WhatsApp Image 2022-02-04 at 5.46.11 PM
WhatsApp Image 2022-02-04 at 5.46.11 PM

Pupuk minat membaca dalam kalangan anak-anak

Roshlawaty Md Raieh
15 Feb 2022 04:41pm
A
A
A

Memupuk minat membaca dalam kalangan anak-anak bukanlah tugasan yang memerlukan tempoh masa  singkat.

Ia memerlukan kerjasama semua pihak dan paling penting, anak-anak harus punya minat yang lahir tanpa paksaan.

Sekiranya kita sebagai ibu bapa berjaya mewujudkan rasa minat pada anak-anak termasuk membaca, sudah pasti banyak faedah dan kesan positif jangka pendek dan panjang akan kita perolehi.

Pensyarah Kanan, Fakulti Pendidikan (Psikologi Pendidikan), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Puncak Alam, Selangor, Dr Khadijah Said Hashim berkata, membaca bukan sekadar buka buku sebaliknya banyak tujuan seperti mencari informasi, jawapan serta penyelesaian, menambah ilmu pengetahuan, mencipta keseronokan dan sebagainya.

“Semua lapisan masyarakat haruslah mempunyai minat ataupun suka untuk membaca. Bukan sahaja buku-buku bercetak tetapi elektronik yang semakin menjadi pilihan generasi hari ini.

“Keperluan minat membaca akan melahirkan masyarakat yang bukan sahaja celik ilmu pengetahuan, tapi membantu memperbaiki cara berfikir dan kematangan.

“Kemahiran-kemahiran yang lahir daripada pembacaan akan membantu memperbaiki komunikasi, cara bekerja dan juga kehidupan dalam bermasyarakat,” katanya kepada Sinar Bestari.

Dr Khadijah

Menurutnya lagi, ada beberapa kaedah yang boleh ibu bapa lakukan dalam memupuk minat membaca anak-anak kecil.

“Ada empat kaedah iaitu modelling (contoh tauladan), stimulate (rangsangan - untuk mengukuhkan lagi minat dalam kalangan anak-anak), support (sokongan emosi, kewangan dan masa) serta reward (ganjaran).

“Setiap kaedah ini perlu dilakukan bersungguh-sungguh dan berterusan. Saya yakin, anak-anak akan menjadikan buku sebagai teman rapat nanti,” ujarnya.

Ketika ditanya mengenai umur yang bersesuaian untuk anak-anak mahir membaca, Dr Khadijah berkata, pendedahan seawal usia amat digalakkan.

“Melihat kepada sistem pendidikan hari ini, kita cuba sedaya upaya untuk mendedahkan anak-anak kepada bahan bacaan seawal 4 atau 5 tahun. Ada juga kes-kes yang lebih awal daripada itu.

“Namun saya berpendapat, tidak ada batas ataupun umur khusus untuk menguasai kemahiran ini. Pada anak-anak, ada perkara lebih signifikan dan kritikal perlu diberikan dan dikuasai selain daripada penekanan kepada kemahiran membaca. Contohnya, kemahiran komunikasi, kemahiran empati, adab dan keselamatan.

“Persoalan mengapa masih ada anak-anak belum menguasai kemahiran ini? Saya berpendapat sebab kebanyakan ibu bapa terlalu bergantung kepada usaha satu pihak sahaja dan meletakkan sepenuhnya tanggungjawab kepada golongan pendidik,” tuturnya lanjut.

Baca juga 

5 bahan untuk guru gunakan bagi kelas PPKI. Mudah dan senang dapat!

Ibu bapa wajib kenali 3 jenis tudung dan 3 fabrik sesuai ketika membuat persiapan sekolah

Sambungnya lagi, murid Tahap Satu yang gagal menguasai 3M (membaca, menulis, mengira) kerana pandemik Covid-19 baru-baru ini juga sememangnya sudah dijangka.

“Isu ini adalah sesuatu yang telah dijangkakan dan ia mengundang panik, tapi perlu terus fikirkan tindakan. Ia perlu ditangani secara Bersama Dan Bijaksana (B2B).

“Misalnya, mewujudkan kerjasama antara komuniti sekolah dengan menganjurkan pertandingan membaca buku digital untuk disesuaikan dengan suasana dan peredaran semasa anak-anak generasi sekarang.

“Ibu bapa juga boleh bermula dengan menyediakan buku-buku bacaan yang ringan seperti komik untuk menarik minat mereka di samping menyelitkan aktiviti lain seperti membaca sambil menonton televisyen, bermain sambil membaca dan lain-lain,” ujarnya.

Akhir sekali, Dr Khadijah memberikan sedikit nasihat untuk ibu bapa, guru dan masyarakat berkenaan kemahiran membaca.

“Kemahiran membaca adalah satu proses di mana setiap individu dan anak-anak mengambil masa untuk menguasainya. Seorang anak mungkin mengambil masa yang agak lama berbanding anak-anak yang lain. Apa yang penting kurangkan tekanan kepada mereka iaitu tidak membandingkan antara satu sama lain. Beri masa dan wujudkan suasana menarik dan kondusif, sistem sokongan yang berterusan dan ambil tindakan (usaha).

Pelbagai aktiviti dilakukan guru SK Tenglu dalam memastikan murid-muridnya dapat membaca dengan baik.

“Oleh itu, sekali lagi kemahiran ini memerlukan sokongan dan tindakan yang konsisten daripada semua pihak terutamanya sokongan mikro (ibu bapa dan guru) dan makro (sistem pendidikan dan komuniti),” tuturnya.

Makin lancar membaca

Sementara itu, seorang ibu, Eliya Abd Kadir berkata, anaknya mempunyai masalah menguasai kemahiran membaca ketika berada di Tahun Satu lagi.

“Mohamad Harith Nor Azmi bacaannya tidak lancar. Bermacam-macam cara yang telah dilakukan. Saya belikan buku, komik, surat khabar dan majalah kanak-kanak, namun masih belum ada perkembangan. Sebagai ibu, sudah tentu saya bimbang,” katanya.

Bagaimanapun, sejak Mohamad Harith berada di Tahun Tiga, Sekolah Kebangsaan (SK) Tenglu, Mersing, Johor, kemahiran membacanya  menunjukkan peningkatan.

“Mohamad Harith sudah lancar membaca. Hari ini dia boleh membaca teks yang panjang malah mengira pun makin laju.

“Keperibadiannya juga sudah berubah. Mohamad Harith rajin membaca. Jika ada masa terluang, bukan mainan yang dicari sebaliknya buku atau komik menjadi pilihannya,” kata Eliya yang berasal dari Johor.

Mohamad Harith

Tambahnya, mengajar anak-anak untuk membaca memang banyak cabaran.

“Anak-anak ini, ada masanya  tidak mahu membaca. Mereka hanya mahu bermain.

“Sebagai ibu, tentulah ada perasaan marah. Tapi, berilah anak-anak peluang untuk bermain walaupun sekejap.

“Selesai bermain, ajak mereka membaca mengikut kreativiti ibu bapa masing-masing. Buat secara konsisten, insya-ALLAH, anak anda dapat membaca dengan lancar kelak,” katanya.

Begitu juga bagi pasangan Mohd Hafiz Hashim dan Zakiah Ali. Anak mereka yang berada di Tahun Satu masih lagi tidak dapat membaca dengan lancar.

“Walaupun baru Tahun Satu, tapi kebimbangan terhadap Amsyar Fikri Mohd Hafiz tetap ada. Ini kerana, ramai kawan-kawannya sudah lancar tetapi tidak bagi dia.

“Saya ada berjumpa dengan guru-guru di sekolah. Mereka kata, anak saya pasti akan lancar membaca dengan syarat rajin,” katanya.

Amsyar Fikri bersama keluarga.

Sebagai ibu, Zakiah mengambil langkah bijak dengan menyediakan jadual pembelajaran untuk Amsyar Fikri ketika berada di rumah.

“Saya mahu dia kuasai kemahiran membaca dengan cepat. Setiap malam, saya mengajar dia membaca secara berperingkat.

“Kadang-kadang, memang menguji kesabaran tapi saya tidak boleh mengalah. Ini semua untuk masa depan Amsyar Fikri juga,” ujarnya lagi.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

APA KATA MEREKA

1) “Isu budaya membaca dalam kalangan masyarakat tidak boleh dipandang ringan. Pemupukan budaya membaca seharusnya bermula dari kecil, terutamanya murid sekolah. Peranan dan memupuk minat membaca tidak hanya disandarkan kepada satu atau dua pihak sahaja, tetapi seluruh masyarakat berperanan menjadikan amalan membaca satu budaya yang wajib diikuti. Dengan segenap lapisan masyarakat dapat mengaplikasikan budaya membaca, maka akan lahirlah masyarakat yang dapat membina ketamadunan yang ulung.” - Guru Besar, SK Dato’ Wan Kemara, Changlun, Kedah, Mohd Nizam Saidin.

Mohd Nizam

2) “Amalan membaca sangat penting dalam kalangan murid atau anak-anak. Pelbagai cara dan kaedah untuk mendapatkan ilmu boleh dipraktikkan misalnya ruang rehat sebagai lokasi untuk membaca dan cara ini memudahkan anak-anak walau di mana mereka berada. Mari kita renung kata-kata Imam Syafie bahawa ilmu adalah cahaya penyuluh dalam kehidupan manusia. Dengan ilmu, ia dapat membimbing manusia ke arah kebaikan dan mengeluarkan diri manusia daripada kegelapan dan kejahilan kepada cahaya dan kebenaran.” - Penjawat awam, Nor Afida Zakaria.

Nor Afida

3) “Disarankan ibu bapa berhubung dengan guru-guru jika mendapati anak mereka masih belum menguasai kemahiran membaca. Jangan malu untuk meminta bahan daripada guru. Setiap guru terutamanya Guru Pemulihan Khas memiliki kepakaran dalam melaksanakan kaedah menarik minat anak-anak ini untuk membaca. Bahan yang dibekalkan kepada ibu bapa, kaedah mengajar membaca di rumah dan waktu belajar yang anjal serta berfokus pastinya akan menarik keterujaan mereka untuk mengikuti apa yang diarahkan oleh ibu bapa di rumah. Perancangan untuk anak membaca di rumah perlu ada pelarasan antara ibu bapa dan guru.” - Guru Pemulihan Khas SK Tenglu, Roslee Abdul @ Mohd.

Roslee

4) “Sediakan peruntukan untuk membeli buku latihan, komik, majalah dan lain-lain. Jika ada masa luang, bawa anak-anak ke perpustakaan dan sentiasa ingatkan mereka, membaca dapat menambahkan ilmu pengetahuan, memberi ketenangan, kepuasan dan melahirkan perasaan ingin tahu.” - Usahawan, Muhamad Amir Hafiz.

Muhamad Amir

INFO

5 tip membantu anak-anak suka membaca

1) Fun Family Reading - Wujudkan suasana membaca di rumah secara santai seperti mini perpustakaan atau sudut bacaan di bawah tangga.

2) 5 Minutes Stilumator - Peruntukan masa lima minit sehari untuk rangsang aktiviti membaca. Ibu bapa boleh menggunakan telefon. Yang penting konsisten.

3) Technology Based (Apps) - Muat turun bahan bacaan elektronik yang menarik, sesuai dengan peringkat umur dan tahap perkembangan anak-anak atau aplikasi berkaitan pembacaan anak-anak yang menarik dan ringkas.

4) TVTogether - Menonton televisyen bersama-sama sambil membaca sari kata atau sebagainya.

5) Reading On The Road - Ketika dalam kereta menuju ke destinasi percutian yang telah dirancang. Boleh selitkan aktiviti pembacaan papan iklan, tanda arah dan sebagainya. Walaupun ringkas tapi menyeronokkan dan bermakna.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan