tony-pham-7cA0JfTkteo-unsplash
tony-pham-7cA0JfTkteo-unsplash

Sejarah tarian singa

Roshlawaty Md Raieh
03 Feb 2022 01:43pm
A
A
A

TAHUN Baru Cina dengan tarian singa tidak dapat dipisahkan kerana selain merupakan sebahagian daripada budaya masyarakat Cina, ia dipercayai memberi berkat dan kesejahteraan.

Apabila melihat persembahan tarian singa, pastinya tergambar ketangkasan dua pemain yang mengenakan kostum singa melakukan tarian dan akrobatik diiringi rentak paluan gong dan juga gendang khas.

Apa itu tarian singa? Bagaimana ia wujud? Sempena perayaan Tahun Baru Cina ini, Sinar Bestari kongsikan sedikit asal usul tarian singa berkenaan.

Tarian singa adalah tarian tradisi dalam kebudayaan Cina di mana tariannya meniru pergerakan singa dengan memakai kostum sebagai pembawa tuah.

Dipersembahkan sempena perayaan Tahun Baru Cina dan festival kaum Cina lain, tarian ini juga boleh dilihat ketika pembukaan perniagaan baharu, perkahwinan atau menyambut tetamu khas mengikut tradisi masyarakat Cina.

Ada dua jenis tarian singa yang utama iaitu Singa Utara dan Singa Selatan.

Kedua-dua tarian ini berasal dari China namun di seluruh dunia dan Asia Tenggara khasnya, Tarian Singa Selatan lebih dikenali kerana disebarkan masyarakat China selatan.

Selain itu, ada tarian versi lain turut ditemui di Jepun, Korea, Tibet dan Vietnam. Malah ia juga wujud dalam kebudayaan Melayu Indonesia khasnya Bali, tetapi tariannya agak berlainan dengan yang asal dan dinamakan sebagai Singa Barong.

Secara ringkasnya, terdapat tujuh jenis tarian singa di seluruh Asia.

1) Tarian Singa Utara

Tarian ini dipersembahan secara berpasangan. Topeng kepala singa diperbuat daripada kayu dan dicat emas, kostum badan singa berbulu jingga, kekuningan dan reben merah diikat pada kepala singa yang menunjukkan simbolik kepada singa jantan manakala reben hijau simbolik kepada singa betina.

2) Tarian Singa Selatan

Tarian ini juga dikenali sebagai tarian Singa Kantonis berasal dari Guangdong. Inilah tarian yang wujud dan diamalkan dalam kalangan masyarakat Cina di Malaysia.

Kostum singa Selatan mempunyai tanduk tunggal, seolah-olah menyerupai makhluk mitos kebudayaan Cina bernama Nian.

Kepala singa biasanya, secara tradisi diperbuat menggunakan papier-mache menutupi rangka buluh membentuk kepala singa, dicat dan dihias menggunakan bulu. Badan singa pula diperbuat dengan kain tahan lasak dihiasi bulu.

3) Tarian Singa Vietnam

Orang Vietnam mengenali tarian singa sebagai Tarian Unicorn (múa lân) yang banyak pengaruh daripada Tarian Singa Selatan tetapi ditambah dengan unsur budaya tempatan.

Tarian ini biasanya dipersembahkan dalam festival tradisi seperti Tahun Baru Vietnam dan festival pertengahan musim luruh.

4) Tarian Singa Jepun

Jepun mengenali tarian singa sebagai shishi-mai. Ia diperkenalkan sejak Dinasti Tang dan menjadikan tarian ini sebagai persembahan untuk sambutan kelahiran Buddha.

Tarian singa pertama dipersembahkan di Jepun pada tahun 752 di Nara. Tarian ini biasa dipersembahkan semasa Tahun Baru bagi membawa tuah dan menghalau semangat jahat.

5) Tarian Singa Korea

Di Korea, tarian singa dipanggil sebagai ‘Sanye’, dan dicatatkan dalam sejarah Samguk Sagi, salah satu puisi dari kerajaan Silla yang ditulis oleh Choe Chiwon.

Ada dua tarian singa tradisional yang masih terpelihara sehingga kini, iaitu saja-noreum, dipersembahkan dalam bentuk penghalauan hantu dan sajach’um, dipersembahkan dalam bentuk hiburan.

6) Tarian Singa Tibet

Di kawasan Himalaya dan Tibet, masyarakat sana mempunyai Tarian Singa Salji.

Tarian ini berasal daripada kalangan orang Tibet yang juga berasal dari utara India dan Nepal serta Uttar Pradesh dan Ladakh.

7) Tarian Singa Indonesia

Di Indonesia tarian singa dikenali sebagai Barongsai, tarian yang biasa kaum Cina Indonesia persembahkan sempena Tahun Baharu Cina. Kemudian orang Indonesia mencipta tarian singa yang sarat dengan budaya mereka.

Tarian singa yang tiada hubung kait dengan budaya Cina pernah dipersembahkan di Bali dan Jawa.

Artikel berkaitan 

8 tarian tradisional di Malaysia yang perlu pelajar ketahui

2 pelajar SMJK Sam Tet akan terus aktif dalam tarian singa

Unik! Ini yang perlu guru dan pelajar tahu mengenai tarian zapin Johor


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan