Sekolah Agama Darul A’shom bantu remaja kurang pendengaran Indonesia hafal al-Quran
Sekolah Agama Darul A’shom bantu remaja kurang pendengaran Indonesia hafal al-Quran

Sekolah Agama Darul A’shom bantu pelajar kurang pendengaran Indonesia hafal al-Quran

webadmin
29 Oct 2022 03:37pm
A
A
A

Gara-gara bimbang dengan pelajar yang menghadapi masalah pendengaran dan sukar mendapat akses kepada pendidikan Islam, seorang warga Indonesia, Abdul Kahfi telah mengasaskan sekolah pondok khas untuk golongan tersebut mempelajari al-Quran menerusi bahasa isyarat.

Ditubuhkan pada tahun 2019 di Yogyakarta, Jawa Tengah, Sekolah Agama Darul A’shom terdiri daripada 12 tenaga pengajar serta 115 pelajar berumur antara 7 hingga 28 tahun dari seluruh kepulauan itu.

Seperti yang dilaporkan Arab News, Abdul Kahfi berharap dengan adanya sekolah seperti Darul A’shom, generasi akan datang lebih mudah untuk mempelajari agama Islam.

“Ramai orang dewasa dengan masalah pendengaran kini tidak mempunyai pengetahuan mendalam terhadap agama kerana mereka tidak pernah belajar mengenainya pada zaman persekolahan dahulu,” kata ulama itu.

Di Indonesia, pengajaran agama yang disediakan oleh sekolah awam kepada kanak-kanak dengan keperluan khas sangat terhad dan hanya bermula ketika mereka berusia lapan atau sembilan tahun. Hal ini berbeza dengan pelajar biasa lain yang mula mendapat pendidikan Islam seawal di peringkat tadika.

Selain itu, hasil tinjauan oleh agensi kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) mendapati hanya tiga daripada 10 kanak-kanak kurang upaya di Indonesia yang mampu bersekolah.

Di Darul A’shom, pelajar biasanya mengambil masa kira-kira lima tahun untuk belajar mengaji dan menghafaz al-Quran.

Berbanding orang biasa yang boleh menghafal suku kata untuk membaca teks al-Quran dengan kuat, individu yang cacat pendengaran perlu mengingati setiap isyarat tunggal bagi kesemua 30 juzuk ayat kitab suci itu.

Muhamad Rafa, 13, yang sudah dua tahun belajar di sekolah itu menggunakan isyarat jari untuk tanda bacaan berbeza bagi menghafal ayat al-Quran di hadapannya.

“Saya amat gembira bersekolah di sini. Di rumah sangat sunyi, tiada siapa untuk bercakap kerana saya sahaja yang pekak, semua orang normal,” kata Rafa, yang sudah menghafal sembilan juzuk al-Quran, kepada wartawan AFP melalui jurubahasa.

Selain ilmu al-Quran, pelajar juga diajarkan undang-undang Islam, matematik, sains dan bahasa asing supaya mereka dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Dalam masa sama, pihak sekolah juga berdepan cabaran untuk meningkatkan keyakinan pelajar sebagai anggota masyarakat yang bermasalah pendengaran.

“Dahulu, anak saya mengalami masalah keyakinan diri kerana dia tahu dia berbeza. Sejak bersekolah di sini, rasa malu untuk berdepan dengan orang ramai sudah berkurang. Dia beritahu saya, Tuhan menjadikan dia seperti ini dan dia menerima seadanya,” kata Zainal Arifin, ayah kepada Arfi yang merupakan salah seorang pelajar di situ.

Pelajar Muslimat turut menyertai kuliah al-Quran, bersama-sama duduk bersimpuh di lantai, menggerakkan tangan secara ekspresif sambil melihat buku pelajaran mereka.

Sehingga Januari 2022, Kementerian Agama Indonesia mencatatkan terdapat 26,975 pondok pesantren.

Adakalanya, sekolah pesantren menjadi satu-satunya jalan bagi anak-anak daripada keluarga miskin mendapatkan pendidikan.

Sehubungan itu, bagi pelajar yang tidak mampu untuk membayar yuran sekolah sebanyak 1 juta rupiah atau kira-kira RM302, mereka ditawarkan belajar secara percuma hasil wang derma atas inisiatif Abu Kahfi.

Sumber: Sinar Islam

Artikel berkaitan 

80 murid unit beruniform jayakan perkhemahan sekolah pedalaman di Sabah

Kempen Penanaman 100 Juta Pokok babitkan 152 pelajar baharu

“Terima kasih UNITEN” - Graduan cemerlang gagal UPU lega ditawarkan tempat dengan jurusan pilihan


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan