3
3

Kepentingan kuasai bahasa ketiga, ini pandangan pakar, guru dan pelajar

webadmin
19 Jul 2021 01:58pm
A
A
A

Menguasai bahasa asing sememangnya menjadi impian kebanyakan pelajar pada hari ini.

Antara kelebihan apabila kita mampu berbahasa asing ialah membantu mengeratkan hubungan diplomatik di peringkat antarabangsa,  memahami sesebuah budaya dengan mendalam dan mampu meraih gaji lumayan dalam kerjaya kelak.

Pensyarah Jabatan Bahasa Asing, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Roslina Mamat berkata, mempelajari bahasa asing pada masa kini tidak boleh dianggap sebagai perkara biasa.

“Sudah ramai yang mampu menguasai bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Bagaimana pula dengan bahasa asing?

“Untuk fasih bercakap dalam bahasa asing ia memerlukan usaha, komitmen, dan minat yang tinggi. Tidak semua yang berminat terhadap sesuatu bahasa boleh fasih jika tidak bersungguh-sungguh. Jadi jangan anggap mempelajari bahasa asing adalah perkara biasa-biasa sebaliknya tanamkan azam untuk menjadi luar biasa,” ujarnya yang mengajar bahasa Jepun.

Bercakap mengenai bahasa Jepun, Dr Roslina menjelaskan, pelajar yang mempunyai kelebihan berbahasa Jepun berpeluang mendapat pekerjaan dengan lebih mudah.

“Terdapat syarikat atau agensi Jepun yang menetapkan syarat calon pekerja mereka perlu memperoleh sekurang-kurangnya Japanese Language Proficiency Test (JLPT) tahap dua sebelum dipertimbangkan menjadi sebahagian kakitangan syarikat atau agensi mereka.

“Sebagai contoh, kerjaya ‘help-desk’ untuk penutur bahasa Jepun umumnya menawarkan gaji permulaan sekurang-kurangnya RM4,000 sebulan, dan bagi pegawai lulusan universiti Jepun boleh mencecah RM5,000 sebagai gaji permulaan,” sambungnya.

Tutur beliau lagi, peluang pekerjaan bagi yang fasih berbahasa Jepun sangat luas dan terbuka luas.

Jepun memerlukan tenaga mahir dan kurang mahir di negara mereka kerana di sana mereka kekurangan pekerja tempatan dalam industri tertentu.

“Jika anda graduan fakulti berasaskan Sains Tulen, anda boleh menjadi jurutera atau pekerja mahir lain di syarikat Jepun.

“Manakala, jika dalam bidang Sains Sosial, anda boleh menjadi penterjemah, animator, pegawai helpdesk, pemandu pelancong atau bekerja di mana-mana syarikat yang memerlukan pegawai berkemahiran dalam bahasa Jepun. Graduan juga boleh bekerja dan membuka syarikat sendiri berkaitan animasi, komik, Virtual YouTuber dan sebagainya,” kata beliau lagi.

Berkenaan kursus bahasa Jepun di UPM, Dr Roslina memberitahu, pelajar perlu menamatkan kursus tahap satu hingga tiga dalam tempoh tiga semester.

“Pelajar saya pelbagai kaum. Ada Melayu dan Cina serta beberapa pelajar India. Ada juga pelajar antarabangsa dari negara China, Indonesia dan beberapa negara lain yang turut mengambil kursus bahasa Jepun di UPM,” bicaranya lanjut.

Bahasa Perancis antara pilihan pelajar di universiti

“Mempelajari bahasa baharu bukan bermaksud menidakkan kedaulatan bahasa Melayu.

“Sebenarnya, mengenali bahasa baharu bukan sahaja dapat memperluaskan minda untuk mengenali budaya, adat resam dan idea-idea baharu masyarakat lain, tetapi jika kita berfikiran kritis, bahasa asing juga boleh meningkatkan pemahaman dan kecintaan bahasa ibunda kita sendiri,” kongsi Pensyarah Jabatan Bahasa Asing, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM, Prof Madya Dr Hazlina Abdul Halim.

Dari kiri, Dr Roslina dan Dr Hazlina.

Merupakan pensyarah bahasa Perancis di UPM, Dr Hazlina berkata, bahasa Perancis merupakan bahasa antarabangsa kedua yang diajar di sekolah menengah selepas bahasa Jepun.

“Ini membuktikan bahasa Perancis ada nilai kepentingan yang tersendiri.

“Bayangkan bila pelajar dapat melanjutkan pelajaran ke Perancis, Belgium dan sebagainya, kemahiran dan kebolehan berbahasa Perancislah yang boleh digunakan kerana bahasa pengantar pengajaran di sana ialah bahasa ibunda mereka iaitu bahasa Perancis,” ujarnya.

Sambung Dr Hazlina, di UPM, bahasa Perancis antara pilihan bahasa asing yang mendapat permintaan tinggi dalam kalangan pelajar.

“Lebih 250 pelajar mengambil mata pelajaran elektif bahasa ini setiap semester, dan lebih 100 pelajar mengikuti program Bacelor Sastera Pengajian Bahasa Perancis dengan Kepujian.

Pelajar Bachelor Sastera Pengajian Bahasa Perancis dengan Kepujian bersama barisan pensyarah sempena program Minggu Bahasa Asing anjuran Jabatan Bahasa Asing, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi UPM.

Pelajar Bachelor Sastera Pengajian Bahasa Perancis dengan Kepujian UPM, menjalani mobiliti di Perancis.

“Permintaan luar biasa ini saya anggap sebagai satu yang harus dipuji kerana pelajar kita sudah tahu akan kepentingan bahasa Perancis ini,” katanya.

Beliau berkata, bahasa Perancis merupakan antara bahasa dominan di internet dan digunakan untuk menyampaikan pelbagai informasi politik, sosial, komersial, dan keagamaan.

Justeru, penguasaan bahasa Perancis adalah penting untuk seseorang mencapai informasi yang diperlukan bagi tujuan pembangunan diri dan kerjaya.

Selain itu, penguasaan bahasa Perancis juga membolehkan individu lebih menghargai budaya lain.

“Ini penting untuk mencapai persefahaman komunikasi yang kebanyakannya terhalang disebabkan pergeseran budaya.

“Ketrampilan berbahasa dan pemahaman budaya Perancis membuka minda seseorang untuk melihat suatu isu daripada perspektif antarabangsa, dan dengan ini ia dapat menyelesaikan masalah komunikasi inter dan intra budaya,” ujarnya lagi.

Minat dan kesungguhan perlu ada dalam diri

Perkara asas yang perlu ada untuk mempelajari bahasa asing adalah minat.

Itu kata pelajar jurusan Bacelor Sastera (Bahasa dan Linguistik Melayu), UPM, Mohd Izzat Aidil Abdull Rahman, 23.

Mohd Izzat Aidil (kiri) dan Idris.

Menurutnya, minat yang ditambah dengan kesungguhan akan menjadikan proses pembelajaran bahasa ketiga berjalan lancar.

“Saya belajar bahasa Jerman di UPM dan tidak berdepan banyak masalah kerana saya sangat meminati bahasa ini.

“Lagipun, bahasa Jerman ini tak susah sangat sebab ada terma atau perkataannya sama dalam bahasa Inggeris jadi mudah nak ingat,” katanya yang juga merupakan Timbalan Yang Dipertua, Persatuan Kebajikan Mahasiswa Anak Terengganu.

Mohd Izzat Aidil (belakang, tiga kanan) bersama pensyarah, Nurul Hidayah Mohd Taufik (depan, tengah) ketika berakhirnya kelas bahasa Jerman.

Sedikit nasihat Mohd Izzat terhadap pelajar yang akan mengikuti bahasa asing di salah sebuah pusat pengajian.

“Pilihlah bahasa yang biasanya dominan digunakan dalam negara sendiri dan mampu membantu kita di dalam pekerjaan.

“Apa-apa pun betulkan minat dulu, bila dah ada minat pastinya kita dapat belajar dengan baik. Semoga berjaya,” katanya.

Pendedahan awal bahasa ketiga di bangku sekolah

Umum mengetahui Pembelajaran dan Pengajaran (PdP) bahasa ketiga di peringkat sekolah turut dilaksanakan di Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) sebagai nilai tambah kepada pelajar apabila menamatkan persekolahan seterusnya menyambung pengajian ke peringkat universiti.

Terdapat beberapa pilihan bahasa ketiga yang ditawarkan di SBP dan MRSM termasuklah bahasa Jepun, Mandarin, Arab, Perancis, dan Jerman.

Bagi memberi peluang kepada lebih ramai pelajar mendalami bahasa ketiga, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) turut memperkenalkan mata pelajaran berkenaan di sekolah harian terpilih sejak lebih 10 tahun lalu.

Di peringkat sekolah rendah pula, bahasa Arab diperkenalkan sebagai pendedahan awal sekali gus menarik minat mereka untuk lebih menguasai bahasa berkenaan apabila menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi kelak.

Bagi guru bahasa Jepun di Sekolah Datuk Abdul Razak (SDAR) Seremban, Negeri Sembilan, Cikgu Hafiza Tajudin, 44, PdP membabitkan bahasa ketiga itu perlu dilaksanakan di sekolah bagi memberi pendedahan awal kepada pelajar mengenai kepentingan mempelajari bahasa antarabangsa itu.

Cikgu Hafiza (kiri) dan Norizzati.

Menurut beliau yang mula mengajar bahasa Jepun sejak 2009, kemahiran yang dimiliki pelajar dalam menguasai pelbagai bahasa ketiga memberikan kelebihan dan bonus kepada mereka apabila ingin menyambung pengajian di universiti luar negara yang memerlukan mereka berkomunikasi dalam bahasa ibunda negara tersebut.

“Selain itu, penguasaan bahasa ketiga ini akan memberi nilai tambah kepada pelajar dan sebagai persediaan awal apabila mereka menceburi dunia pekerjaan kelak.

“Dalam konteks Malaysia, saya melihat bahasa Mandarin adalah bahasa ketiga yang digunakan secara meluas berbanding bahasa antarabangsa lain,” katanya.

Sementara itu, guru bahasa Mandarin, Norizzati Muhamad Maulana, 25, yang merupakan graduan program Teaching Chinese As Second Language dari Beijing Language and Culture University, berpendapat jika seseorang ingin mahir bahasa ketiga, mereka perlu mewujudkan suasana bahasa itu sendiri.

Jelas beliau, pelajar perlu mencari rakan yang fasih dalam bahasa itu supaya dapat berlatih berkomunikasi dan pendengaran bagi mengasah kemahiran masing-masing.

“Jika ada peluang, pergilah ke tempat atau negara bahasa tersebut digunakan supaya persekitaran bahasa itu dapat diwujudkan dan seterusnya memudahkan kita untuk lebih cepat fasih berkomunikasi bahasa berkenaan.

“Apabila kita telah menguasai bahasa tersebut, jangan lupa untuk sentiasa ulang dan menggunakannya agar tidak hilang daripada ingatan kita,” ujarnya lagi.

Bagi pelajar SDAR, Idris Bahari, 16, pula memilih untuk mempelajari bahasa Jepun kerana bercita-cita menyambung pengajian ke negara matahari terbit itu selain meminati karya anime yang dihasilkan negara tersebut.

“Selain itu, saya juga kagum dengan teknologi dan inovasi yang dihasilkan rakyat Jepun menyebabkan saya mahu mempelajari bahasa ibunda mereka supaya dapat mempelajari dengan lebih mendalam mengenai teknologi dan budaya orang Jepun.

“Jika ingin memastikan seseorang itu mahir dalam bahasa ketiga pula, kuncinya ialah sentiasa belajar, kerap komunikasi, menulis, dan membaca serta cabar diri mengambil bahagian dalam pelbagai program atau acara berkaitan bahasa ketiga yang dianjurkan di dalam atau luar sekolah,” tuturnya.

Maklumat Penulis: 

ROSHLAWATY RAIEH & NOR AZMA MUHAMAT LAILA

Artikel berkaitan 

Lukis potret guna tangan dan kaki, bakat luar biasa Cikgu Saiful buat ramai terpegun

Pensyarah bina aplikasi ‘Track Me’ pantau pergerakan kanak-kanak, jaga keselamatan aset

Graduan UUM bawa gambar arwah bapa masa konvo


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan