Untitled design (1)
Untitled design (1)

Segera naikkan kadar RMT

Roshlawaty Md Raieh
13 Aug 2022 11:27pm
A
A
A

Baru-baru ini, tular di media sosial berkaitan menu Rancangan Makanan Tambahan (RMT) yang disajikan dalam kuantiti yang sedikit.

Hal ini sedikit sebanyak telah menimbulkan kemarahan dalam kalangan masyarakat dan masing-masing mula mempersoalkan kualiti menu yang dibekalkan kepada murid yang layak.

Selepas isu tersebut menjadi tular dan mendapat perhatian ramai itu, timbul pula isu baharu yang masih lagi berkisar mengenai menu RMT.

Dikatakan, pengusaha kantin sekolah telah meminta supaya kerajaan segera meluluskan kenaikan kadar pemberian RMT kepada murid-murid sekolah rendah seperti yang disyorkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) baru-baru ini.

Kata mereka, kadar sekarang iaitu pada harga RM2.50 di Semenanjung Malaysia dan RM3 bagi murid di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan sudah tidak lagi relevan ketika harga bahan mentah meningkat pada masa kini.

Kerana itu, ramai pengusaha kantin berhadapan tekanan yang sangat tinggi dalam menyediakan makanan sihat kepada murid. Tidak terkecuali, ada yang ‘angkat kaki’ daripada mengusahakan kantin sekolah.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar pernah mengeluarkan kenyataan yang mana pihaknya telah mencadangkan kadar RMT bagi murid sekolah rendah dinaikkan kepada RM4 di Semenanjung Malaysia dan RM5 di Sabah, Sarawak dan Labuan.

Katanya, RM2.50 bagi murid di Semenanjung Malaysia dan RM3 di Sabah, Sarawak dan Labuan tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan kos bahan mentah mengikut menu RMT.

Justeru, beliau akan mengemukakan syor kepada kabinet agar peruntukan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi RMT ditingkatkan dalam usaha memastikan murid mendapat makanan berkhasiat.

Minggu ini, Sinar Bestari menemu bual beberapa responden bagi mendapatkan pandangan mengenai isu RMT berkenaan.

Menurut Pensyarah Program Bioteknologi Makanan, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Madya Dr Alina Abdul Rahim, setiap murid perlu menikmati atau dihidangkan dengan menu yang bersesuaian sepanjang mereka berada di sekolah.

Ini bertujuan supaya murid-murid mendapat tenaga dan nutrien yang mencukupi sepanjang masa.

Alina berkata, ketika waktu rehat, murid-murid wajar mendapat sajian (potion control) mengikut peringkat umur masing-masing.

Mungkin pihak kantin boleh menyediakan hidangan suku-suku separuh untuk potion control, misalnya separuh pinggan berisi karbohidrat, suku protein dan suku lagi sama ada buah-buahan atau sayur-sayuran segar.

Dalam pada itu, Alina memberitahu, murid-murid tidak harus menikmati hidangan dalam kuantiti yang bukan kebiasaan.

“Jika makan dengan kuantiti yang banyak, ia akan membuatkan murid mengantuk dan sukar memberi tumpuan dalam pembelajaran.

“Sekiranya terlebih kuantiti makanan pula, ia akan menyebabkan masalah kegemukan jika amalan itu dijadikan tabiat berulang.

“Makanan dalam potion control yang terlalu sedikit pula tidak memberikan rasa kekenyangan dan akan mengundang rasa tidak puas,” ujarnya.

Mengulas lanjut mengenai menu RMT yang disediakan oleh pengusaha kantin, Alina sangat berharap agar mereka tidak memikirkan keuntungan semata-mata dalam bab penyediaan makanan yang seimbang kepada murid-murid.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah Malaysia (PPKSM), Khairuddin Hamzah berkata, kos kenaikan harga barang asas sekarang begitu membebankan semua pengusaha kantin.

Oleh itu, mereka tidak dapat menyediakan menu RMT dengan baik kepada murid apatah lagi dengan kadar asal iaitu RM2.50 sepinggan pada waktu sekarang, tidak mencukupi.

Sambung Khairuddin, kadar RMT harus dinaikkan dengan segera sekiranya mahu murid-murid dihidangkan dengan sepinggan makanan sihat.

“Kadar RM4 yang dicadangkan oleh KKM bagi Semenanjung Malaysia dilihat sangat berbaloi pada ketika ini.

“Makanan utama seperti nasi ayam, mihun goreng, sup makaroni, roti telur hancur dan kacang panggang yang dihidang bersama sayur, buah dan minuman mampu diberikan kepada murid jika KPM dapat memberikan kadar baharu untuk RMT,” ujarnya.

Diminta mengulas tentang KPM yang akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan (MOF) bagi mempertimbangkan cadangan menaikkan kadar RMT untuk dibawa ke dalam usul Belanjawan 2023, Khairuddin menjelaskan, ia adalah satu perkara yang sangat dinantikan oleh semua pihak.

Sekiranya cadangan itu dipersetujui, Khairuddin sangat berharap agar wakil PPKSM turut dijemput untuk menyertai sesi perbincangan tersebut.

“Saya melihat perlunya wakil PPKSM untuk turut serta dalam perbincangan ini kerana kami lebih tahu apakah makanan yang disukai murid-murid RMT.

“Apabila kita kongsikan makanan yang murid-murid suka, sekurang-kurangnya tidak berlaku pembaziran apabila menu RMT diberikan kepada mereka,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin memaklumkan bahawa perkara tersebut memerlukan penelitian yang terperinci kerana mempunyai implikasi besar dari segi kewangan sekali gus memberitahu pihaknya sedang dalam proses menyiapkan kertas kerja untuk dibawa ke peringkat akhir.

Menu RMT sedap

Dua beradik, murid Sekolah Bandar Baru (SEBARU) Kuala Selangor, Selangor, Nur Anggun Farizza Mohd Fadil, 10, dan Nur Anggun Lydya Adriana, 8, begitu gembira apabila terpilih sebagai penerima RMT di sekolah mereka.

Ibu mereka, Norhafizah Zainol berkata, kedua-dua anaknya itu telah menerima bantuan RMT pada awal tahun ini dan ia cukup membantu meringankan beban mereka sekeluarga.

Memandangkan mereka merupakan keluarga yang tergolong dalam kategori B40, jadi pemberian makanan RMT cukup bermakna kerana anak-anak dapat menikmati pelbagai menu berlainan sepanjang mereka berada di sekolah.

“Hidangan RMT yang disediakan sentiasa bertukar setiap hari mengikut menu yang disediakan KPM. Anak-anak selalu bercerita yang mereka suka dengan menu yang diberikan.

“Alhamdulillah, anak-anak dapat menikmati makanan yang mereka sukai dan saya amat berharap bantuan seperti ini akan diteruskan sampai bila-bila,” tuturnya.

Bagi Abdul Rahim Hasim, bapa kepada Muhammad Qawi Wafiy Abdul Rahim berkata, bantuan RMT banyak membawa perubahan dalam diri anaknya.

“Muhammad Qawi merupakan murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dan penerima RMT di SK Dato’ Wan Kemara, Changlun, Kedah.

“Apabila dia terpilih untuk menikmati menu RMT di sekolahnya, sudah tentu saya gembira kerana ia dapat meringankan beban kewangan keluarga.

“Selain dapat makanan percuma, ada satu perkara positif yang dapat saya lihat pada diri Muhammad Qawi iaitu dia sudah pandai bergaul dengan murid-murid lain dan juga mempunyai ramai kawan-kawan dari kelas arus perdana hanya kerana makan sajian RMT bersama,” ujarnya.

Artikel berkaitan 

6 tip pemakanan seimbang, sebagai panduan hidangan penerima RMT 

Hidangan mi goreng ‘menyedihkan’, orang ramai gesa KPM naikkan bajet RMT 

Pasukan debat UPM bawa pulang gelaran juara dan pendebat terbaik. Apa rahsia mereka?


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan