muzium sultan abu bakar
muzium sultan abu bakar

Muzium Diraja khazanah negara

Rasyidah Zulkifi
08 Jun 2022 05:59pm
A
A
A

Muzium sememangnya dikenali sebagai sebuah tempat yang menyimpan pelbagai koleksi barangan lama khazanah negara yang usianya mencecah ratusan tahun.

Hakikatnya, muzium memainkan peranan besar kepada negara dan masyarakat di mana ia bagaikan gedung ilmu dan berperanan sebagai institusi pendidikan.

Kali ini Sinar Bestari menyenaraikan Muzium Diraja seluruh negara untuk tatapan pembaca.

1. Muzium Diraja

Muzium Diraja terletak di Jalan Istana, Kuala Lumpur. Ia merupakan Istana Negara lama yang didiami dan digunakan semasa pertabalan Yang di-Pertuan Agong pertama hingga Yang di-Pertuan Agong ke-13. Istana Negara lama ini dahulunya adalah sebuah rumah agam yang telah dibina pada 1928. Ia pernah diduduki jutawan dari China, dijadikan tempat pemerintahan pegawai tentera Jepun dan pusat pentadbiran tentera udara diraja British.

Pada 15 November 2011, seluruh penghuni istana berpindah ke bangunan baru yang dibina di Jalan Duta, Kuala Lumpur.

Istiadat menurunkan bendera peribadi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai simbolik rasmi tidak lagi bersemayam di kediaman tersebut.

2. Muzium Sultan Alam Shah

Penubuhan Muzium Sultan Alam Shah telah diperkenan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Salahuddin Abdul Aziz yang menandatangani Enakmen No.6 Tahun 1975 Negeri Selangor pada 1975. Ia telah dirasmikan pada 1989 mengikut adat resam Melayu dan dipertanggungjawab di bawah Lembaga Muzium Selangor.

Bangunan setinggi lima tingkat ini dibina bersebelahan Perpustakaan Shah Alam mengikut seni bina moden dan terletak di Selangor. Terdapat tiga tingkat ruang pameran dengan lima buah balai iaitu Balai Sukan, Balai Sejarah, Balai Warisan Alam Semulajadi, Balai Kebudayaan, Balai Islam dan Pameran Luar.

3. Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz

Ia terletak di Klang, Selangor dan dibina pada 1909 bercirikan ‘neo classic’. Galeri ini telah menjadi warisan sejarah Sultan Selangor ke-8, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong yang kesebelas pada 1999 dan menjadi Sultan Selangor yang kelapan.

4. Muzium Sultan Abu Bakar

Muzium Sulatan Abu Bakar menghadap Sungai Pahang dan terletak di Jalan Sultan Ahmad, Pekan, Pahang serta mempunyai sejarah Diraja yang didokumentasikan dengan baik. Muzium Sultan Abu Bakar merupakan salah satu istana yang menyimpan segala berkaitan dengan keturunan kerajaan Pahang dan ia dipaparkan di dua dewan besar.

5. Muzium Diraja Kuala Kangsar

Muzium ini (dahulunya dikenali sebagai Istana Kenangan, Istana Lembah dan Istana Tepas) telah dibina oleh tukang kayu yang berasal dari Seberang Prai, Suffian dengan dibantu oleh dua orang anaknya, Zainal Abidin dan Ismail.

Istana ini dibina sebagai tempat bersemayam sementara Almarhum Sultan Iskandar Shah (Marhum Kadasallah), Sultan Perak ke-30 mulai 1931 hingga 1933 kerana Istana Iskandariah masih lagi dalam pembinaan ketika itu. Istana ini kemudiannya dijadikan Istana Tetamu pada hari-hari perayaan penting dan istiadat rasmi sahaja. Pada 1986, ia berada di bawah pentadbiran kerajaan negeri dan pada 2009 ia telah diwartakan menjadi tapak warisan sejarah.

6. Muzium Diraja Kedah

Ia merupakan sebuah bangunan istana lama yang siap dibina pada 1735 dan pernah didiami oleh beberapa Sultan Kedah serta tentera Jepun ketika perang dunia kedua. Antara nama yang pernah diberikan kepada istana ini ialah Istana Pelamin, Kota Setar dan Istana Mak Wan Besar.

Istana ini telah dibaik pulih dan dijadikan Muzium Diraja dan dirasmikan Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Tunku Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah pada 1983.

7. Galeri Diraja Arau Perlis

Pelawat perlu membuat permohonan terlebih dahulu sebelum dibenarkan masuk ke dalam galeri ini. Di dalam galeri ini pelawat dapat melihat kelambu Kaabah daripada kain kiswah yang diberikan oleh pemerintah Arab Saudi kepada Sultan Perlis pada 1995.

8. Muzium Diraja Seri Menanti

Istana ini terletak di Negeri Sembilan dan siap bina pada 1908. Pada 1992, DYMM Tuanku Ja’afar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman merasmikan ia sebagai muzium memandangkan telah dibiarkan kosong sejak 1964. Muzium ini cukup terkenal dengan keunikan yang dibina tanpa sebarang paku.

Artikel berkaitan 

Kenali 6 pakaian kebesaran, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Raja Permaisuri Agong 

8 alat kebesaran diraja 

Agong zahir ucapan tahniah kepada Nur Athirah dan Putera Aiman 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan