Norhayati-Sambak-bernama-150622-1
Norhayati-Sambak-bernama-150622-1

Pensyarah juga ibu 7 anak, buta sebelah mata raih PhD

Rasyidah ZulkifiRasyidah Zulkifi
23 Jun 2022 04:33pm

Buta sebelah mata tidak melemahkan semangat seorang ibu tujuh anak untuk mendapatkan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang perakaunan.

Meskipun mengambil masa selama enam tahun untuk menghabiskan pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Norhayati Sambak, 52, bersyukur impiannya tercapai.

Menurutnya, yang merupakan pensyarah di UiTM Kelantan, suami dan anak-anak adalah pembakar semangat untuk belajar sehingga peringkat PhD.

“Tipulah, sekiranya tidak pernah ada rasa putus asa, pernah rasa mahu menjual tanah bagi membayar semula duit kerajaan.

“Sehingga ke satu tahap, rasa macam sudah tidak nampak jalan kerana tiada hasil.

"Bersyukur ada penyelia yang sangat menyokong,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Istiadat Konvokesyen UiTM ke-93 di Dewan Agung Tuanku Canselor.

Norhayati kini menghidap lekangan retina pula pada mata kiri menyebabkannya terpaksa menggunakan kanta pembesar untuk menjalani kehidupan seharian.

Namun, itu tidak memadamkan impiannya untuk memperoleh skrol PhD, bahkan dia berjaya menghasilkan dua buah buku berkaitan kewangan.

“Tahun lepas, saya terpaksa lalui dua kali pembedahan mata kiri, manakala mata kanan pula tidak berfungsi sejak 10 tahun lepas.

“Mungkin terlalu menggunakan mata kiri, ia terlalu tertekan sehingga jadi seperti ini,” ujarnya mengakhiri perbualan.

Memandangkan penglihatannya sangat minimum, jadi dia dibantu kakitangan UiTM untuk bergerak bagi mendapatkan suaminya selepas sesi temu bual.

Artikel berkaitan

Warga emas asal Perancis tinggal di Terengganu, siapkan PhD

Pejuang kanser, Junita akhirnya berjaya genggam PhD

30 guru Kemas berjaya tamatkan kursus orientasi basmi buta huruf, sasar 1,800 dewasa Sarawak

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp
Artikel Disyorkan