waktu, sudah tentunya apa saja cara yang dilakukan untuk menghafaz al-Quran akan menjadi sekadar keinginan semata-mata tetapi ia tidak bermaksud bahawa amalan itu mustahil untuk dilakukan.

Mudirah Darul Quran Wal Hadith As Sofa Nilai, Negeri Sembilan, Husna Mohd Shukor berkata, perkara pertama yang harus dilakukan sekiranya ingin menjadi seorang huffaz ialah sentiasa berusaha untuk membersihkan hati dan mengosongkan jiwa daripada melakukan perkara yang sia-sia dan lalai.

Menurutnya, hati yang bersih akan memudahkan seseorang itu untuk menerima ilmu dan menghafalnya dengan baik.

Husna sentiasa menerapkan kalam hikmah ketika mendidik pelajar-pelajarnya menghafaz al-Quran.

"Seterusnya, kita hendaklah sentiasa berniat menuntut ilmu atau menghafaz al-Quran kerana ALLAH semata-mata dan jangan ada dalam hati seseorang huffaz itu untuk mendapatkan habuan dunia dan pangkat.

"Niat merupakan pokok atau asas dalam semua perbuatan. Maka hendaklah niat menghafaz al-Quran itu adalah untuk mendapat keredaan ALLAH, beramal dengannya, menghidupkan syariat dan mencapai taqarrub dengan ALLAH," katanya kepada Sinar Bestari.

Guru muda berusia 28 tahun itu berkata, terdapat pelbagai teknik disarankan oleh guru-guru atau ulama yang pakar dalam bidang menghafaz al-Quran bagi membantu pelajar agar dapat menghabiskan hafazan masing-masing.

"Tidak kisah apa juga teknik yang digunakan, semua bergantung kepada keupayaan seseorang pelajar itu untuk menghafaz dan di Darul Quran Wal Hadith As Sofa Nilai, kami meletakkan lima proses yang perlu dilalui oleh pelajar dalam menghafaz iaitu talaqqi, tasmi', hizbu jadid, syahadah dan murajaah.

"Dalam proses talaqqi, sebelum memulakan hafazan, guru wajib mendengar bacaan para pelajar, menegur dan menandakan kesalahan dengan menggunakan pensel, memastikan bacaannya lancar sebelum membenarkan mereka menghafaz," ujar beliau.

Bagi proses tasmi' pula, guru akan mendengar bacaan para pelajar dengan penuh teliti dan mereka tidak boleh melakukan lebih daripada tiga kesalahan yang mana kesilapan itu akan dicatatkan di dalam al-Quran pelajar.

Husna (tengah) bersama pelajar-pelajar di Darul Quran Wal Hadith. As Sofa.

Jika hafazan para pelajar tidak memuaskan, guru berhak menyuruh mereka mengulang semula hafazan dan seterusnya menurunkan tandatangan dan tarikh menggunakan pen merah pada mushaf al-Quran tersebut apabila mereka berjaya menyempurnakan hafazan.

Husna yang juga alumni As Sofa berkata, selain teknik tertentu yang boleh dipraktikkan oleh pelajar, beberapa tip juga boleh dimanfaatkan sekiranya pelajar ingin menjadi huffaz yang berjaya dalam akademik, kerjaya, dunia dan akhirat.

"Sebelum memulakan pekerjaan dan tugas kita pada pagi hari, sematkan dalam hati supaya sentiasa membaca al-Quran. Pasakkan dalam hati bahawa orang yang sentiasa mengutamakan bacaan al-Quran pada waktu pagi, urusannya pasti dimudahkan oleh ALLAH.

"Selain itu, tetapkan beberapa waktu supaya kita dapat menghafaz al-Quran dengan fokus tanpa sebarang gangguan dan waktu yang paling utama untuk menghafaz al-Quran adalah pada pukul 4 hingga 5 pagi dan selepas solat Maghrib," kongsi Husna.

Husna yang merupakan lulusan dalam bidang takhasus kitab dari Riau, Indonesia turut berkongsi, seorang huffaz yang berjaya akan sentiasa bersikap merendah diri, tawaduk dan menerima ilmu yang dipelajari serta sentiasa berkhidmat dengan guru yang mengajar al-Quran.

Jelas beliau, sekiranya ingin menjadi hafiz atau hafizah, seseorang individu itu juga perlu sentiasa menjaga adab dengan guru, bergaul dengan sahabat dan orang yang mengingatkan diri kita kepada kalamullah serta mengurangkan hubungan dengan masalah-masalah keduniaan.

"Mereka juga sentiasa bertahajud pada malam hari dengan merintih kepadaNya supaya ALAH sentiasa mudahkan proses hafazan al-Quran kerana ALLAH adalah pemilik kalamullah.

"Amalan sentiasa berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW, sanggup bersusah payah dengan meninggalkan kerehatan, keseronokan demi menghafaz al-Quran dan menuntut ilmu, menjaga pemakanan serta mengamalkan makanan sunnah seperti kismis dan madu juga antara tip yang boleh diamalkan pelajar yang mahu bergelar huffaz," tutur beliau mengakhiri perbualan.

INFO

Kalam hikmah yang sentiasa disematkan dalam proses menghafaz al-Quran

  • Jangan engkau berikan (fokus membaca) al-Quran pada lebihan waktumu (yakni: bila lapang, baru baca), malah khususkan untuknya waktu tertentu, yang mana tiada seorang pun yang akan mengganggumu.
  • Sebelum membaca al-Quran, perbaharui wudukmu, hadaplah ke arah kiblat dan mulakan dengan Isti'azah (Bacaan A'udzu billah..), kemudian Basmalah (Bacaan Bismillahir-Rahman..) dan ingatlah ganjaran kelebihan membaca al-Quran.
  • Hendaklah kekuatan suaramu sederhana, tidak terlalu kuat sehingga engkau kepenatan dan terganggu dan tidak terlalu perlahan sehingga engkau bosan dan mengantuk.
  • Hendaklah kelajuan bacaanmu itu juga sederhana, tidak terlalu laju sehingga terpotong-potong ayat (kerana sering tersilap) dan tidak juga terlalu perlahan sehingga engkau rasa jemu.
  • Al-Quran memiliki wibawa dan kehormatan. Sesiapa yang mengagungkan al-Quran di dalam hatinya, ALLAH agungkan kedudukannya dalam kalangan manusia.

    Maka jangan engkau putuskan bacaanmu dengan perbualan bersama orang lain.

  • Apabila engkau telah memulakan bacaanmu, maka janganlah engkau menoleh kepada sesiapapun.
  • Jika seseorang ingin berbicara denganmu, berikan isyarat dengan tanganmu meminta maaf. Ini merupakan sikap memuliakan kitab ALLAH.
  • Jika engkau perlu menghentikan bacaanmu untuk berbicara dengan seseorang (yang mengajakmu berbicara), jangan terus (berhenti untuk) menjawabnya.

    Malah hendaklah dia menunggu sehingga engkau berhenti di hujung ayat, pada tempat berhenti yang sesuai.

  • Hendaklah engkau menggerakkan lidahmu ketika membaca al-Quran, adapun bacaan dengan mata sahaja, tidak memadai dan tidak dianggap sebagai membaca.
  • Semasa engkau membaca, engkau akan melalui ayat-ayat tentang rahmat dan ancaman. Berhentilah pada sebahagian daripada ayat-ayat tersebut.

    Angkatlah kedua tanganmu dan mintalah kepada ALLAH daripada kelebihanNya. Baginya, terdapat kesan kepada hati yang sangat besar.

  • Jika engkau (menghadapi masalah) perlahan membaca al-Quran atau engkau tidak mampu membaca dengan baik, ketahuilah bahawa ganjaran pahala engkau digandakan.

    Maka, bagi engkau, ganjaran pahala sebanyak dua kali (satu kerana membaca, satu kerana usaha dalam susah). Dan aku pesan kepada engkau supaya muat turun rakaman bacaan al-Quran di dalam telefon dan (belajar membaca dengan) ikuti (rakaman bacaan) itu.

  • Habiskan bacaan engkau pada penghujung surah adalah lebih sempurna dan lebih baik daripada menghabiskan di penghujung juzuk. Ibn 'Umar dahulu, jika membaca pada satu-satu surah, dia tidak akan berhenti sehinggalah dia menghabiskannya.

Artikel berkaitan 

15 delegasi teruja dengan modul Pusat Ulul Albab dari universiti tempatan

Pensyarah bina aplikasi ‘Track Me’ pantau pergerakan kanak-kanak, jaga keselamatan aset

Graduan UUM bawa gambar arwah bapa masa konvo


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan