Pemuda kongsi pengalaman bersekolah di SJKC, ibu bapa boleh ikuti panduan ini

Adlan Farhan Azwan
19 Aug 2022 11:37am
A
A
A

Hari ini, sudah menjadi kebiasaan bagi ibu bapa berbangsa Melayu atau India untuk menghantar anak-anak mereka ke Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).

Tidak dinafikan, semestinya pasti akan terdapat sedikit kebimbangan buat ibu bapa apabila anak-anak mengikuti pembelajaran di dalam kelas terutamanya daripada segi perbezaan bahasa, agama dan budaya.

Oleh itu, Sinar Bestari tertarik dengan satu hantaran oleh Danial Arif menerusi laman Facebook yang berkongsi tentang pengalaman sebenar dia bersekolah di SJKC dari Tahun Satu sehingga Enam.

Jom ikuti perkongsian tersebut!

***

Saya bersekolah di SJKC dari Tahun Satu hingga Enam. Sebenarnya, sejak berumur lima tahun saya sudah belajar di tadika Cina.

Ini cerita pengalaman sebenar saya, apa kesusahan dan cabaran yang saya lalui semasa belajar.

Tujuan saya membuat perkongsian ini hanyalah ingin berkongsi pengalaman sedia ada. Sekiranya anda ada anak yang sedang belajar di SJKC atau bercadang untuk menghantar anak ke SJKC, hantaran ini untuk anda.

1. Sekolah Cina susah kerana bahasa Cina itu sendiri sukar tetapi saya berjaya kuasai bahasa Cina (percakapan) sebelum masuk Tahun Satu.

2. Saya sendiri tengok ada anak-anak Melayu yang tertinggal dalam pelajaran semasa di SJKC. Punca? Sebab tidak dapat menguasai bahasa Mandarin.

3. Kenapa mereka tidak dapat memahami bahasa ini? Ini kerana mereka tidak mempunyai asas sejak dari tadika.

4. Jika ibu bapa ingin menghantar anak ke SJKC, sila hantar mereka ke tadika Cina terlebih dahulu semasa mereka berumur lima tahun.

5. Selain percakapan, cabaran kedua adalah membaca. Tulisan Cina sememangnya rumit kerana bahasa ini tiada sistem abjad ABCD.

6. Bahasa Cina menggunakan sistem tulisan simbol dan setiap perkataan ada simbol tersendiri. 们 (pintu) 人 (orang) 头(kepala).

7. Dalam bahasa Cina ada 50,000 perkataan. Anak anda perlu ingat 2,000 hingga 3,000 patah perkataan kalau hendak membaca dengan lancar.

8. Saya dapat C untuk Penilaian Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dalam subjek Bahasa Cina (Pemahaman). Sehingga ke hari ini, saya tidak begitu pandai membaca tetapi boleh bercakap dengan lancar.

9. Sebenarnya, tidak mempunyai kebolehan untuk membaca merupakan masalah besar kerana semua buku teks subjek matematik dan sains serta kertas ujian ditulis dalam tulisan Cina.

10. Dalam erti kata lain, sepandai mana murid dalam subjek sains dan matematik, jika tidak pandai membaca tulisan Cina, kemungkinan untuk gagal amat tinggi.

11. Kerja sekolah yang diberikan di SJKC sangat banyak. Saya pernah tidur pukul 12 malam untuk siapkan kerja sekolah.

12. Bayangkan keperitan yang saya alami kerana kerja sekolah banyak dan banyak perkataan yang saya tidak pandai baca.

13. Sesi pembelajaran sekolah cina kebiasaannya mempunyai tiga sesi. Maksudnya, akan ada dua kali rehat dan waktu balik pada pukul 2.30 petang.

14. Ibu bapa perlu ada inisiatif untuk ajar anak bab agama kerana agak sukar untuk anak-anak ke sekolah agama disebabkan waktu persekolahan SJKC yang sedikit berbeza.

Secara ringkasnya, kalau anda ada perancangan untuk memasukkan anak ke SJKC, kena bermula dengan masuk tadika Cina seawal lima tahun.

Sekiranya anda tidak berpeluang menghantar anak ke tadika Cina dan sekarang sudah memasuki SJKC, cuba tanya anak-anak sama ada mereka menghadapi masalah semasa proses pembelajaran di dalam kelas atau tidak.

Jika mereka menjawab ya, keputusan terbaik yang boleh diambil ialah keluarkan mereka dari SJKC dan daftarkan mereka ke Sekolah Kebangsaan (SK).

Berdasarkan pengalaman keluarga saya, adik saya hanya dapat bertahan di SJKC sampai Tahun Empat sahaja.

Apabila di Tahun Lima, ayah saya terpaksa keluarkan dari SJKC untuk dimasukkan ke SK kerana adik saya sering tertinggal dalam pelajaran.

Jikalau anak anda sedang belajar di SJKC dan sering mengadu tidak seronok dan susah, percayalah cakap mereka.

Sumber: Facebook Danial Arif

Artikel berkaitan

‘Hentikan buli’ - Ini pesanan penting KPM

Mahkamah Tinggi benarkan tulisan jawi diajar di sekolah Cina dan Tamil seluruh negara

Pelaksanaan ‘spotcheck’ mengejut, tangani isu buli di sekolah berasrama


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan