Kenali permainan tradisional yang popular satu ketika dahulu. Pelajar wajib tahu ini!
Kenali permainan tradisional yang popular satu ketika dahulu. Pelajar wajib tahu ini!

Kenali permainan tradisional yang popular satu ketika dahulu. Pelajar wajib tahu ini!

Roshlawaty Md Raieh
11 May 2022 04:17pm
A
A
A

Ramai dalam kalangan pelajar hari ini kurang mengenali permainan tradisional yang cukup popular satu ketika dahulu.

Ini terjadi kerana anak-anak muda sekarang lebih gemar menghabiskan masa dengan gajet seperti telefon pintar, tablet dan komputer sehingga lupa banyak perkara yang lebih berfaedah boleh dilakukan bersama keluarga dan rakan-rakan.

Permainan tradisional tidak harus dipinggirkan kerana ia memberi manfaat kepada individu dan masyarakat.

Permainan seperti dam aji dan congkak dapat merangsang minda seseorang untuk berfikir secara kritis dan membantu mempertingkatkan kemahiran mengira dan sentiasa fokus dalam sesuatu tugas.

Manakala permainan tradisional yang lain seperti gasing, wau, galah panjang, katuk keli, ketinting, laga ayam, sepak raga, tating lawi, cari cucu, lastik, lumba kerbau, kaki hantu, pistol buluh, tarik upih, aci sorok, jala itik, guli, baling tin, baling selipar dan sebagainya dapat membina kemahiran sosial dan memberi faedah fizikal dan mental.

Sebagai pengetahuan kepada pembaca Sinar Bestari, kami senaraikan sebahagian permainan tradisional yang sangat terkenal pada zaman dahulu.

1) Congkak

Congkak adalah sejenis permainan anjung atau permainan dalam rumah yang menggunakan kayu bujur berlubang atau lubang di atas tanah.

Buahnya terdiri daripada biji asam jawa, biji saga, biji salak, kulit kerang, biji getah ataupun batuan kecil.

Permainan ini dipercayai dibawa masuk oleh pedagang-pedagang Melayu Polinesia pada abad ke-15.

Papan congkak diperbuat daripada batang kayu yang direka berbentuk sebuah perahu nelayan dengan lubangnya ditebuk di atas permukaan papan tersebut.

Pada hari ini, buah congkak telah digantikan dengan guli kerana lebih mudah didapati dan dimainkan. Permainan ini dapat menajamkan kemahiran dalam matematik serta melatih minda untuk membuat keputusan atau strategi dengan pantas.

Permainan gasing amat popular di Semenanjung Malaysia terutama di Terengganu dan Kelantan serta Melaka.

Terdapat banyak jenis gasing yang ada di dalam negara antaranya gasing jantung, gasing piring atau leper, gasing kelamar, gasing telur, gasing berembang, gasing Melayu, gasing Cina, gasing buku benang dan gasing pinang. Orang dewasa dan kanak-kanak boleh bermain gasing mengikut saiz gasing yang bersesuaian.

Gasing dimainkan dengan dua cara, iaitu sebagai gasing pangkah atau gasing uri. Gasing pangkah dimainkan dengan melemparkannya supaya mengetuk gasing lawan manakala gasing uri dipertandingkan untuk menguji ketahanannya berpusing.

3) Wau tradisi Malaysia

Wau adalah satu permainan masa lapang rakyat tempatan yang mempunyai ciri-ciri keseniannya tersendiri.

Bagi masyarakat nelayan, wau dimainkan sebagai persediaan ke laut untuk mengetahui sama ada cuaca baik atau tidak. Hal yang sama dilakukan oleh para petani untuk membuat persediaan menghadapi musim bendang seterusnya.

Mengikut sejarah Melayu, wau bermula di Melaka oleh Putera Raja keturunan Sultan Melaka. Terdapat tiga jenis wau yang terkenal iaitu Wau Bulan, Wau Kucing dan Wau Jalabudi.

Wau diperbuat daripada buluh yang diraut untuk dijadikan rangka, tulang belakang, sayap dan ekor wau. Kertas warna pula ditampal pada rangka wau untuk menentukan kecantikannya. Kertas warna boleh dilukis motif-motif dengan warna pilihan yang sesuai.

Ketiga-tiga wau ini mempunyai estetika jenis sobekan yang bermotifkan sulur bayur, awan larat, pucuk rebung, geometri, flora fauna dan sebagainya.

Selain itu kemunculan nama wau juga dikaitkan bunyi yang terhasil daripada busur yang diikat pada wau.

Apabila dinaikkan ke udara, daun ibus yang dipasang pada busur tersebut akan menghasilkan bunyi wau, wau, wau secara berirama.

4) Dam

Permainan ini dimainkan oleh dua orang secara duduk berhadapan dengan menggunakan peralatan seperti papan dam dan buah tir. Ia sering dimainkan oleh golongan lelaki semasa waktu senggang di kedai-kedai kopi.

Permainan ini mengekalkan fungsi permainan dengan sistem peperangan dan pertahanan. Pemain perlu bijak mengatur langkah agar usaha-usaha yang dirancang membuahkan hasil.

Permainan ini sangat menguji minda dan akal supaya cekap dalam menyusun strategi.

5) Galah panjang

Galah panjang adalah permainan tradisional yang dimainkan di atas gelanggang yang dilakar di atas tanah dan melibatkan dua pasukan lawan (kumpulan penyerang dan penghadang) yang ditentukan melalui balingan syiling.

Ia merupakan adaptasi daripada sistem pertahanan negara, iaitu menyusup ke dalam dan berpatah balik, serta memerlukan kemahiran strategi dan kepantasan.

Setiap kumpulan sekurang-kurangnya mempunyai empat pemain. Gelanggang yang dibuat mengandungi dua lajur dan beberapa baris bergantung kepada bilangan pemain.

Ketika bermain, pasukan penyerang perlu sentiasa berada di dalam garisan dan cuba menyusup ke kotak seterusnya tanpa disentuh atau tertangkap oleh pasukan penghadang.

Pergerakan dan serangan setiap ahli akan ditentukan oleh kecekapan perancangan strategi ketua pasukan.

Ketua pasukan penghadang akan mengawal garisan tengah, manakala ahli-ahli lain menjaga garisan melintang dan menghalang pasukan penyerang daripada melepasi mereka.

Sekiranya ada ahli pasukan penyerang yang tersentuh, peranan kedua-dua pasukan akan bertukar.

Artikel berkaitan

5 kelebihan menjadi sukarelawan di universiti

Lukis potret guna tangan dan kaki, bakat luar biasa Cikgu Saiful buat ramai terpegun

Berjaya peroleh 9 A dalam SPM 2021 walaupun sakit tulang belakang

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan