Untitled design
Untitled design

Soloz idola e-sukan, kini mampu jana pendapatan puluhan ribu ringgit sebulan

Mariatul Qatiah Zakaria
15 Jun 2021 03:35pm
A
A
A

Jika disebut nama Mohd Faris Zakaria, mungkin ada yang tidak mengenalinya berbanding dengan nama glamornya, Soloz.

Bagi mereka yang aktif dalam e-sukan pastinya nama ini tidak asing lagi kerana Soloz merupakan antara idola anak-anak muda hari ini.

Manakan tidak, anak kelahiran Port Dickson, Negeri Sembilan ini pernah tular gara-gara bergambar dengan penampilan yang cukup santai bersama sebuah kereta Ford Mustang yang baru dibeli.

Saat itu nama pemuda berusia 29 tahun ini terus menjadi perhatian ramai terutama golongan muda yang ingin berjaya sepertinya dalam bidang e-sukan sekali gus memperoleh pendapatan lumayan.

Soloz

Berjaya membuktikan sukan tersebut bukanlah bidang yang tidak bermanfaat dan membuang masa, Soloz bagaimanapun memberitahu kejayaan yang dikecapinya hari ini adalah kerana minatnya yang mendalam sejak kecil.

Pendapatan lumayan

“Apa juga yang dilakukan perlulah bersungguh-sungguh dan juga konsisten supaya kita akan menjadi mahir dan kekal mengikut trend semasa.

“Tidak dinafikan ramai di luar sana terutama ibu bapa mempunyai pandangan yang negatif mengenai e-sukan tetapi kita sebagai anak perlu membuktikan kerjaya dalam bidang ini bukan membuang masa dan tidak berfaedah.

“Sekurang-kurangnya buktikan dan yakinkan yang kita boleh berdikari pada keluarga bahawa apa juga bidang yang kita ceburi bukan sahaja sukan elektronik mampu menjadikan kita seorang yang berjaya,” ujarnya ketika dihubungi GPSBestari, baru-baru ini.

Hakikatnya tiada siapa menyangka bidang ini mampu menjanjikan pendapatan lumayan kepada mereka yang berani menyahut cabaran.

Merupakan pemain profesional Mobile Legends dan PlayerUnknown’s Battlegrounds (PUBG Mobile), anak bongsu daripada lima beradik ini telah membuka mata banyak pihak mengenai potensi sukan elektronik ini.

Kerjayanya sebagai atlet e-sukan semakin popular dalam kalangan belia apabila menjanjikan masa depan yang cerah dan sumber pendapatan mampu mencecah puluhan ribu ringgit sebulan.

Bercerita lebih lanjut mengenai kerjayanya itu, Soloz menjelaskan, pendapatan bulanannya bergantung menerusi siaran langsung atau penstriman yang dilakukan melalui platform media sosial Facebook dan YouTube.

“Pendapatan bulanan kita sebenarnya bergantung kepada penonton yang menonton ketika kita bersiaran secara langsung.

Soloz (kanan) bersama ahli kumpulan Bosskur.

“Alhamdulillah, saya bermula seawal usia 15 tahun, bermain tournament solo kemudian ketika 18 tahun bermain tournament party (berkumpulan) dapat mengekalkan ‘rentak’ sehingga hari ini.

“Yang penting sekiranya ingin berjaya dalam bidang ini, anda perlu kerap berlatih.

“Jika perlu belajarlah dengan seorang ‘guru’ yang betul-betul mahir kerana tiada universiti atau kolej yang menawarkan jurusan e-sukan melainkan menyertai Akademi eSport,” tambah pemegang Diploma Rangkaian Komputer ini.

Yang pasti, Soloz menjadi penanda aras atlet e-sukan yang berjaya dan melaluinya juga dia dapat meraih pendapatan lumayan.

ANTARA PENCAPAIAN SOLOZ

  • Tempat pertama Todak Tournament
  • Tempat ketiga Mpl musim pertama
  • Tempat kelima - keenam Mpl musim kedua
  • Tempat ketujuh - kelapan Mpl musim ketiga
  • Tempat ketujuh - kelapan Mpl musim keempat
  • Tempat ketiga Sukan SEA

INFO

  1. Soloz merupakan streamer Malaysia dengan pengikut paling ramai.

    i) Facebook: 2.4 juta

    ii) Instagram: 1.2 juta

    iii) YouTube: 1.4 juta subscribers

  2. Pecah rekod jumlah penonton streaming tertinggi.

    i) Meraih lebih daripada 100,000 tontonan pada 23 Julai 2020

  3. Atlet e-sukan pertama diiktiraf dalam Malaysia Book of Records
  4. Catat 1.2 juta pengikut di Facebook, Mei tahun lalu.
  5. Satu-satunya atlet e-sukan yang tercalon dalam anugerah hiburan penghujung tahun lalu dalam Anugerah Melodi Sangat (kategori Selebriti Digital Sangat).
  6. Menamatkan zaman bujang bersama pilihan hati, Maryam Jamilah Rahim pada 17 Julai 2020.

Artikel berkaitan

Permohonan kemasukan IPG, Kolej Matrikulasi sesi 2022/2023 Fasa Dua bermula 1 Jun

Teringin belajar di Jepun, ini antara biasiswa yang pelajar boleh cuba mohon

3 mahasiswa cemerlang ditaja kerajaan negeri Terengganu RM1.78 juta, sambung belajar ke Jepun


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan