WhatsApp Image 2022-03-03 at 12.33.39 PM
WhatsApp Image 2022-03-03 at 12.33.39 PM

IDEAS lancar kempen digital Sekolah Kita, didik rakyat tentang cabaran dihadapi pelajar Orang Asli

Adlan Farhan Azwan
03 Mar 2022 01:18pm
A
A
A

KUALA LUMPUR - Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) telah melancarkan kempen digital Sekolah Kita dalam usaha mendidik rakyat Malaysia tentang cabaran yang dihadapi oleh para pelajar Orang Asli.

Kempen Sekolah Kita yang boleh dilayari melalui laman sesawang sekolahkita.my merupakan pembelajaran interaktif yang mengandungi lima bab di mana setiap bab adalah kisah pendek berdasarkan gambaran pelajar Orang Asli tentang sekolah impian mereka.

Baca juga

Mahasiswa UPM anjur kempen infaq untuk anak-anak istimewa dan autisme

Mahasiswa UPM anjur e-kempen mencari Ulul Quran anak-anak istimewa dan autisme 1.0

Di samping menyampaikan aspirasi pelajar berkenaan, kisah-kisah ini juga menceritakan tentang cabaran semasa yang mereka hadapi.

Satu permainan bercirikan pencarian harta karun turut dibina dalam laman sesawang ini dan para pelawat boleh menemui pelbagai pakar untuk mendapatkan saranan supaya pendidikan komuniti Orang Asli lebih mudah tercapai.

Setelah menemui kesemua 12 saranan tersembunyi itu, satu ganjaran akan diberikan. Permainan ini merupakan satu penciptaan bilik darjah yang interaktif dengan para pelawat boleh berkongsi bilik darjah impian mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS, Tricia Yeoh berkata, capaian pendidikan untuk kanak-kanak Orang Asli adalah satu isu yang berpanjangan.

“Kami memilih pendekatan inovatif ini menggunakan peralatan interaktif dengan harapan dapat mencetuskan perbualan baharu dan mungkin menjumpai pendekatan-pendekatan yang segar untuk menyelesaikan masalah ini,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, baru-baru ini.

Terdahulu, IDEAS telah menerbitkan satu kertas kajian yang menganalisis cabaran yang dihadapi oleh pelajar Orang Asli.

Salah satu hasil dapatan utama kertas kajian tersebut adalah kepentingan untuk bergerak menjauhi ‘wacana defisit’ yang sedang berlaku, di mana kehidupan Orang Asli dilihat sebagai punca kepada prestasi akademik atau kehadiran ke sekolah yang teruk.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Hal ini telah mencipta satu suasana persekolahan yang menyebabkan kanak-kanak Orang Asli merasa tidak dialu-alukan atau berdepan diskriminasi.

Menurut Yeoh, ini merupakan perubahan yang diperlukan untuk mula melihat pengetahuan tradisional dan adat budaya Orang Asli sebagai satu sumber yang bernilai, serta sesuatu yang boleh diajar di sekolah untuk manfaat semua pelajar.

“Dalam hal ini, ia bukanlah tentang Orang Asli perlu berubah sebaliknya sekolah kita yang perlu melakukan perubahan. Kita perlu membayangkan semula sekolah kita dalam satu cara yang setiap kanak-kanak tanpa mengira etnik atau kelas akan diraikan,” ujarnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan