Untitled design (1)
Untitled design (1)

Penjaga zoo perlu punya minat menjaga haiwan

Nor Azma  Muhamat LailaNor Azma  Muhamat Laila
22 Dec 2021 01:36am

Di sebalik kehidupan setiap haiwan yang ada di zoo, pernahkah kita terlintas mengenai individu yang dipertanggungjawabkan dalam memastikan pengurusan dan rutin harian haiwan berkenaan sentiasa terjaga dan terurus setiap hari?

Sebut saja mengenai penjaga haiwan di zoo, pasti yang terbayang adalah tugas memberi makan kepada setiap haiwan yang ada di dalam zoo tetapi tahukah kita bahawa ruang lingkup kerja mereka sebenarnya lebih daripada itu?

Penjaga haiwan di zoo atau lebih dikenali sebagai zookeeper adalah tulang belakang bagi mana-mana organisasi zoo yang bertanggungjawab menjaga kebajikan hidupan liar di bawah pengawasan mereka.

Tugas-tugas yang lazimnya dilakukan oleh seorang penjaga haiwan termasuklah menyediakan makanan bagi haiwan, membantu dalam prosedur rawatan dan pemberian ubat, pembersihan dan penyelenggaraan kawasan habitat pameran, melaporkan perubahan pada tingkah laku haiwan dan menyediakan laporan terperinci bagi aktiviti haiwan serta pengunjung secara harian.

Mereka juga memainkan peranan penting dalam program pendidikan kepada pengunjung di zoo seperti keeper talk selain daripada menyokong usaha-usaha konservasi dan memberi peluang kepada mereka untuk berkongsi pengalaman dengan pengunjung.

Minggu ini Sinar Bestari berpeluang menemu bual penjaga haiwan di Zoo Negara, Safwan Sulaiman, 36, yang sudah setahun setengah bertugas menjaga haiwan pemangsa iaitu harimau Malaya.

Perlu ada minat

Berkongsi mengenai kemahiran yang diperlukan untuk menjadi seorang penjaga haiwan, Safwan berkata, perkara paling utama ialah keyakinan diri yang tinggi serta mempunyai rasa kasih dan sayang terhadap haiwan.

"Perkara paling utama ialah perlu ada minat tentang haiwan. Ini kerana haiwan perlu ditangani dengan bijak tanpa membabitkan sebarang kekerasan supaya kita dapat meraih kepercayaan daripada haiwan berkenaan," katanya.

Safwan

Ujar Safwan lagi, menjaga haiwan pemangsa seperti harimau juga memerlukan dia untuk sentiasa fokus, tidak lalai dan bijak memahami emosi haiwan berkenaan supaya mudah untuk mengendalikannya sama ada untuk tujuan memberi makan, pemantauan kesihatan atau pemberian rawatan.

"Penjaga haiwan perlu memiliki kemahiran untuk memahami emosi dan perangai haiwan yang dijaga. Ini kerana, haiwan akan menjadi agresif jika kita melakukan sesuatu yang tidak disukai atau boleh mendatangkan ancaman haiwan berkenaan.

"Oleh itu, saya perlu bijak memahami haiwan yang dijaga dan perkara ini dapat dipelajari berdasarkan pengalaman dan semakin lama kita bersama haiwan berkenaan, semakin mudah untuk mengenali kerenah mereka," jelasnya.

Safwan mula bertugas sebagai penjaga harimau Malaya di Zoo Negara sejak tahun lalu.

Cabaran penjaga haiwan

Sepanjang bertugas sebagai penjaga haiwan, Safwan bersyukur kerana tidak berdepan kejadian sukar dalam mengendalikan harimau di Zoo Negara tetapi mengambil masa untuk membiasakan diri dengan haiwan ketika mula bertugas di situ.

"Di Zoo Negara, terdapat tujuh ekor harimau Malaya iaitu Wira, Hebat, Jati, Kyla, Pia, Teja dan Kitty. Setakat ini, kesemua mereka mudah diuruskan kerana kebanyakan penjaga yang bertugas sudah dapat membiasakan diri dengan haiwan ini.

"Cabaran mungkin timbul apabila harimau ini tidak sihat atau merajuk menyebabkan sedikit sukar untuk menguruskan mereka tetapi biasanya ia hanya membabitkan tempoh yang singkat dan mampu ditangani bersama rakan sekerja yang ada,” kongsinya lagi.

Bagi pelajar yang berminat dengan kerjaya sebagai penjaga haiwan, Safwan sempat menitipkan pesanan supaya mereka menanamkan minat terhadap haiwan terlebih dulu sebelum memilih untuk menceburi bidang berkenaan.

"Jika tidak ada minat, dikhuatiri akan menyebabkan pekerjaan itu dibuat sambil lewa dan mungkin menimbulkan masalah ketika menjaga atau menguruskan haiwan di kemudian hari," ujarnya mengakhiri perbualan.

INFO

Tip mengendalikan harimau

  • Tidak boleh panas baran kerana harimau bersifat panas.
  • Jangan pukul haiwan, harimau tidak suka penjaga yang menggunakan kekerasan.
  • Jangan memaksa.
  • Perlu bijak memahami harimau kerana tidak semua sama contohnya ada yang suka mandi, ada yang tidak.
  • Penjaga perlu yakin dan percaya pada diri sendiri kerana harimau sejenis haiwan yang sentiasa menguji dan membuat kita lalai serta leka.

Artikel berkaitan 

UPM dan UMK tawar program Doktor Perubatan Veterinar

Cabaran kerjaya ahli zoologi

Pakar Zoologi, bidang pekerjaan yang sesuai buat pencinta haiwan


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp
Artikel Disyorkan