Untitled design (4)
Untitled design (4)

Semangat perpaduan Sekolah Wawasan...pendidik, YDP PIBG beri idea dan pandangan

Roshlawaty Md Raieh
13 Sep 2021 05:39pm
A
A
A

Guru dan murid daripada latar belakang berbeza berkongsi pelbagai kisah di bawah satu bumbung

Penubuhan Sekolah Wawasan iaitu sekolah integrasi yang menempatkan beberapa sekolah berlainan aliran dilihat sebagai satu usaha murni dalam memupuk semangat perpaduan antara murid daripada pelbagai kaum dan latar belakang.

Tiga sekolah yang terlibat iaitu Sekolah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan SJK (Tamil) ini akan berkongsi pelbagai kemudahan asas sepanjang berada di dalam kompleks sekolah yang sama.

Antara kemudahan yang dikongsi ialah padang permainan, dewan, bilik komputer, koperasi, pusat sumber dan kantin.

Sekolah Wawasan yang diluluskan kabinet pada 1997 kini telah mencapai usia 24 tahun. Ia mempunyai pelbagai sisi positif dari kaca mata semua pihak.

GPSBestari berpeluang mendapatkan pandangan beberapa pihak tentang perkara ini.

Bagi Pensyarah Kanan, Pusat Sains Kemanusiaan, Universiti Malaysia Pahang (UMP), Dr Hasnah Hussiin, penubuhan Sekolah Wawasan memberi impak positif kepada sistem pendidikan negara dalam melahirkan insan yang berilmu dan berakhlak, seimbang serta harmonis yang boleh mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan kepada kemakmuran masyarakat juga negara.

Dr Hasnah

“Sisi positif yang jelas Sekolah Wawasan ini adalah berdasarkan kepada matlamat penubuhannya iaitu mewujudkan perpaduan dalam kalangan murid-murid yang pelbagai kaum dan latar belakang.

“Ini sangat bertepatan dengan masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai agama, kaum, kepercayaan dan budaya.

Ikuti juga kami di:

Instagram: https://www.instagram.com/gpsbestari/

Twitter: https://twitter.com/GPSBestari

Youtube: https://www.youtube.com/c/GPSBestariOfficial/

“Jadi, bila murid-murid berada dalam satu sekolah, mereka dapat bersama-sama menimba ilmu, mengikuti kegiatan kokurikulum dan segala aktiviti dalam satu pasukan yang besar bercampur pelbagai kaum. Secara tidak langsung, perpaduan akan terbina tanpa disedari dan paksaan,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Ditanya tentang matlamat penubuhan Sekolah Wawasan sudah tercapai atau tidak, Dr Hasnah berkata, masih terlalu awal untuk dijadikan sebagai pengukur kejayaan memandangkan penubuhannya masih tidak menyeluruh iaitu ada lima buah sahaja setakat ini.

Persembahan murid Kompleks Sekolah Wawasan USJ 15 pada sambutan Hari Guru Peringkat Wawasan 2019.

“Saya boleh katakan, ini adalah usaha yang bagus dan perlu diteruskan kerana jika tidak dibuat secara menyeluruh, maka hanya sebahagian generasi berpeluang mengikuti dan mendapat faedah daripadanya.

“Usaha boleh dilakukan secara beransur-ansur sehingga seluruh sekolah di negara ini menerapkan elemen Sekolah Wawasan walaupun ia tidak diwartakan sebagai Sekolah Wawasan,” ulasnya.

Dr Hasnah berkata, kewujudan Sekolah Wawasan adalah satu usaha yang perlu disokong oleh semua pihak dan lapisan masyarakat.

“Saya berharap Sekolah Wawasan berupaya menjadi pemangkin kepada usaha merapatkan hubungan kaum melalui elemen pendidikan di bawah satu bumbung.

“Kita ingin melihat suatu hari nanti Sekolah Wawasan ini berkembang ke seluruh tanah air. Kita mahu agar kewujudan lima buah sekolah yang sudah ada sekarang ini menjadi contoh kepada penubuhan Sekolah Wawasan yang seterusnya,” jelasnya.

Sementara itu, Pensyarah, Fakulti Pengurusan Industri UMP, Kapten Imaduddin Abidin, 46, berkata, konsep Sekolah Wawasan harus dilihat dari perspektif yang positif iaitu satu alternatif untuk mewujudkan sebuah bangsa Malaysia yang bersatu padu.

Kapten Imaduddin

“Saya yakin, setiap murid akan dapat berinteraksi dengan lebih berkesan antara satu sama lain daripada pelbagai kaum.

“Mereka juga dapat belajar untuk bersikap lebih terbuka dan secara tidak langsung kita dapat melahirkan generasi yang mempunyai sikap integrasi serta perpaduan utuh antara semua kaum,” katanya.

Dapat kuasai dan bertutur tiga bahasa

Sementara itu, Guru Pendidikan Khas Vokasional, Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional, Merbok, Kedah, Cikgu Kumaresan Muniandy, 36, berkata, wujud tiga jenis bahasa dalam persekitaran Sekolah Wawasan iaitu bahasa Melayu, bahasa Tamil dan bahasa Mandarin.

Cikgu Kumaresan

“Walaupun kaum Melayu, Cina dan India mempunyai bahasa ibunda masing-masing, apabila ketiga-tiganya berkomunikasi, mereka akan menggunakan bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu.

“Rata-rata murid di Sekolah Wawasan sudah mempunyai kemahiran bertutur tiga jenis bahasa tersebut dan ini memberi kelebihan berkomunikasi dalam kalangan mereka.

“Bahasa yang digunakan untuk komunikasi tidak perlu terlalu formal hanya sekadar pertuturan yang lebih santai seperti bertanya khabar, ucapan terima kasih, menyebut hari, masa dan sebagainya,” kata beliau.

Baca juga Pengoperasian Sekolah 2021 dilanjutkan, ini kata Dr Mohd Radzi secara terperinci! 

Baca juga Smart Precision Fertigation System pukau juri, inovasi pelajar USIM dinobatkan pemenang utama kategori pelajar pada Pertandingan Reka Cipta Inovasi Nasional (PRIN) 2021

Tambahnya, kelebihan murid dari Sekolah Wawasan berbanding sekolah biasa ialah aspek asimilasi antara satu sama lain dari segi interaksi sosial, tingkah laku, semangat kerjasama dalam pasukan serta semangat kekitaan bangsa Malaysia.

Dalam pada itu, Cikgu Kumar berharap warga Sekolah Wawasan dapat teruskan elemen perpaduan dalam kalangan guru dan murid tanpa mengira bangsa dan agama.

“Anak-anak yang masih kecil ini perlu diterapkan dengan nilai toleransi, tolong-menolong antara satu sama lain, memahami budaya dan sensitiviti agama serta kebebasan bersuara yang tidak menggugat atau menghina bangsa lain.

“Generasi muda haruslah diberi pendedahan tentang pentingnya mengekalkan keharmonian sejagat dalam melahirkan bangsa Malaysia yang kukuh serta mampu mempertahankan tanah air tercinta,” jelasnya.

Lakukan beberapa penambaikan

“Saya mewakili masyarakat India bersetuju dengan kewujudan Sekolah Wawasan ini dan kami tidak ada apa-apa halangan untuk berada di bawah satu bumbung.

“Buktinya SJKT Saint Mary di Parit Buntar, Perak, sudah lama beroperasi di Sekolah Wawasan. Sekolah itu sebelum ini berada di lokasi lain iaitu berdekatan dengan gereja.

“Ini menunjukkan bahawa kaum India di Malaysia mendokong dan menyokong dasar-dasar yang dibuat oleh kerajaan,” kata Yang DiPertua PIBG, SJKT Saint Theresa’s Convent, Taiping, Perak, Rajendra Subramanian, 47.

Rajendra

Ujarnya, Sekolah Wawasan mampu melahirkan generasi yang dapat memahami antara satu sama lain dari segi budaya, kepercayaan dan agama.

“Sekolah Wawasan menempatkan murid yang berusia antara 7 hingga 12 tahun. Saya melihat, peringkat umur inilah yang paling sesuai untuk menyemai dan mengukuhkan unsur perpaduan dan mewujudkan semangat patriotik,” sambungnya lagi.

Akhir sekali, Rajendra berharap beberapa penambahbaikan dapat dilakukan terhadap Sekolah Wawasan ini.

“Contohnya berkaitan perkongsian kantin di mana perlu disediakan makanan yang sesuai dengan kepercayaan dan adat masing-masing serta tidak ketinggalan isu sensitiviti (berkaitan makanan) pelbagai kaum di sekolah ini.

Barisan guru dari Kompleks Sekolah Wawasan USJ 15, Subang Jaya, Selangor ketika mengikuti program Forca Energy Drink pada tahun 2020.

“Pihak sekolah juga perlu memberi ruang kepada murid-murid berkomunikasi antara satu sama lain dan memberi ruang kepada mereka supaya dapat bergaul dengan murid daripada pelbagai latar belakang tanpa mengira bangsa, agama dan kepercayaan,” tuturnya.

Baca juga Alumni MSU terima anugerah, Pingat Emas MPS-Duopharma Biotech 2020 bukti pengiktirafan

Baca juga Cabaran Pereka Cipta Muda, geran inovasi bernilai RM60,000 untuk dimenangi

5 kompleks Sekolah Wawasan

1) Kompleks Sekolah Wawasan Pekan Baru, Parit Buntar, PERAK

2) Kompleks Sekolah Wawasan Taman Aman, Alor Setar, KEDAH

3) Kompleks Sekolah Wawasan Tasik Permai, PULAU PINANG

4) Kompleks Sekolah Wawasan USJ 15, Subang Jaya, SELANGOR

5) Kompleks Sekolah Wawasan Pundut, Seri Manjung, PERAK

Kementerian Pendidikan menyenaraikan empat matlamat Sekolah Wawasan

1) Untuk mewujudkan perpaduan dalam kalangan murid-murid yang berbagai bangsa dan latar belakang.

2) Untuk memupuk semangat integrasi antara murid daripada pelbagai aliran.

3) Untuk melahirkan generasi yang mempunyai sifat toleransi dan persefahaman yang tinggi demi mewujudkan sebuah negara yang bersatu padu.

4) Untuk menggalakkan interaksi yang maksimum antara semua warga sekolah melalui perkongsian kemudahan sekolah dan pelaksanaan aktiviti-aktiviti lain di sekolah.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan