HomeKomunitiSMK Dato Permaisuri tersenarai dalam Malaysia Book Of Records, berjaya hasilkan PBL...

SMK Dato Permaisuri tersenarai dalam Malaysia Book Of Records, berjaya hasilkan PBL STEM terpanjang

Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Permaisuri, Miri, Sarawak, baru-baru ini telah melakar kejayaan apabila berjaya tersenarai dalam Malaysia Book Of Records (MYBOR) hasil daripada penyusunan Pembelajaran Berasaskan Projek (PBL) terpanjang di dalam negara.

Hasil kerjasama warga sekolah itu berjaya menyusun sebanyak 691 PBL STEM sepanjang 267 meter (m).

PBL merupakan kaedah pembelajaran yang membolehkan pelajar mengkaji sesuatu topik untuk menghasilkan sebuah produk pada penghujung sesi pembelajaran.

Sesi menandatangani sijil MBOR telah dilakukan oleh Adam di SMK Dato Permaisuri, baru-baru ini.

Menurut pengetuanya, Donny Dahlan, antara objektif aktiviti itu adalah untuk mengiktiraf usaha gigih pelajar dan guru menghasilkan projek PBL STEM.

“Kejayaan ini adalah hasil kerjasama seramai 1,234 pelajar, 88 guru dan 15 Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP).

“Selain itu, beberapa pertandingan penghasilan PBL juga telah diadakan antaranya jambatan futuristik, ‘lip balm’ dan rumah burung.

“Pada akhir projek, hasil kerja pelajar akan dibentang sendiri di depan juri untuk sesi penilaian markah,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Susunan PBL STEM Terpanjang Di Malaysia di SMK Dato Permaisuri, baru-baru ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Adam Yii Siew Sang.
Jelas Adam, aktiviti tersebut dapat meningkatkan kreativiti, komunikasi dan kognitif pelajar apabila menghasilkan projek PBL.

Sebahagian barisan guru yang bertungkus lumus untuk menjayakan aktiviti ini.

“Aktiviti sebegini bukan hanya menilai dari segi aspek kreativiti pelajar semata-mata, malah aspek komunikasi dan bahasa semasa mempersembahkan hasil kerja, kognitif dan matematik awal turut diambil kira,” jelasnya.

Tambahnya, pembudayaan PBL ini memberi pelbagai impak positif kepada para guru dan pelajar dari segi pembelajaran dan kurikulum.

“Pembudayaan PBL amatlah bersesuaian pada era ini kerana ia tidak lagi bergantung sepenuhnya dengan sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang berpusatkan guru.

“Hasilnya, ia berjaya mewujudkan nilai tanggungjawab serta sikap bekerjasama antara pelajar dalam kumpulan masing-masing,” ujar beliau lagi.

Projek tersebut dinilai oleh dua orang pegawai MBOR, Edwin Yeoh Tiong Chin (Konsultan Rekod Senior) dan Siti Nurhanim Mohd Noh (Penganalisis Penyelidikan).

Artikel berkaitan

Kreatifnya! Pelajar SKTG teruja sertai program Sisa Kepada Harta dan STEM

Rekod MBOR, UPSI bina struktur terumbu glob terbesar di dasar laut

Berjaya catat Rekod Dunia Guinness, Sarvysswharrann kebanggaan SJKT Taman Melawati


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok