projek tuisyen percuma
projek tuisyen percuma

Memandu sejauh 160KM untuk mengajar secara percuma kepada anak-anak miskin, mulia sungguh hatimu pensyarah!

Rasyidah Zulkifi
22 Sep 2022 02:34pm
A
A
A

Kisah pensyarah Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok, Kedah, Dr Fauziah Mohd Noor ini, boleh dijadikan panduan untuk kita bahawa untuk membantu boleh dengan pelbagai cara, bukan dengan wang ringgit sahaja. .

Tidak terikat dengan jawatan tinggi, sejak tujuh tahun lalu, setiap minggu Fauziah sanggup memandu sendirian sejauh 160 kilometer (KM) dari Jitra ke Kampung Sungai Pau.

Tujuannya adalah untuk mengadakan kelas bimbingan mata pelajaran Bahasa Inggeris secara percuma kepada murid-murid yang tinggal di sekitar kampung berkenaan.

Menurutnya, tidak semua mengetahui hakikat yang dilalui anak-anak miskin di kawasan yang jauh dari bandar, malah, ada yang tercicir dalam pelajaran pada usia muda.

“Sebagai pendidik, adalah menjadi tanggungjawab saya untuk membantu anak-anak di kampung untuk meningkatkan kemahiran Bahasa Inggeris mereka.

“Setiap hari Sabtu, saya akan memandu keluar dari rumah pukul 8 pagi untuk ke kampung itu yang memakan masa sejam lebih untuk sampai.

“Alhamdulillah, kebiasaannya setiap kali sampai, sudah ramai anak didik yang menanti kehadiran saya yang dipanggil 'teacher',” katanya yang juga bersyukur kerana mereka yang menghadiri tuisyen mendapat tajaan sarapan daripada sahabat-sahabat UUM dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Ternyata apa yang diusahakan Fauziah ini tidak sia-sia kerana selepas dua tahun, beliau menyedari perkembangan positif dalam kanak-kanak yang berumur 6 hingga 12 tahun.

Malah, makin ramai ibu bapa mengakui selepas anak mereka mengikuti kelas tuisyen tersebut, keyakinan diri kian terserlah.

“Saya sangat bersyukur dengan bantuan ALLAH, murid-murid yang dahulunya kurang penguasaan dalam Bahasa Inggeris, kini sudah pandai membaca, menulis dan berani bercakap.

“Lebih mengujakan ada di antara mereka yang menjadi pemidato dan menang pertandingan ‘public speaking’ peringkat sekolah.

“Pelajar yang kini berada di Tingkatan Dua juga telah dihantar ke Bangkok, Thailand untuk menyertai projek Young Scientist,” ujarnya yang mengendalikan tuisyen menggunakan duit sendiri sehinggalah wabak Covid-19 melanda.

Tambahnya, ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, usaha murninya itu terbatas menyebabkan Fauziah tidak boleh keluar rumah.

“Akibatnya, saya menerima mesej bertalu-talu daripada murid-murid yang menantikan kedatangan saya.

“Pada ketika itu saya berasa agak sedih kerana tidak dapat mengadakan kelas tuisyen seperti minggu kebiasaan.

“Untuk menjalankan kelas secara dalam talian, pula agak mustahil kerana rata-rata mereka tidak mempunyai gajet dan rangkaian internet di rumah,” katanya.

Untuk itu, Fauziah berpakat dengan sahabat-sahabat di pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Raqilla Insani bagi membangunkan pusat sumber pertama di Kampung Sungai Pau.

Ujarnya, NGO ini telah menyumbangkan empat set komputer dan dua buah komputer riba beserta talian internet berkuasa laju untuk sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP).

Kredit foto: Facebook Dr Fauziah

Artikel berkaitan 

Antivirus terbaik sebenarnya mungkin sudah ada dalam komputer anda secara percuma

Tetap datang ke sekolah walaupun sakit, mulianya hatimu cikgu

(VIDEO) Menara telekomunikasi daerah terbakar, pelajar UPSI kongsi kisah perjalanan 130 km untuk dapatkan capaian internet


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan