HomeBuletinMahasiswa UPM anjur e-kempen mencari Ulul Quran anak-anak istimewa dan autisme 1.0

Mahasiswa UPM anjur e-kempen mencari Ulul Quran anak-anak istimewa dan autisme 1.0

SERDANG – Mahasiswa Universiti Putra Malaysia (UPM) di bawah kursus Pembangunan Kesukarelawanan Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar telah melancarkan kempen infaq bagi tujuan penubuhan Pusat Tahfiz Anak-Anak Istimewa dan Autisme.

Kempen ini merupakan jalinan kerjasama strategik bersama Pertubuhan Kebajikan dan Penjagaan Nur Hidayah dengan tema ‘Anak Istimewa dan Autisme: Di sini Lahirnya Ulul Quran’.

Program pelancaran tersebut telah dirasmikan oleh Pegawai Penyelaras Unit Perkhidmatan Sokongan dan Perkhidmatan OKU, UPM, Dr Wan Ardinawati Wan Abdullah.

Kempen infaq penubuhan Pusat Tahfiz Anak-Anak Istimewa ini telah menampakkan sinar apabila wakil pelajar berjaya menyakinkan pihak syarikat Halo Telco untuk bersama-sama berkongsi rezeki dengan menyumbang sebanyak RM11, 250 bagi Fasa 1.0 yang bermula secara rasminya pada 13 November lalu.

Sesi Penyampaian Sumbangan Infaq Halo Telco kepada Pertubuhan Kebajikan dan Penjagaan Nur Hidayah untuk E-Kempen Infaq Penubuhan Pusat Tahfiz Anak-Anak Istimewa dan Autisme 1.0

Wan Ardinawati berkata, program ini merupakan suatu usaha yang amat baik dalam membantu lebih ramai anak-anak istimewa dan autisme mendalami ilmu akademik secara berstruktur sekali gus mendapat peluang pendidikan formal yang sama rata seperti kanak-kanak normal yang lain.

Antara pengisian projek ini adalah pencarian peserta E-Tilawah dalam kalangan anak-anak istimewa dan autisme serta pelaksanaan E-Forum yang bertajuk, ‘Pengalaman Pertamaku, Kerana Dia Aku Mengenal Tuhan’.

Topik E-Forum ini telah dikupas secara mendalam oleh ketiga-tiga panel yang berpengalaman mengikut bidang kepakaran masing bagi memberi kesedaran dan pendedahan kepada ahli masyarakat tentang fitrah anak-anak istimewa dan autisme itu sendiri.

Ia merangkumi aspek perubatan, peluang pembangunan dari sudut pendidikan, sokongan sosial dan pengurusan kebajikan terutamanya bagi anak-anak istimewa yang merupakan anak yatim atau berasal dari keluarga asnaf.

Sementara itu, ahli panel E-Forum yang juga merupakan Juru Perunding IHES, Jabatan Agama Islam Selangor, Prof Dr Hasni Mohammed, berkata penubuhan Pusat Tahfiz Anak-Anak Istimewa dan Autisme itu dapat memberi peluang kepada masyarakat untuk lebih menyeluruh dalam menyokong anak-anak istimewa dan autisme memiliki kemahiran yang kompeten di dalam pelbagai bidang yang mereka ceburi, sama seperti kanak-kanak lain.

Pengarah Perubatan dan Pakar Kanak-Kanak Hospital UCSI, Prof Dr Amaluddin Ahmad pula berpendapat sokongan ibu bapa dan ahli masyarakat merupakan asas utama dan amat penting dalam membantu rawatan, pembangunan serta perkembangan pembelajaran anak-anak istimewa ini.

Prof. Amaluddin Ahmad memberi penerangan berkaitan ciri-ciri dan jenis anak autisme semasa sesi E-Forum

Bagi Pengasas Pertubuhan Kebajikan dan Penjagaan Nur Hidayah, Roslailawati Mohamad, secara keseluruhannya, program ini dilihat mampu memberi impak dan menyokong sistem pendidikan negara.

“Ia juga membantu kerajaan dalam menyediakan sistem pembangunan pedidikan anak-anak istimewa dan autisme di negara ini yang dilihat semakin mencabar kerana faktor masyarakat tidak cakna serta memandang enteng terhadap keupayaan anak-anak istimewa dan autisme ini untuk berkembang serta berjaya seperti orang lain,” ujarnya.

 

Penulis- Zaliha Idris