sumbangan kit keperluan asas asanf usm
sumbangan kit keperluan asas asanf usm

Pelajar semester baharu teruja... Golongan asnaf terima kit keperluan asas, pengangkutan percuma

Rasyidah Zulkifi
13 Oct 2022 05:47pm
A
A
A

 

Semua pelajar semester baharu telah mula berpusu-pusu ke universiti untuk memulakan pengajian secara bersemuka bagi sesi akademik 2022/2023.

Mengira latar belakang, masing-masing membawa kelengkapan diri dan alatan pembelajaran terutama yang berkemampuan.

Bagi yang berasal daripada keluarga B40 dan menerima bantuan zakat, mereka ini akan dibantu oleh institusi berkenaan.

Sementara di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang, golongan asnaf ini dibantu dengan inisiatif perkhidmatan kebajikan yang ‘mesra pelajar’ menerusi pemberian kit keperluan asas dan penyediaan pengangkutan percuma.

Sumbangan kit keperluan asas asnaf Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang.

Ia bertujuan menzahirkan keprihatinan kepada pelajar-pelajar. Ia mendapat maklum balas positif khususnya mereka yang sangat memerlukan bantuan untuk meneruskan kelangsungan hidup di universiti.

Anak kepada petani kelahiran Kuala Nerus, Terengganu, Muhammad Syahrul Nizam Rezali, 20, meluahkan rasa syukur dan mengucapkan terima kasih kepada USM kerana memudahkan urusannya untuk menghadiri hari pendaftaran bagi menyambung pengajian dalam bidang Sastera di sana.

“Pada mulanya, saya berasa bimbang dan asyik memikirkan bagaimana caranya saya hendak pergi ke Pulau Pinang.

“Ayah saya telah uzur dan beliau tidak berupaya memandu dengan jarak yang jauh, tambahan pula matanya juga mempunyai masalah rabun.

“Namun, saya bersyukur kerana terbaca hebahan mengenai perkhidmatan pengangkutan percuma yang ditawarkan USM khusus buat pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Sementara itu, Muhammad Hamizan Che Hasim, 20, yang turut mendapat perkhidmatan yang sama, berkata, tidak menyangka rezeki untuk menyambung pengajian di sana dipermudahkan segalanya dengan pelbagai tawaran bantuan.

Urusetia program perkhidmatan kebajikan 'mesra pelajar'.

“Saya berasal daripada daerah Tumpat di Kelantan memang bergantung kepada kemudahan awam sahaja untuk bergerak kerana tidak mempunyai kenderaan.

“Ibu bapa saya juga sangat terharu dengan inisiatif kebajikan USM dan mereka gembira dapat melihat saya pergi menuntut ilmu dalam keadaan yang cukup selesa.

“Saya turut dibekalkan dengan keperluan asas seperti bantal, selimut, cadar, baldi, selipar dan sebagainya,” ujar anak sulung daripada empat beradik itu.

Seorang lagi pelajar, Wan Zainal Abidin Wan Abdullah, 20, dari Besut, Terengganu juga merakamkan penghargaan di atas keprihatinan dan layanan yang cukup baik dari warga USM.

“Sepanjang perjalanan dari Pantai Timur ke Pulau Pinang memang sangat selesa kerana kami bukan sekadar diberikan pengangkutan percuma, malah makan juga disediakan.

“Saya bersyukur kerana bantuan yang dihulurkan USM itu benar-benar meringankan beban kami sebagai pelajar,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Profesor Datuk Gs Dr Narimah Samat, berkata, USM dalam usahanya untuk memperkasa kelestarian pendidikan sentiasa mempertimbangkan amalan terbaik bagi memastikan semua pelajar menerima pengajaran yang berkualiti, di samping meletakkan keselamatan dan kebajikan pelajar sebagai keutamaan.

“Bagi kemasukan sidang akademik 2022/2023, USM memperkenalkan beberapa inisiatif untuk memperkasa pelajar kurang berkemampuan, antaranya menyediakan pengangkutan percuma dari pantai timur untuk ke kampus induk di Pulau Pinang.

“Perkhidmatan berkenaan terbuka kepada semua pelajar kategori B40 yang tidak mempunyai kenderaan sendiri dan berkeperluan khas sahaja.

“Turut disediakan adalah kit keperluan asas untuk pelajar B40 kelompok B1 (pendapatan keluarga RM1,000 ke bawah) yang disediakan melalui pembiayaan dana terkumpul sebanyak RM40,000, hasil sumbangan bersama Pejabat Naib Canselor, Jabatan Pendaftar, Pusat Islam, penaja-penaja luar, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sumbangan peribadi,” jelasnya.

Selain itu, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni bersama-sama Pusat Islam bekerjasama dalam menjayakan Kenduri Siswa: Makan Tengah hari.

Dua ekor lembu dikorbankan bagi meraikan kedatangan semua pelajar dengan kapasiti juadah 3,500 tetamu dan antara menunya adalah nasi minyak, gulai daging ubi, dalca dan buah-buahan.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Profesor Dr Azlinda Azman dan Timbalan Pendaftar Kanan, Bahagian Pengurusan Akademik, Ramli Osman.

Artikel berkaitan 

20 pelajar asnaf terharu terima sumbangan

Lebih ramai pelajar asnaf cemerlang bakal dilahirkan

Pelajar asnaf dan B40 terima sumbangan kebajikan lebih RM10 juta daripada UMK


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan