Komitmen dua hala tingkatkan kesejahteraan pelajar pascasiswazah untuk GOT
Dalam Bajet 2022, kerajaan telah memberi keutamaan kepada sektor pendidikan dengan memperuntukkan sebanyak RM14.5 bilion kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi membantu perkembangan bidang pendidikan.
Selaras dengan aspirasi kerajaan tersebut, institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dilihat giat menambah bilangan pelajar pascasiswazah yang mendaftar. Ia juga bertepatan dengan matlamat KPT untuk melahirkan 60,000 pemegang PhD menjelang tahun 2023 serta menggalakkan lebih ramai guru melanjutkan pengajian mereka ke peringkat sarjana dan PhD.
Selain itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed mensasarkan pendaftaran 200,000 pelajar antarabangsa ke program-program pascasiswazah di seluruh negara.
Jumlah ini dijangka meningkat setiap tahun apabila KPT berusaha untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan utama di Asia.
Fenomena peningkatan pelajar pascasiswazah ini bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan di mana bilangan pelajar-pelajarnya meningkat dalam masa yang singkat.
Namun begitu, bilangan pelajar pascasiswazah yang menamatkan pengajian mengikut tempoh masa yang ditetapkan (Graduateon-Time: GOT) tidak sama dengan bilangan pelajar yang mula-mula mendaftar.
Statistik Pendidikan Tinggi 2020 yang dikeluarkan oleh KPT pada Mei 2021 menunjukkan seramai 7,831 pelajar mendaftar untuk PhD dan 18,612 bagi peringkat sarjana.
Bagaimanapun, pelajar yang berjaya menamatkan pengajian untuk PhD dan sarjana hanya seramai 3,407 (43.55 peratus) dan 13,360 (71.95 peratus) daripada jumlah keseluruhan pelajar yang mendaftar.
Hal ini memberi pelbagai implikasi serius khususnya melibatkan kualiti insititusi pengajian tinggi (IPT) negara.
Pelajar pascasiswazah juga perlu GOT bagi memastikan kelestarian institusi pendidikan khususnya program pascasiswazah seiring dengan akauntabiliti kepada pemegang-pemegang taruh serta pulangan pelaburan modal insan.
Kegagalan pelajar menamatkan pengajian dalam tempoh masa yang ditetapkan memberi kesan kepada indikator prestasi IPTA yang telah ditetapkan oleh KPT.
Baca juga
Khairol Hazeeq antara pereka muda yang bakal harumkan nama negara
8 kemahiran yang perlu ada pada pereka permainan dalam talian
Keciciran pelajar
Isu keciciran pelajar pascasiswazah ini sememangnya serius.
Namun demikian, pelajar tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya kerana mereka berhadapan dengan pelbagai cabaran dalam meneruskan pengajian.
Antaranya ialah penularan wabak Corona virus yang telah mengubah landskap dunia pendidikan.
Pandemik Covid-19 telah membawa perubahan besar dalam sistem pendidikan negara.
Kementerian Pendidikan (KPM) dan KPT telah mengambil pendekatan strategik dengan melaksanakan pembelajaran dalam talian.
Sehubungan itu, pola pembelajaran bersemuka di dalam kelas, dewan kuliah dan makmal telah berubah kepada pembelajaran secara maya di rumah masing-masing.
Walaupun langkah ini dapat mengatasi masalah pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara amnya, namun ia dilihat telah memberi impak yang besar kepada para pelajar.
Pelajar pascasiswazah yang sebelum ini dapat meluangkan banyak masa di kampus terpaksa bergelut untuk menyesuaikan diri dengan situasi belajar dan membuat penyelidikan dari rumah.
Pembelajaran dan penyelidikan di rumah menuntut ruang dan suasana yang kondusif bagi membolehkan proses pembelajaran, penyelidikan, penulisan tesis dan sesi penyeliaan berjalan dengan tenang dan selesa.
Tambahan pula, pelajar juga mempunyai tanggungjawab dan komitmen yang harus dilaksanakan kepada keluarga.
Pelajar pascasiswazah yang telah berkeluarga perlu bijak membahagikan masa bersama keluarga dan menguruskan hal-hal pengajian.
Suasana dan persekitaran di rumah yang kurang selesa untuk melaksanakan aktiviti pembelajaran dalam talian boleh menjejaskan tumpuan pelajar.
Malah, kurangnya bimbingan dan penyeliaan berkualiti daripada penyelia merumitkan lagi keadaan.
Secara keseluruhannya, keadaan ini akan memberikan impak terhadap kesungguhan pelajar untuk meneruskan pengajian sehingga menyebabkan sebahagian daripada pelajar memilih untuk menangguhkan pengajian.
Oleh yang demikian, pelajar perlu memastikan pengurusan masa yang berkesan supaya mereka mampu memberikan tumpuan sepenuhnya dalam menghasilkan tesis yang berkualiti dalam tempoh yang ditetapkan oleh universiti untuk GOT.
Kesejahteraan mental pelajar pascasiswazah
Menyedari kepentingan aspek kesejahteraan dalam kalangan pelajar pascasiswazah, sekumpulan penyelidik dari Pusat Pengajian Pendidikan dan Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi Universiti Utara Malaysia (UUM) serta Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia (UPM), menerusi kajian Fundamental ResearchGrant Scheme (FRGS) tajaan KPT, telah berkolaborasi untuk mengenal pasti faktor-faktor utama yang menyumbang kepada kesejahteraan mental pelajar pascasiswazah dan pencapaian GOT.
Tinjauan soal selidik terhadap 415 pelajar pascasiswazah mendapati aspek penyeliaan memainkan peranan penting dalam memastikan kejayaan pelajar untuk menamatkan pengajian pada tempoh masa yang ditetapkan.
Pelajar yang mempunyai hubungan yang baik dengan penyelia mempunyai peluang yang lebih tinggi untuk menamatkan pengajian mereka lebih awal.
Hal ini bermakna komunikasi yang berkesan antara pelajar dan penyelia dapat meningkatkan kualiti penyeliaan yang dijalankan.
Selain itu, pelajar hendaklah aktif, mempunyai kesedaran tentang tanggungjawab dan memberikan komitmen yang tinggi bagi memenuhi jangkaan yang diberikan oleh penyelia.
Apabila pelajar sedar akan tanggungjawab terhadap pengajiannya, maka pelajar akan melaksanakan tugas yang diberi oleh penyelia dengan lebih teliti serta menepati kehendak kualiti bidang kajian dan jangkaan penyelia.
Pelajar yang menunjukkan minat terhadap perbincangan dan memberikan pendapat secara berhemah dan kritikal juga dapat menarik minat penyelia untuk terus membantu pelajar.
Keadaan ini akan mengeratkan hubungan baik antara penyelia dan pelajar tersebut. Ia sekali gus meningkatkan kesejahteraan dan kesihatan mental pelajar sepanjang pengajian mereka.
Walaupun begitu, pelajar juga hendaklah mempunyai inisiatif sendiri dan aktif dalam menyempurnakan pengajian mereka tanpa menunggu bimbingan penyelia setiap masa.
Bimbingan berkala daripada penyelia merupakan bonus kepada pelajar yang dapat berdikari dan bertanggungjawab dalam penyelidikan untuk mengorak langkah dengan lebih jauh dan maju dalam bidang akademik.
Baca juga
Khaleef Ali impi bergelar atlet ekuestrian negara seperti Qabil Ambak
“Kami bukan guru yang berprestasi lemah” – Cikgu Norazri
Kuasai pelbagai kemahiran
Selain faktor penyeliaan, penguasaan kemahiran penulisan akademik dan pengetahuan tentang penyelidikan juga amat penting dalam membantu pelajar mencapai matlamat untuk GOT.
Tiada jalan pintas untuk ilmu penyelidikan melainkan pelajar terus konsisten dalam pembacaan dan penulisan kajian akademik yang berkualiti.
Penguasaan ilmu penulisan dan penyelidikan yang tinggi amat memudahkan pelajar untuk menjalani pengajian dengan lebih tenang dan yakin.
Tanggungjawab dan komitmen pelajar pascasiswazah di rumah juga memberikan kesan terhadap kesejahteraan mental pelajar.
Oleh yang demikian, pelajar hendaklah bijak dalam mengatur masa agar dapat menyeimbangkan tanggungjawab sebagai pelajar dan dengan keluarga.
Pelajar juga perlu mahir dalam aspek pengurusan tekanan bagi mengelakkan kemurungan dan kebimbangan melampau.
Kesedaran dan sifat terbuka pelajar dalam mendapatkan ilmu pengetahuan sama ada melalui penyelia ataupun pakar bidang turut menyumbang kepada GOT.
Pelajar hendaklah proaktif bagi mendapatkan informasi yang diperlukan sepanjang proses pengajian.
Bagaimanapun, dapatan kajian FRGS ini juga menunjukkan bahawa sokongan daripada universiti melalui kemudahan yang disediakan seperti perpustakaan dan penganjuran kolokium, dianggap tidak signifikan dalam membantu kesejahteraan dan kesihatan mental pelajar serta pencapaian GOT.
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok
Dapatan tinjauan soal selidik tersebut disokong oleh dapatan temu bual bersama 20 orang pelajar pascasiswazah serta 11 orang penyelia yang menunjukkan pelajar mampu untuk mendapatkan bahan pengajaran melalui teknologi masa kini.
Pelajar juga banyak mendapat pengalaman membentangkan kajian-kajian mereka dalam persidangan akademik di dalam dan luar negara secara maya.
Sehubungan itu, pihak universiti disarankan agar kerap memantau proses penyeliaan dan memberikan bantuan yang sewajarnya kepada pelajar dari aspek mental dan bimbingan profesional yang strategik dan mesra pelajar.
Pihak universiti dan KPT disarankan agar menyemak semula proses pengambilan pelajar pascasiswazah bagi mengelakkan pengambilan pelajar yang kurang bersedia dalam menempuhi proses pengajian yang mencabar seterusnya mengurangkan bilangan pelajar yang cicir dan gagal GOT.
Pelajar juga hendaklah sentiasa peka terhadap kesejahteraan dan kesihatan mental mereka sendiri seterusnya berusaha meningkatkan kualiti diri dan profesionalisme sebagai seorang bakal sarjana.
Kepada rakan-rakan yang sedang menjalani program pascasiswazah, marilah bersama-sama berubah ke arah yang lebih positif, proaktif, kritis dan dinamik. Ayuh sahut cabaran kerajaan kita untuk GOT.
Maklumat Penulis:
1. Amiza Abd Hamid, Calon PhD Awang Had Salleh Graduate School (AHSGS), UUM merangkap Pembantu Penyelidik Siswazah (Graduate Research Assistant) Pusat Pengajian Pendidikan (SOE), UUM
2. Nurliyana Bukhari, PhD, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Pendidikan (SOE), UUM
3. Jamilah Jamal, PhD, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC), UUM