Jadikan kelas sentiasa ceria, ini 9 ciri yang wajib guru ada. Pasti berkesan!
Aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang selesa dan menarik khususnya di dalam kelas tentunya akan membuatkan murid seronok untuk belajar.
Tambahan pula, jika guru itu sentiasa menampilkan pembaharuan dan kreativiti ketika mengajar dan memberi latihan.
Guru Cemerlang Bahasa Melayu, Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Payong, Pokok Sena, Kedah, Cikgu Dr Abdul Ghani Jalil berkata, setiap pendidik wajar menggunakan kreativiti dalam pengajaran sebagai usaha mewujudkan suasana belajar yang ceria dan gembira.
“Terdapat pelbagai teknik dan pendekatan yang boleh cikgu-cikgu guna dalam menarik minat murid kekal fokus dan bersemangat di dalam kelas.
“Ada aktiviti yang berbentuk projek, lakonan, nyanyian, kajian kes, didik hibur dan sebagainya yang boleh cikgu amalkan untuk mereka sentiasa aktif dalam pembelajaran,” katanya kepada Sinar Bestari.
Sebagai membantu guru-guru terus berkreativiti ketika berada dalam bilik darjah, Dr Abdul Ghani kongsikan sembilan ciri yang boleh cikgu praktikkan nanti.
Jom kita lihat.
1) Menggalakkan murid untuk belajar secara bebas.
2) Memiliki gaya pengajaran yang saling bekerjasama dengan murid dan bersepadu secara sosial.
3) Memotivasikan murid untuk menguasai ilmu pengetahuan untuk dijadikan asas kepada pemikiran divergen.
4) Menangguhkan sebarang penilaian terhadap idea yang dikemukakan oleh murid kecuali setelah idea-idea tersebut telah diteliti dan diungkapkan dengan jelas.
5) Menggalakkan murid berfikir secara fleksibel.
6) Menggalakkan murid melakukan penilaian kendiri terhadap idea-idea yang mereka keluarkan.
7) Mengambil segala cadangan dan soalan murid secara serius atau bersungguh-sungguh.
8) Menawarkan kepada murid ruang dan peluang untuk melakukan tugasan dengan menggunakan pelbagai bahan dan dalam pelbagai keadaan.
9) Membantu murid belajar bagaimana untuk menghadapi kekecewaan dan kegagalan supaya mereka akan tabah untuk mencuba sesuatu yang baharu dan luar biasa.
Ringkasnya, terdapat pelbagai gaya pengajaran yang telah disarankan oleh pakar-pakar.
Terpulanglah kepada komitmen para guru untuk melaksanakannya di dalam bilik darjah.
Semoga bermanfaat.
Artikel berkaitan
Demi keselamatan, ibu bapa dinasihat kurangkan kongsi maklumat anak di media sosial
Syaqiera sasar Olimpik Paris 2024, terus fokus jalani latihan untuk raih pingat
CV dan resume, inilah perbezaan yang pelajar perlu tahu