HomeKomunitiMurid Tahun Dua berjaya catat 2 rekod dunia, hafal 230 bendera dalam...

Murid Tahun Dua berjaya catat 2 rekod dunia, hafal 230 bendera dalam tempoh 4 minit 38 saat

Pencapaian murid Tahun Dua Sekolah Kebangsaan Seri Selangor di Subang Jaya, Selangor, Anjanaa Rhea Ganeson yang mencatat dua rekod dunia begitu luar biasa apabila dapat menamakan 230 bendera negara hanya dalam masa kurang lima minit.

Si cilik pintar ini dapat menembusi Rekod Dunia Kanak-kanak (KWR) Kanada dan Buku Rekod Dunia Jackhi (JBWR) India menerusi catatan masa terpantas iaitu dalam tempoh empat minit dan 38 saat.

KWR menonjolkan bakat kanak-kanak berumur empat hingga 16 tahun, di bawah kategori perempuan (tujuh hingga sembilan tahun), manakala JBWR mempamerkan bakat terpendam orang di seluruh dunia. 

“Saya sangat berbesar hati dan teruja kerana mendapat pengiktirafan berganda ini yang pastinya menaikkan semangat saya untuk melakukan yang lebih baik pada masa hadapan,” katanya yang menyelesaikan tugas itu secara dalam talian dan memperoleh kedua-dua pengiktirafan pada Januari dan Mac lalu. 

Menurutnya, sebelum wabak Covid-19 melanda, dia bersama ibu bapa mengembara ke banyak negara termasuk Indonesia, Kemboja dan India. 

“Selama bertahun-tahun, minat saya semakin mendalam untuk mengetahui lebih lanjut tentang bendera negeri dan negara yang pelbagai. 

“Saya sangat menyukai warna dan simbol yang menarik bagi setiap bendera sekali gus memberi inspirasi kepada saya untuk mempelajari mengenai bendera semua negara di dunia,” ujar Anjanaa yang bercita-cita untuk menjadi doktor haiwan.

Ulasnya lagi, segalanya bermula semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berlangsung iaitu ketika Anjanaa berumur enam tahun.

“Sepanjang duduk di rumah, ibu bapa mencipta aktiviti yang menyeronokkan untuk saya dan salah satunya ialah menghafal bendera.

“Aktiviti ini memerlukan disiplin dan banyak latihan untuk mencatat rekod masa. Pada waktu itu, saya berjaya menghafal 195 bendera negara dan ibu negara,” jelasnya.

Artikel berkaitan

Penyelidik cipta dron pelbagai fungsi, inovasi tingkat produktiviti pertanian

UTHM cipta rekod MBOR hasilkan dron kargo saiz besar pertama di Malaysia

SMKAMi cipta rekod bacaan al-Quran paling lama di Malaysia

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok