Untitled design (1)
Untitled design (1)

Kini bergelar doktor, Dr Syazwan antara huffaz yang berjaya dalam bidang profesional!

Nor Azma  Muhamat Laila
21 Jul 2021 03:33pm
A
A
A

Tanggapan bahawa lulusan pendidikan tahfiz hanya terhad menceburi kerjaya dalam bidang berkaitan agama semata-mata sepatutnya diubah dalam kalangan masyarakat pada hari ini.

Peluang pendidikan yang ditawarkan institusi tahfiz baik di peringkat rendah, menengah atau universiti di negara ini sudah dibuat secara meluas sama ada oleh kerajaan atau pihak swasta.

Ini kerana, ramai golongan huffaz juga sudah berjaya menceburi kerjaya profesional seperti doktor, arkitek, peguam dan jurutera malah ada juga yang memilih menceburi dunia perniagaan serta mampu bergelar usahawan berjaya.

Salah seorang huffaz yang berjaya membina kerjaya dalam bidang profesional ialah alumni Darul Quran, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Dr Muhammad Syazwan Mohd Basil.

Latar belakang pendidikan

Graduan jurusan perubatan dari Universiti Cyberjaya yang dulunya dikenali dengan nama Cyberjaya University College of Medical Sciences (CUCMS) itu juga merupakan pelajar Maahad Tahfiz Sains Bustanul Arifin, Tumpat, Kelantan.

Berkongsi perjalanan pendidikannya, doktor muda yang berasal dari Pulau Pinang itu berkata, beliau tidak mendapat pendedahan mengenai bidang tahfiz ketika berada di sekolah rendah.

Menurut beliau, semuanya bermula apabila dia menyambung persekolahan Tingkatan Satu hingga Tiga di Maahad Tahfiz Sains Bustanul Arifin dan ilmu dalam bidang hafazan al-Quran itu diperkukuhkan lagi apabila menyambung pengajian ke Darul Quran.

“Selepas mendapat keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR), saya memilih untuk menyambung persekolahan di Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS), Klang, Selangor, kerana mahu meneroka aliran baharu setelah berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran ketika berada di Kelantan.

“Apabila mendapat tahu mengenai program pensijilan tahfiz yang ditawarkan di Darul Quran, saya sekali lagi mencabar diri untuk menyambung pengajian dalam aliran tahfiz sekali gus mengasah kembali kemahiran menghafaz al-Quran ketika berada di bangku sekolah dulu,“ kongsi beliau dengan Sinar Bestari.

Ceburi kerjaya profesional

Memandangkan minat dalam bidang agama dan sains masih menebal dalam dirinya, Dr Syazwan kemudiannya menyambung pengajian ke program Asasi Sains dan Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan (MBBS) di Universiti Cyberjaya.

Sepanjang menuntut di universiti berkenaan, beliau turut bertugas secara sambilan sebagai imam rawatib dan imam tarawih di Masjid Cyberjaya serta beberapa lagi masjid di sekitar Lembah Klang.

Kebolehannya menjadi imam tarawih pernah mendapat perhatian masyarakat apabila cerita mengenainya tular di media sosial beberapa tahun lalu.

Mengulas mengenai pendidikan aliran tahfiz yang ada ketika ini, anak muda berusia 27 tahun itu berpendapat sudah banyak sekolah tahfiz sains dibuka di seluruh negara sekali gus membuka peluang kepada lulusan tahfiz untuk menceburi kerjaya profesional dan tidak terhad kepada agama semata-mata.

Dr Syazwan memilih kerjaya sebagai doktor kerana minat mempelajari mengenai biologi manusia.

“Kebanyakan sekolah tahfiz yang ada di negara ini juga sudah menyediakan laluan kepada pelajarnya untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi membolehkan mereka menyambung pengajian ke universiti di dalam atau luar negara.

“Di peringkat universiti juga pelbagai program tahfiz ditawarkan seperti di Universiti Cyberjaya sendiri yang menawarkan program tahfiz perubatan manakala Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) pula menyediakan program tahfiz kejuruteraan,“ ujar beliau.

Dr Syazwan turut mengakui pengetahuan agama yang dimilikinya banyak membantu beliau dalam kerjaya pada hari ini.

“Ilmu ini membantu saya untuk sentiasa positif ketika berurusan dengan pesakit apabila turut mengaplikasikan penghayatan al-Quran semasa mereka berdepan sebarang ujian sekali gus dalam masa yang sama membolehkan saya juga muhasabah diri sendiri dengan ketentuan yang ditetapkan oleh Allah.

“Oleh itu, saya sentiasa berpesan kepada adik-adik tahfiz supaya menitikberatkan aspek penghayatan al-Quran itu seiring dengan komitmen mereka dalam menghafaz agar ilmu itu tidak hanya sekadar hafazan semata-mata," katanya.

Sebelum mengakhiri sesi temu bual, Dr Syazwan menitipkan pesanan buat pelajar tahfiz di luar sana yang berminat menjadikan kerjaya profesional sebagai hala tuju mereka supaya memilih laluan pengajian yang bersesuaian agar proses mendapatkan ilmu itu lebih mudah.

“Jika minat dalam bidang sains atau kejuruteraan, pastikan adik-adik mengambil subjek berkenaan ketika di bangku sekolah supaya laluan pengajian itu lebih mudah.

“Saya percaya banyak peluang pendidikan tersedia pada hari ini. Mereka tinggal pilih berdasarkan minat dan kemampuan, selebihnya usaha dan tawakal supaya segala urusan kita diredai serta mendapat rahmat Allah,“ ujarnya mengakhiri perbualan.

INFO

TIP MENJADI HUFFAZ YANG BERJAYA 

  • Perbetulkan niat
  • Perlu ada minat
  • Istiqamah
  • Berdoa kepada ALLAH
  • Tawakal kepada ALLAH

Artikel berkaitan

Gadis Cina fasih berbahasa Melayu, Mek Yun UTHM raih 2 anugerah

Guru kontrak, Sarawak gagal lantikan semula, harap SPP buka ambilan khas

“Baju kotor dan lambat sangat datang ke sekolah, kenapa?”


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan