Sabah Maju Jaya
Sabah Maju Jaya

Hayati hala tuju Sabah Maju Jaya, kunci kecemerlangan pelajar

Adlan Farhan Azwan
14 Jun 2022 05:44pm
A
A
A

Dalam usaha membawa pemilikan bersama dan kebertanggungjawaban setiap anak Sabah untuk menjayakan agenda pembangunan negeri itu, satu pelan pembangunan telah ditubuhkan dengan menggunakan slogan jata negeri, Sabah Maju Jaya (SMJ).

Oleh itu, generasi muda khususnya pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) di negeri di bawah bayu itu perlu menghayati hala tuju pembangunan SMJ yang dilancarkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor, baru-baru ini.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan, Fairuz Renddan, hala tuju pembangunan SMJ menggariskan tiga teras utama yang masing-masing diwakili huruf ‘S’, ‘M’ dan ‘J’ yang diambil daripada singkatan SMJ.

Fairuz menyampaikan sijil penghargaan kepada Penolong Kanan (Pentadbiran), SK Ulu Kukut, Kota Belud, Haryana Mustapha sambil disaksikan oleh Norawi (kanan) di SK Ulu Kukut.

Beliau berkata, seperti dijelaskan Ketua Menteri, huruf ‘S’ mewakili sektor utama ekonomi iaitu pertanian, perindustrian dan pelancongan, diikuti huruf ‘M’ (modal insan dan kesejahteraan rakyat), manakala huruf ‘J’ mewakili jaringan infrastruktur dan kelestarian hijau.

“Semasa saya di sekolah rendah, saya telah biasa melihat slogan ini yang terpampang pada buku latihan sumbangan Yayasan Sabah dan ketika menjadi wakil rakyat, hala tuju pembangunan Sabah Maju Jaya pula dilancarkan.

“Saya sendiri hadir dan menyaksikan hari bersejarah pelancaran hala tuju SMJ di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah di Kota Kinabalu,” katanya ketika berucap pada Majlis Santai Kaamatan, Raya dan Hari Guru peringkat Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Kukut, Sabah, baru-baru ini.

Turut hadir, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) DUN Pintasan, Husaimi Maslin dan guru besar SK Ulu Kukut, Norawi Kata.

Dalam pada itu, Fairuz memuji usaha yang dilaksanakan oleh pihak sekolah yang menganjurkan program tersebut yang dihadiri masyarakat pelbagai kaum dan agama.

Beliau turut meraikan beberapa orang guru yang menyambut hari jadi serentak dan menyampaikan sijil penghargaan terhadap kecemerlangan mereka.

Fairuz bergambar sebagai kenangan bersama guru dan pemimpin masyarakat Kampung Ulu Kukut, Kota Belud.

Fairuz berkata, keakraban antara guru dan masyarakat setempat yang diamalkan komuniti Kampung Ulu Kukut dan sekitarnya perlu dikekalkan kerana budaya murni itu menjadi tunjang kemajuan dan kecemerlangan sesebuah sekolah.

“Tanpa hubungan baik antara kedua-dua pihak akan menyukarkan usaha meningkatkan pencapaian akademik bukan saja di SK Ulu Kukut, malah sekolah lain di Sabah.

“Ini kerana peranan mendidik dan mendisiplinkan kanak-kanak bukan sahaja terletak di bahu guru, sebaliknya memerlukan kerjasama dengan masyarakat setempat,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Fairuz berkata, kerjasama ini dibuktikan apabila guru di negara ini adalah antara yang paling berdedikasi di dunia dalam memastikan pelajar mencapai kecemerlangan, seperti direkodkan dalam Bancian Pendidikan Global oleh University of Cambridge pada November 2018.

“Selain kerjasama antara guru dan komuniti, amalan perpaduan kaum perlu diterapkan seawal usia kanak-kanak kerana usaha ini secara tidak langsung dapat mendidik mereka memahami kepelbagaian kaum, kepercayaan agama dan budaya bukan penghalang untuk saling bekerjasama.

“Tidak semestinya berbeza agama dan budaya kita tidak boleh bersahabat, malah ia menyumbang kepada penyatuan pemikiran kaum di negeri Sabah ke arah kemajuan dalam usaha bersama menjayakan aspirasi Keluarga Malaysia,” ujarnya.

Artikel berkaitan

Guru cekal berdepan rintangan didik anak murid pedalaman

Kekal di Sabah kerana murid, pengorbanan Cikgu Sharin Aizrulidana ini cukup besar nilainya

(VIDEO) 31 tahun berkhidmat sebagai guru di Sabah, detik perpisahan dikongsi murid undang kesedihan warganet


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan