HomeKomuniti“Terima kasih untuk segalanya mak, ayah” - Ucapan pelajar 11A+ SPM 2021...

“Terima kasih untuk segalanya mak, ayah” – Ucapan pelajar 11A+ SPM 2021 buat ramai sebak!

“Terima kasih kepada mak dan ayah yang sanggup berkorban masa, tenaga dan wang ringgit dalam memastikan saya belajar dengan sempurna.

“Tanpa pengorbanan daripada mereka, mana mungkin saya memperoleh keputusan 11A+ dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021, baru-baru ini,” kata Muhammad Zaim Mohamad Shukri kepada Sinar Bestari.   

Merupakan pelajar cemerlang Kolej Genius Insan (KGI), di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Muhammad Zaim berkata, dengan keputusan peperiksaan tersebut, dia berhasrat menyambung pengajian dalam bidang kejuruteraan.

Sekiranya mendapat tajaan, anak keempat daripada enam adik beradik ini memasang impian untuk meneruskan pengajian ke United Kingdom atau Jepun.

Dalam pada itu, Muhammad Zaim yang merupakan Yang DiPertua Majlis Kepimpinan Pelajar untuk tempoh tiga tahun berturut-turut berkata, keaktifan pelajar dalam bidang kokurikulum sebenarnya tidak menganggu tumpuan dalam bidang akademik.

Muhammad Zaim turut memegang jawatan sebagai Pengerusi Kor Kadet Polis, peserta Sakura Science Exchange Programme di Jepun, peserta Insan Junior Researchers International Conferences dan terlibat dengan beberapa pertandingan robotik peringkat kebangsaan.

Sebaliknya, jika mereka tahu tanggungjawab sebagai pelajar dan menyusun jadual dengan baik, semuanya pasti berjalan dengan lancar.

Bagi pasangan kembar, Nurul Fatihana dan Nurul Fatiha Abdul Rahman pula, mereka melahirkan rasa syukur dengan keputusan cemerlang yang diperoleh itu.

Mendapat 8A dan 10A dalam SPM 2021, anak kelahiran Seremban ini berkata, banyak cabaran yang perlu mereka lalui terutamanya ketika proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Belajar secara dalam talian dan perlu menjalani kuarantin selama dua minggu sebelum peperiksaan berlangsung adalah antara yang akan dingati sampai bila-bila, kata mereka.

Seramai 42 pelajar KGI menerima keputusan cemerlang dalam SPM yang diumumkan pada 16 Jun lalu.

Empat daripada jumlah itu memperoleh keputusan 11A, lapan pelajar 10A dan sembilan lagi mendapat 9A.

Manakala lima pelajar lain masing-masing peroleh 8A dan 7A, tiga pelajar 6A, dua pelajar 5A, 4A dan 3A serta seorang pelajar 2A.

Pengarah KGI, Dr Hayati Ismail mengucapkan tahniah kepada para pelajar, ibu bapa dan tenaga pengajar atas pencapaian yang cemerlang dan usaha yang dilakukan sepanjang menjalani PdPR yang mencabar ketika pandemik Covid-19.

“Saya harapkan anak-anak KGI ini dapat menerap dan mempraktikkan pengintegrasian ilmu Naqli dan Aqli di mana sahaja mereka berada,” katanya.

Artikel berkaitan 

Hala tuju pelajar lepasan SPM

“SPM saya 1969…hanya 1A. Itu pun subjek Sejarah” – Dr Shukri

“Kami bukan guru yang berprestasi lemah” – Cikgu Norazri


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok