Makin ramai pelajar tidak sihat, ibu bapa diminta pantau kesihatan anak-anak
Makin ramai pelajar tidak sihat, ibu bapa diminta pantau kesihatan anak-anak

Makin ramai pelajar tidak sihat, ibu bapa diminta pantau kesihatan anak-anak

Roshlawaty Md Raieh
13 Jul 2022 10:19am
A
A
A

Sejak kebelakangan ini, semakin ramai pelajar yang dilaporkan tidak sihat oleh pihak sekolah.

Ada dalam kalangan mereka dikatakan dijangkiti pelbagai jenis penyakit antaranya jangkitan influenza, demam panas, batuk berterusan, selesema, Covid-19 dan sebagainya.

Dalam soal ini, ibu bapa terutamanya tidak harus memandang ringan berkenaan kesihatan anak-anak.

Sekiranya mendapati mereka tidak bermaya walaupun hanya demam biasa, segeralah membawa anak-anak ke klinik yang berhampiran untuk pemeriksaan lanjut.

Sehubungan itu, Sinar Bestari ingin berkongsi sedikit info penting berkaitan jangkitan influenza yang dikatakan semakin menular pada ketika ini.

Menerusi telegram Perkongsian Dr Zubaidi, kami sertakan serba sedikit mengenai latar belakang jangkitan influenza.

Semoga dengan maklumat berkenaan, ia dapat membantu ibu bapa dan juga guru dalam memantau anak-anak didik sama ada mereka dijangkiti influenza atau pun tidak.

Ini infonya.

Apakah jangkitan influenza?

Influenza merupakan penyakit yang disebabkan oleh virus influenza yang menjangkiti salur pernafasan.

Ia boleh menyebabkan gejala jangkitan yang ringan mahupun serius.

Gejala influenza bermula satu atau dua hari selepas dijangkiti dan antara gejalanya adalah demam, selesema, sakit tekak, batuk, sakit kepala, sakit badan, sukar bernafas, cirit birit dan sakit perut (khususnya kalangan kanak-kanak).

Jangkitan virus influenza akan menyebabkan gejala yang ringan pada orang yang mempunyai tahap immuniti badan yang baik.

Sementara pesakit kronik, kanak-kanak, wanita hamil dan warga tua mungkin mengalami gejala yang lebih teruk.

Influenza merebak dari seorang individu yang dijangkiti kepada seorang individu yang lain melalui titisan salur pernafasan (respiratory droplets) apabila bercakap, batuk atau bersin.

Titisan ini boleh mencemari permukaan dan menyebabkan jangkitan kepada individu yang menyentuh permukaan tersebut.

Mereka yang berisiko mendapat gejala yang teruk adalah:

i) Kanak-kanak berumur kurang dari 5 tahun

ii) Wanita hamil

iii) Warga emas berumur 65 tahun dan ke atas

iv) Individu dengan penyakit kronik (kencing manis, darah tinggi, asma dan lain-lain)

v) Individu obes

vi) Individu yang mempunyai daya ketahanan badan yang rendah (seperti pesakit kanser, penghidap HIV, pesakit yang menjalani rawatan kemoterapi dan lain-lain.)

Secara amnya, terdapat rawatan yang berkesan bagi merawat jangkitan influenza, dimana salah satu dari pilihan rawatan adalah dengan menggunakan ubat anti-viral iaitu tertakluk kepada hasil pemeriksaan yang dijalankan oleh Pegawai Perubatan yang merawat. Rawatan segera adalah amat penting bagi mengelakkan komplikasi penyakit.

Langkah pencegahan yang boleh diamalkan adalah seperti berikut:

i) Amalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti kerap membasuh tangan dengan menggunakan air dan sabun atau hand sanitizer.

ii) Amalkan adab batuk dengan menutup mulut dan hidung apabila batuk atau bersin, sama ada dengan menggunakan tisu atau penutup mulut dan hidung (face mask).

iii) Buang tisu atau penutup mulut dan hidung ke dalam tong sampah bertutup sejurus selepas ia digunakan.

iv) Jarakkan diri dari individu yang bergejala, sekurang-kurangnya dalam jarak satu meter.

v) Rehat di rumah dan elakkan mengunjungi tempat tumpuan ramai jika bergejala. Sekiranya perlu ke tempat awam, gunakan penutup mulut dan hidung.

Perbezaan antara Influenza A dan Influenza B

Influenza adalah virus yang mudah berjangkit menyerang sistem pernafasan manusia. Ia merebak melalui titisan pernafasan apabila seseorang yang selesema itu bersin atau batuk.

Terdapat dua jenis virus yang biasa iaitu Influenza A dan Influenza B yang sering menyebabkan jangkitan wabak hampir setiap tahun.

Influenza A adalah virulent atau senang berjangkit dalam kalangan manusia dan burung. Ia berpotensi untuk berubah secara mendadak dalam masa yang singkat dan wabak akan mudah merebak dalam kalangan komuniti.

Sebagai contoh, subjenis influenza ini yang paling biasa berjangkit adalah H1N1 dan H3N2.

Sebaliknya, Influenza B pula biasanya hanya berjangkit pada manusia.

Dianggarkan jangkitan Influenza A menyumbang pada 75 peratus daripada jumlah jangkitan influenza, sementara jangkitan Influenza B menyumbang baki 25 peratus.

Individu yang mendapat salah satu jenis masalah flu ini boleh menyebarkan virus kepada orang lain pada jarak enam kaki (1.83 meter) apabila mereka batuk atau bersin.

Seseorang boleh dijangkiti jika menyentuh permukaan meja, pintu, telefon atau barang-barang yang tercemar dengan virus Influenza A atau B dan kemudiannya menyentuh hidung atau mulut.

Rawatan yang sama diberikan tanpa mengira jenis influenza.

Tujuan rawatan adalah untuk melegakan gejala sehingga sistem imuniti tubuh membunuh virus dalam badan.

Ubat antiviral boleh mengurangkan gejala yang dialami. Antaranya adalah:

i) Zanamivir (Relenza)

ii) Oseltamivir (Tamiflu)

iii) Peramivir (Rapivab)

Terdapat juga ubat antivirus baru yang dipanggil Marboxil Baloxavir (Xofluza). Ubat ini telah diluluskan oleh FDA pada akhir 2018.

Biasanya gejala berlangsung sekitar satu minggu hingga dua minggu.

Kedua-dua Influenza A dan B sangat berjangkit dan menyebabkan jenis penyakit dan gejala yang sama iaitu demam, batuk, selsema, sakit badan dan letih.

Antara tip yang membantu meningkatkan daya tahan tubuh adalah pemilihan makanan yang bernutrisi, cukup rehat dan minum banyak air suam.

Artikel berkaitan 

Rahsia tersembunyi pelajar cemerlang, berikut 9 perkara dikongsi mereka

4 pergerakan bola sepak yang efektif serta mudah dipelajari

Murid ketagih makanan manis, berikut 6 bahaya menanti jika tidak dikawal


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan