pexels-keira-burton-6147369
pexels-keira-burton-6147369

ODL - Pelajar IPT perlu buka minda dan intai peluang

webadmin
22 Oct 2021 05:27pm
A
A
A

Penularan pandemik Covid-19 telah menjadikan hampir seluruh penduduk dunia teradaptasi dengan gaya hidup norma baharu; khususnya pembelajaran dalam talian yang perlu dimanfaatkan secara optimum oleh seluruh masyarakat.

Ia menjadikan kesemua pelajar tidak kira di sekolah rendah, menengah terutama pelajar-pelajar di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) kini perlu menyesuaikan diri dalam mengendalikan kepelbagaian teknologi bagi memastikan proses pembelajaran dalam talian atau dikenali sebagai Open Distance Learning (ODL) mereka berjalan lancar dan tidak ketinggalan.

Kajian telah membuktikan individu yang cekap dalam mengadaptasi teknologi komunikasi akan lebih pantas mencapai objektif, sekali gus mampu memberi daya saing kepada individu lain.

Platform komunikasi secara dalam talian yang ringkas seperti WhatsApp, Telegram, Facebook dan Instragram sehingga yang lebih berstruktur seperti Zoom, Google Meet, Webex, Microsoft Teams dan sebagainya kini digunakan dengan cukup meluas bagi membolehkan maklumat pembelajaran dilaksanakan sama ada secara segerak (synchronous) ataupun tidak segerak (asynchronous).

Namun begitu, persoalan utama dalam proses pengadaptasian norma baharu ini adalah sejauh manakah keberkesanan ODL terhadap pelajar-pelajar di IPT.

Baca juga Guru-guru jangan selalu tidur lambat, rupa-rupanya ini bahaya yang menanti

Baca juga Pensyarah Kanan UiTM gesa ibu bapa pantau aktiviti dalam talian anak-anak, cegah sebelum parah

Jika ditinjau dengan teliti dapatan kajian-kajian yang dilakukan di era pandemik Covid-19 berkaitan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara dalam talian, masalah yang kerap dihadapi pelajar adalah berkaitan dengan kebolehcapaian internet; kekurangan peranti yang sesuai untuk belajar; dan masalah sosial lain seperti kurangnya komunikasi serta interaksi bersama tenaga pengajar juga rakan sebaya yang seterusnya menyebabkan pelajar berasa terasing sehingga motivasi untuk belajar merundum.

Hakikatnya, permasalahan ini mampu diatasi jika pelajar bijak mengatur langkah dan cakna terhadap perubahan persekitaran pembelajaran.

Komunikasi norma baharu kini berkait rapat dengan penggunaan jalur lebar (broadband) sebagai medium komunikasi capaian tinggi iaitu sistem penghantaran data melalui platfom internet.

Statistik yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada Jun 2021 menunjukkan penembusan penggunaan jalur lebar di Malaysia pada suku pertama tahun 2021 adalah sebanyak 39 peratus, meningkat 1.8 peratus berbanding suku keempat 2020 iaitu 37.2 peratus bagi penggunaan jalur lebar tetap.

Manakala penggunaan jalur lebar mudah alih pada suku pertama 2021 meningkat sebanyak 1.4 peratus iaitu sebanyak 120.1 peratus berbanding 118.7 peratus pada suku keempat 2020.

Statistik ini menunjukkan tren penggunaan jalur lebar sebagai medium untuk berkomunikasi di Malaysia semakin meningkat dari semasa ke semasa, seiring dengan keperluan kelangsungan sistem ekonomi dan pendidikan di musim pandemik.

Hal ini membuktikan kebanyakan keluarga di Malaysia mampu menyediakan kemudahan internet di kediaman masing-masing bagi tujuan bekerja dan khususnya belajar secara dalam talian.

Jangan ambil kesempatan

Sebagai seorang pelajar, mereka tidak seharusnya mengambil kesempatan di atas situasi pandemik ini untuk dijadikan alasan tidak melaksanakan tugasan dengan lebih efektif.

Sebaliknya pelajar perlu menjadikan situasi ini sebagai satu kelebihan dan peluang kepada mereka dalam mempelajari lebih banyak kemahiran teknologi dan meningkatkan kapasiti dan kemahiran diri (upskill) dengan pelbagai kemahiran lain bagi membolehkan mereka diambil bekerja dengan mudah selepas bergraduasi.

Dalam berhadapan masalah berkaitan capaian internet dan kesesuaian peranti, terdapat pelbagai solusi yang disediakan oleh pihak kerajaan, badan-badan swasta, selain pihak institusi pengajian yang juga tampil membantu dalam menyelesaikan masalah ini.

Sebagai contoh, pihak kerajaan telah menawarkan Pakej Peranti RM1 Malaysia Prihatin bagi membolehkan semua rakyat Malaysia memiliki atau menaik taraf pelbagai peranti mudah alih yang menyokong 4G dan VoLTE bermula dengan hanya RM1, dengan syarikat-syarikat telekomunikasi yang mengambil bahagian.

Baca juga Dapatkan semula tidur yang berkualiti, guru-guru boleh ikuti tip ini

Baca juga Amalan pemakanan semasa menghadapi peperiksaan, guru dan pelajar diminta lebih peka

Selain itu, pakej Jaringan Prihatin yang disediakan oleh kerajaan juga dapat membantu golongan B40 dengan memberikan insentif RM300 bagi pembelian peranti baharu dan RM180 untuk melanggan data bulanan dari syarikat telekomunikasi terpilih.

Syarikat telekomunikasi ini juga memberikan data harian sebanyak 1G secara percuma kepada pengguna sehingga 31 Disember 2021.

Selain itu, pihak YTL juga mengeluarkan inisiatif dikenali sebagai Learn From Home (LFH) dalam menyokong sistem pendidikan sehingga akhir tahun ini.

Justeru, para pelajar seharusnya memanfaatkan kemudahan-kemudahan yang diberi ini untuk memudahkan proses pembelajaran mereka dan seterusnya menjadi lebih kreatif dan kritis dalam melaksanakan tugasan mereka.

Selain itu, pelajar juga perlu bijak mengambil peluang dengan melaksanakan tugasan yang diberi oleh pengajar dengan menyahut cabaran untuk menjadi lebih inovatif.

Peluang ini perlu dimanfaatkan dengan berkolaborasi bersama rakan sekelas dan juga pakar rujuk selain pengajar secara dalam talian.

Dengan adanya kolaborasi tersebut, secara tidak langsung pelajar dapat berinteraksi dengan lebih sihat secara maya, belajar untuk menggunakan aplikasi baharu dan juga berfikir di luar kotak apabila mencari sendiri bahan-bahan dan pakar-pakar rujuk lain sebagai rujukan.

Pelajar yang gagal memanfaatkan peluang ini dibimbangi akan meletakkan diri mereka dalam keadaan yang kurang berinteraksi, seterusnya berasa rendah diri kerana kekurangan ilmu berbanding rakan-rakan lain, yang akhirnya membawa kepada masalah depresi kerana rasa terbeban dengan tugasan.

Perkara negatif seperti ini juga boleh berlaku sekiranya pelajar mengambil mudah dalam melaksanakan tugasan dengan menyiapkan pada minit terakhir.

Namun, harus diingatkan, dengan adanya kemudahan dalam talian ini, pelajar dilarang sama sekali untuk melakukan kerja secara copy and paste ataupun mengupah pihak ketiga untuk menyiapkan tugasan mereka.

Ikuti juga kami di:

Instagram: https://www.instagram.com/gpsbestari/

Twitter: https://twitter.com/GPSBestari

Youtube: https://www.youtube.com/c/GPSBestariOfficial/

Tindakan tersebut nyata sia-sia kerana ia tidak akan meningkatkan kemahiran kendiri, sebaliknya menunjukkan kualiti kerja yang buruk memandangkan usaha yang diberi adalah pada tahap yang minimal.

Walaupun tenaga pengajar tidak tahu apa yang berlaku disebalik tugasan yang dihantar oleh pelajar, namun terdapat banyak alat dan perisian yang boleh digunakan untuk mengesan tindakan tidak bermoral ini seperti Turnitin.

Teknologi komunikasi dalam talian ini seharusnya membuka minda pelajar untuk menjadi individu yang lebih matang dari kebanyakan sudut memandangkan kepelbagai ilmu dan kemahiran lebih mudah diperolehi berbanding sistem pembelajaran secara bersemuka.

Pokok pangkal keberkesanan ODL ini adalah kesedaran dan kawalan kendiri pelajar serta keikhlasan dan ketakwaan mereka dalam menimba ilmu.

Maklumat Penulis

Suraya Hamimi Mastor, Pensyarah Kanan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Kampus Bandaraya Melaka

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan