Khairol Hazeeq antara pereka muda yang bakal harumkan nama negara
Khairol Hazeeq antara pereka muda yang bakal harumkan nama negara

Khairol Hazeeq antara pereka muda yang bakal harumkan nama negara

Roshlawaty Md Raieh
11 Apr 2022 01:18pm
A
A
A

Sejak berusia tujuh tahun, anak muda yang dikenali sebagai Khairol Hazeeq Khairol Nizat ini sudah didedahkan dengan permainan video.

Runescape, Crash Bandicoot, Scribblenauts dan banyak lagi adalah antara permainan video yang sering dimain oleh Khairol Hazeeq bagi mengisi masa lapang.

Ketika meningkat dewasa, Khairol Hazeeq masih meneruskan hobinya tanpa jemu.

Walaupun ramai yang beranggapan bermain permainan video melekakan, Khairol Hazeeq yang kini berusia 22 tahun, tetap menyangkalnya.

Ketika dihubungi Sinar Bestari minggu lalu, anak kelahiran Melaka ini berkata, disebabkan hobinya yang suka bermain video sejak kecil, kini dia telah berjaya membangunkan dua permainan berbentuk pendidikan dan hiburan.

“Dua video tersebut adalah Royal Insects dan 8-Bit Penalty, kini boleh didapati menerusi aplikasi Google Play Store secara percuma.

“Royal Insects merupakan game pertama yang saya paparkan di Google Play Store. Ia dicipta berdasarkan permainan popular Flappy Bird. Konsepnya bertemakan serangga kerana saya sangat tertarik dengan keunikan yang ada pada haiwan tersebut.

“Manakala 8-Bit Penalty pula, saya bangunkan setelah menonton kejohanan bola sepak EURO 2020 di mana kebanyakan perlawanan ditentukan dengan sepakan penalti. Oleh itu, saya cuba membuat sebuah game sepakan penalti berkonsepkan pixel art,” ujar anak sulung daripada tiga adik beradik itu lagi.

Baca juga

8 kemahiran yang perlu ada pada pereka permainan dalam talian

Peralatan dan perisian pereka permainan dalam talian

Khairol Hazeeq yang bercita-cita mahu menjadi pereka permainan hebat berkata, menghasilkan dua permainan video tersebut bukanlah satu perkara yang mudah.

“Peringkat pertama, saya kena belajar beberapa langkah penting dalam menghasilkan sesebuah video. Ia menjadi sangat sukar kerana saya tiada pengalaman luas dalam bidang ini.

“Tambahan pula, saya membangunkan permainan video ini berseorangan, jadi, banyak cabaran yang perlu dilalui.

“Bagaimanapun, atas dasar minat yang mendalam, saya berusaha untuk menyiapkan permainan video yang diidamkan. Solusi yang dibuat adalah dengan melihat pelbagai tutorial di YouTube, kerap buat latihan dan mendapatkan pandangan rakan-rakan yang mahir dalam permainan video ini,” jelasnya yang menjadikan Wan Hazmer Wan Abd Halim sebagai rujukan dalam dunia permainan video.

Khairol Hazeeq mengimpikan dapat menjadi seperti idolanya, Wan Hazmer (kanan) yang berjaya dalam bidang permainan video.

Mahu kembangkan bakat

Khairol Hazeeq yang kini pelajar Ijazah Sarjana Muda (Kepintaran Buatan) Universiti Malaya (UM) memberitahu, menjadi pereka permainan dalam usia muda bukanlah semata-mata mahu menjana pendapatan.

Sebaliknya, dia mahu mengembangkan bakat dan kebolehan yang ada, seterusnya mengharumkan nama negara dalam bidang berkenaan.

“Sasaran saya adalah memperkenalkan diri kepada seluruh rakyat Malaysia menerusi dua permainan video yang dihasilkan itu. Saya mahu ia memberi manfaat kepada industri video game dan juga kepada orang ramai.

“Setakat ini, banyak ulasan positif yang diberikan oleh peminat menerusi ruangan komen di Google Play Store. Masing-masing teruja dengan permainan Royal Insects dan 8-Bit Penalty serta berharap saya dapat menghasilkan permainan terbaharu kelak.

“Insya-ALLAH, jika tiada aral melintang, permainan video yang ketiga akan menemui peminat permainan video tidak lama lagi. Projek yang diusahakan bersama Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan berkonsepkan video 3D (berkaitan sejarah Melaka) ini sangat sesuai untuk semua pemain,” ujarnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Mengakhiri perbualan, Khairol Hazeeq menitipkan nasihat kepada pelajar yang mempunyai bakat dalam menghasilkan permainan video, tetapi tidak tahu bagaimana untuk mengembangkannya.

“Saya mohon pada semua pelajar, jika tahu diri ada kebolehan terpendam, usahakan untuk bawa bakat itu ke depan.

“Anda boleh meneroka pelbagai ilmu yang berkaitan menerusi gajet masing-masing. Belajar perlahan-lahan dan jika berkemampuan, boleh sertai mana-mana kelas yang menawarkan pembelajaran dalam permainan video.

“Kuatkan semangat dan jangan terlalu ambil kisah dengan apa yang orang luar katakan. Pedulikan dengan cakap-cakap orang kerana kejayaan bukan datang daripada mereka sebaliknya ia datang hasil daripada kerja keras diri sendiri,” ujarnya.

PROFIL

Nama: Khairol Hazeeq Khairol Nizat

Tahap Pendidikan:

1) Ijazah Sarjana Muda (Kepintaran Buatan) UM (2019 – kini)

2) Pusat Asasi Sains UM 2018-2019 (CGPA: 4.0)

3) Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2017 (7A+ 2A), Sekolah Menengah Sains Muzaffar Syah, Melaka

4) Sekolah Kebangsaan Bukit Beruang, Melaka

Anugerah dan pencapaian:

1) Hadiah saguhati Software Modelling Competition 2021/2022 UM

2) Sukan Mahasiswa UM 2019 (Naib Juara kategori tarik tali)

3) Pelajar Terbaik SPM 2017, Sekolah Menengah Sains Muzaffar Syah, Melaka

4) Olympiad Sains dan Matematik Negeri Melaka 2016 (Sijil Emas Kategori Sains)

5) Malaysian International Young Inventors Olympiad 2016 (Anugerah Gangsa)

6) Strategic Educational Alliance of South East Asia 2016 (3rd Conference) (Pasukan Terbaik)

7) Pelajar Terbaik Peperiksaan Tingkatan 3 (PT3) 2015, Sekolah Menengah Sains Muzaffar Syah, Melaka

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok