WhatsApp Image 2022-12-05 at 3.27.36 PM
WhatsApp Image 2022-12-05 at 3.27.36 PM

Penilaian dan pentaksiran bilik darjah wajib dikuasai para guru

Adlan Farhan Azwan
05 Dec 2022 03:29pm
A
A
A

Sistem pentaksiran yang terdapat dalam sistem pendidikan di negara ini dilihat sebagai salah satu langkah bagi menilai dan mendapatkan maklumat tentang pencapaian murid-murid dalam setiap aspek.

Keberkesanan penilaian bilik darjah yang digunakan para guru untuk menilai prestasi murid semasa proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) di dalam bilik darjah amatlah penting.

Justeru, dalam melaksanakan penilaian bilik darjah yang berkesan, setiap guru perlu dilengkapi pemahaman serta pengetahuan yang secukupnya supaya dapat menyumbang kepada penambahbaikan dalam pembelajaran murid-murid.

Persoalannya, sejauh mana keberkesanan proses penilaian yang digunakan oleh guru dalam bilik darjah.

Bagi menjawab persoalan tersebut, Guru Cemerlang Bahasa Melayu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Payong, Pokok Sena, Kedah, Dr Abdul Ghani Jalil telah berkongsi tujuh persoalan yang perlu guru fahami terhadap penilaian dalam PdP.

1. Adakah murid melibatkan diri secara aktif dengan aktiviti penilaiaian?

Penglibatan murid-murid secara aktif yang sentiasa memberi respon kepada sesi pembelajaran

adalah tunjang kepada PdP yang berjaya kerana ia memudahkan guru untuk membuat penilaian

2. Adakah murid menumpukan perhatian kepada apa yang dilakukan dalam proses penilaian?

Sekiranya murid dapat menumpukan perhatian semas proses penilaian, guru boleh mendapatkan gambaran tentang prestasi pembelajaran seseorang murid dalam sesuatu subjek atau aktiviti pembelajaran dengan lebih jelas.

3. Adakah murid bersemangat atau bersungguh-sungguh untuk mendapatkan respon dan maklum balas daripada guru dengan hasil kerja mereka?

Guru seharusnya memberi peluang kepada semua murid dalam pelbagai aktiviti yang dijalankan sama ada secara individu atau berkumpulan bagi mewujudkan persaingan secara sihat.

Aktiviti ini akan menjadikan murid lebih cenderung untuk menyumbangkan idea dan pendapat dalam membantu kumpulan mereka mendapatkan jawapan yang betul.

4. Adakah murid bermotivasi sepanjang aktiviti penilaian?

Guru harus bijak merancang aktiviti sepanjang PdP supaya segala pertanyaan murid-murid dapat dijawab (sekiranya terdapat tugasan yang tidak difahami oleh mereka). Apabila guru gagal berbuat demikian, murid-murid akan terpinggir dan sekali gus merasa tidak dihargai.

5. Adakah aktiviti penilaian yang digunakan autentik?

Pentaksiran autentik ialah suatu penilaian yang dilakukan terhadap murid yang melaksanakan aktiviti dan tugasan yang merujuk kepada situasi kehidupan sebenar.

Selain itu, melalui pentaksiran berbentuk autentik, murid berupaya untuk mengaplikasikan pelbagai kemahiran dan pengetahuan yang bermakna ke dalam diri sewaktu melaksanakan aktiviti yang telah diberikan oleh guru.

6. Adakah pilihan jawapan yang lain boleh diterima?

Penilaian ini merupakan penilaian kemahiran berfikir aras tinggi yang memerlukan seseorang itu berfikir sebelum membuat penjelasan dengan menganalisis, menilai, menjana idea, pilihan membuat keputusan, menyelesaikan masalah dan membuat perancangan.

Apabila murid memiliki kemahiran ini, mereka bebas untuk membanding, membeza, menyusun atur, mengelas dan mengenal pasti sebab dan akibat mengikut pendapat dan pandangan mereka sendiri.

Jika diberikan satu soalan, maka murid boleh memberi jawapan dalam pelbagai bentuk, idea baharu dan melihat daripada beberapa sudut.

Di sinilah dikatakan wujudnya pemikiran berbentuk kreatif, inovatif dan mereka cipta dalam kalangan murid.

7. Adakah arahan yang diberikan berintegrasi dengan proses penilaian?

Tujuan memberi arahan adalah bagi memberi panduan kepada murid sebelum mereka memulakan sebarang aktiviti.

Guru perlulah membuat pertimbangan dalam memberi arahan kerana murid perlu mempelajari bagaimana mematuhi arahan yang agak sukar difahami. Oleh itu, arahan guru haruslah jelas dan tepat serta berulang kali sebelum penilaian bermula agar mudah diikuti pelajar.

Sekiranya guru berjaya dalam aktiviti penilaian seperti mana yang digariskan di atas, sudah tentu murid akan tertarik dan lebih berminat untuk melibatkan diri secara aktif dalam proses tersebut.

Hakikatnya, murid juga lebih bermotivasi dan bersemangat untuk mendapatkan respon guru terhadap hasil kerja mereka.

Proses penilaian juga berjaya mengukur apa yang ingin diukur oleh guru untuk mencapai objektif PdP.

Maklumat penulis

Dr Abdul Ghani Jalil, Guru Cemerlang Bahasa Melayu dan Guru Hebat Bahasa Melayu Negeri Kedah, SMK Bukit Payong Pokok Sena Kedah

Artikel berkaitan

Gelisah bila tiba hari pencerapan? Perkongsian 6 tip Guru Besar Cemerlang ini mungkin membantu!

17 ciri-ciri guru hebat yang perlu dihayati warga pendidik

5 nasihat penuh kasih sayang Guru Cemerlang kepada pendidik


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan