HomeIPTRamai persoal universiti hasilkan graduan PhD yang ramai, pensyarah ini kongsi perjalanan...

Artikel Berkaitan

Ramai persoal universiti hasilkan graduan PhD yang ramai, pensyarah ini kongsi perjalanan sebenar yang perlu dilalui calon, sangat mencabar!

Isu penghasilan graduan ijazah doktor falsafah (PhD) yang dikatakan terlalu ramai oleh Universiti Putra Malaysia (UPM) baru-baru ini mencetuskan perdebatan dalam kalangan masyarakat baik di media sosial atau secara fizikal.

Sehubungan itu, UPM turut tampil dengan penjelasan bahawa kenyataan di laman-laman portal berita tempatan yang mempertikaikan bilangan graduan PhD UPM adalah mengelirukan dan tidak tepat.

UPM dalam satu kenyataan berkata, kaedah pengajian PhD di UPM adalah melebihi syarat minimum yang telah ditetapkan oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) bagi memastikan kualiti graduan yang dihasilkan oleh UPM sentiasa dijaga dengan baik.

Isu graduan PhD turut mendapat perhatian warga maya malah ada yang berkongsi pengalaman masing-masing dan dalam masa yang sama turut meluahkan pandangan mengenai perkara berkenaan.

Perkongsian yang dibuat pengkaji dan pensyarah di sebuah universiti tempatan, Che Puteh Osman pada 19 Januari lalu di laman Facebook beliau mengenai perjalanan sebenar yang perlu dilalui calon PhD membuka mata masyarakat bahawa bukan mudah untuk bergelar doktor falsafah.

Gambar hiasan daripada Pexels.

Ini kerana ia mengambil masa dan proses yang panjang. Itu tidak kira lagi ada yang terpaksa menangguhkan pengajian atau berhenti di pertengahan jalan kerana sebab-sebab tertentu.

Sehingga ke hari ini, perkongsian itu sudah dikongsikan lebih 500 pengguna Facebook dan kebanyakan mereka berterima kasih di atas perkongsian yang dibuat kerana berjaya memberi gambaran sebenar perjalanan seorang calon Phd.

Ada juga warga maya berpendapat hanya calon PhD yang melaluinya saja memahami jerit perih dilalui terutama bagi mereka yang mengikuti pengajian secara separuh masa kerana mengambil masa agak lama untuk menamatkan pengajian.

Ikuti perkongsian penuh Che Puteh Osman yang juga graduan PhD universiti di Malaysia di bawah ini.

Semoga ia memberi manfaat kepada semua pihak dan masyarakat tidak berterusan mempertikaikan graduan PhD universiti di Malaysia.

***
Graduan PhD

Saya terpanggil hendak memberi komen mengenai graduan PhD di Malaysia. Artikel saya ini tidak mewakili mana-mana badan, dan semua tulisan di bawah adalah berdasarkan pengalaman saya sebagai seorang graduan PhD dari Malaysia.

Semalam ramai berpolemik mengenai kualiti graduan PhD Malaysia.
Mungkin ramai tidak tahu, sudah banyak universiti di Malaysia bergelar universiti penyelidikan termasuk UM, USM, UKM dan UPM.

Universiti penyelidikan mempunyai budget khas penyelidikan. Penyelidik menulis kertas cadangan penyelidikan, dan jika penyelidikan itu mempunyai novelti, penyelidik akan diberikan geran penyelidikan.

Dalam geran penyelidikan, antara KPI yang mesti dipenuhi adalah melatih pelajar siswazah sama ada ijazah sarjana (MSc) atau ijazah kedoktoran falsafah (PhD).

Untuk memasuki program ijazah PhD, pelajar perlu mempunyai ijazah pertama yang baik, sama ada kelas pertama atau kelas kedua atas. Ada juga pelajar ijazah kelas kedua bawah menyambung pengajian ke peringkat PhD, tetapi mereka mesti mempunyai ijazah sarjana yang cemerlang.

Kemudian, mereka perlu menulis kertas cadangan penyelidikan. Sebelum mereka boleh bergelar calon ijazah PhD, kertas cadangan mereka akan dinilai melalui pembentangan atau digelar defense of research proposal. Tiga orang panel dengan sekurang-kurangnya pensyarah dengan ijazah PhD dan mempunyai pengalaman penyelidikan, profesor madya dan profesor.

Panel ini boleh dari universiti yang sama, dan jika tiada kepakaran di universiti yang sama, panel dijemput dari universiti lain.

Calon PhD perlu membentangkan dan mempertahankan kertas cadangan melalui ujian oral dan juga melalui penulisan. Pada waktu ini, cadangan untuk menambah baik kertas cadangan akan dilontarkan. Panel akan menilai sama ada calon ini layak lulus pembentangan tanpa pembetulan, pembetulan kecil atau pembetulan besar yang memerlukan calon menduduki ujian ini sekali lagi.

Gambar hiasan daripada Pexels.

Selesai mempertahankan kertas kajian, calon akan menjalankan uji kaji di makmal universiti. Kadang-kadang calon perlu melakukan attachment di universiti lain atau luar negara.

Untuk lulus PhD, selain menyiapkan penyelidikan, calon perlu menerbitkan dua kertas kajian berindek Scopus atau WOS. Sesetengah universiti mensyaratkan calon menerbitkan salah satu artikel dalam jurnal berimpak tinggi iaitu dalam kuartil pertama dan kedua.
Jurnal yang dihantar akan dinilai secara single blind atau double blind oleh pakar-pakar bidang tersebut yang dilantik oleh jurnal berkenaan.

Sesiapa yang pernah menerbitkan jurnal akan tahu betapa rumitnya dan getirnya proses ini. Kritikan membina, teguran dan kadang-kadang kata-kata mengguris hati itu sudah menjadi makanan harian.

Sepanjang proses penyelidikan terutamanya mereka dengan kerja makmal, penyelia akan sentiasa memberi panduan, mengajar proses ini, mencari kolaborator dan makmal untuk pelajar pergi buat kajian di tempat lain, mencari dana dan lain-lain.

Setelah berjaya menghabiskan kerja makmal dengan dua kertas penyelidikan, calon perlu menghasilkan sebuah tesis. Format tesis di Malaysia masih konservatif, memang menjadi kebiasaan pelajar menghasilkan tesis setebal 200 muka surat sehingga 400 muka surat.
Tesis ini pula akan dinilai melalui ujian oral yang dipanggil viva voce.

Kebiasaannya universiti mempunyai sistem supaya tesis ini dinilai terlebih dahulu oleh pakar dalam universiti, sebelum tesis ini dinilai dalam viva voce sebenar.
Proses ini dipanggil pra-viva. Calon perlu mempertahankan tesis mereka di hadapan panel dalaman. Jika panel dalaman berpuas hati, barulah tesis ini boleh dihantar untuk dinilai tiga panel viva.

Panel viva mestilah sama atau lebih tinggi dari pangkat penyelia. Kebiasaannya adalah profesor dalam bidang tersebut.
Seorang penilai mestilah profesor dari luar negara, seorang dari profesor universiti lain dalam negara dan seorang profesor dari universiti yang sama dengan calon PhD.

Setiap tulisan, angka, huruf, ayat, diagram, gambar rajah dan petak akan dinilai oleh pemeriksa ini. Mereka akan melihat kualiti kajian, kualiti penulisan, bahasa, dan yang paling penting apakah novelti kajian tersebut.

Setiap dapatan ini akan dikongsi dengan calon ketika viva voce. Jika calon lulus, bergantung kepada keputusan viva voce, sama ada lulus tanpa pembetulan, lulus dengan pembetulan kecil dan lulus dengan pembetulan besar, calon perlu menyiapkan pembetulan dan hantar semula kepada panel viva dari universiti yang sama untuk disemak. Kemudian calon akan menghantar tesis untuk diwartakan dalam senat universiti sebelum calon dianugerahkan ijazah PhD.

Gambar hiasan daripada Pexels.

Itu kalau lulus, ada calon yang gagal viva dan perlu mengulang semula kajian sebelum hantar semula untuk viva. Ada calon yang gagal sepenuhnya dan digugurkan kelayakan sebagai calon PhD. Walaupun jarang yang gagal sepenuhnya, tetapi pernah berlaku.

Ini mengambil kira calon yang berjaya pergi ke peringkat viva. Ramai juga calon yang tidak sampai-sampai ke tahap ini dan berhenti.
Jika kita dengar bilangan graduan PhD UPM seramai 400, kita tidak tahu berapa ramai sebenarnya kecundang di tengah jalan.

Dan proses PhD ini sama di kebanyakan universiti di dunia termasuk universiti ternama, kecuali sesetengah negara yang tiada proses viva voce.

Ramaikah 400? Jika ada 4,000 pensyarah dalam universiti, dan setiap pensyarah ambil seorang pelajar PhD pada satu-satu masa dan pelajar ini bergraduat tiga hingga empat tahun kemudian, sebenarnya sepatutnya lebih tinggi. Untuk seseorang profesor yang berpengalaman, mereka boleh menyelia sehingga 10 pelajar pada satu-satu masa.

Sebenarnya tidak semua pensyarah menyelia pelajar PhD. Ada kelayakan tertentu yang perlu dipenuhi sebelum pensyarah itu layak menyelia pelajar PhD.

Selain proses di atas, sepanjang pengajian, kita menghadiri konferens dan seminar antarabangsa, kita mengenali penyelidik dari seluruh dunia dalam bidang kita.
Jika hendak kaya, jarang orang buat PhD. Ada pemilik PhD yang menjadi teknokrat yang berjaya, dan menyediakan peluang pekerjaan. Ini sepatutnya masa depan kita.

Ramai orang buat PhD kerana mereka sukakan proses mencari ilmu baharu, dan seterusnya mencari bidang dalam kerja sama, sama ada di dalam dan luar negara.
Calon PhD ada banyak peluang di luar negara. Bergantung kepada bagaimana mereka membawa diri.

Tetapi ramai calon yang bergraduat PhD sebenarnya adalah pelajar antarabangsa. Ini kerana mereka diberi biasiswa oleh negara mereka untuk mendapatkan ilmu di Malaysia.

Ini sendiri adalah indikator kepada kualiti penyelidikan dan pendidikan di Malaysia.

Sekian dari graduan PhD universiti di Malaysia.

Artikel Terkini