pexels-mikhail-nilov-7929449
pexels-mikhail-nilov-7929449

Tingkatkan pemantauan dan keselamatan pelajar untuk membendung buli

webadminwebadmin
30 Dec 2021 10:36pm

Peningkatan kes buli melibatkan golongan pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi semakin membimbangkan.

Pengulangan kejadian buli seperti yang berlaku di sebuah sekolah berprestasi tinggi yang melibatkan pelajar baru-baru ini, memerlukan tindakan komprehensif dan perlu ditangani dengan berhikmah.

Kejadian buli yang melibatkan fizikal boleh dikaitkan dengan kes jenayah dan sivil jika berlakunya kecederaan dan kematian.

Namun, kesan kepada psikologi iaitu tekanan yang diberikan sehingga melibatkan kemurungan dan tekanan emosi adalah lebih besar dan perlu dihadapi oleh mangsa seumur hidup.

Penulis melihat wujudnya sikap angkuh dan bangga diri sehingga merasakan dirinya sebagai ‘abang kawasan’ atau hero punca perilaku buli.

Situasi menjadi lebih teruk jika pelaku mempunyai geng atau kumpulan tertentu sehingga boleh membawa pengaruh dan memberi ancaman kepada pelajar lain.

Apabila sikap ini mempengaruhi sekumpulan pelajar, ia telah memberi kekuatan untuk menguasai sehingga boleh melunturkan sikap kemanusian dan nilai simpati.

Kurangnya nilai insani iaitu sifat kemanusiaan menjadi sebab buli dan ia boleh ditangani dengan beberapa kaedah seperti penerapan nilai peribadi berpandukan hati ‘qalbu’.

Kaedah ini akan mendidik jiwa pelajar untuk kekal berhubungan dengan Maha Pencipta dan saling mengasihani sesama manusia.

Elemen penting seperti kawalan diri, amanah, kecekalan, muafakat dan adil bagi melahirkan insan yang mempunyai nilai-nilai murni dan ciri-ciri yang digariskan agama berupaya membentuk peribadi pelajar yang lebih berhati mulia.

Selain pengisian jiwa, kejadian buli boleh ditangani dengan pemasangan kamera litar tertutup.

Seiring dengan perkembangan teknologi, pembuktian melalui hasil rekod oleh kamera litar tertutup telah diterima sebagai bahan bukti kes di mahkamah sivil dan syariah di negara ini.

Melihat kepada situasi kini, semua sekolah perlu mengorak langkah untuk mewajibkan pemasangan kamera litar tertutup di beberapa kawasan berisiko tinggi kerana kawalan boleh diadakan secara maksimum merangkumi kawalan keselamatan, pemantauan disiplin dan mengawal keluar masuk pelajar.

Saksi turut menjadi bahan bukti apabila melibatkan kes di mahkamah.

Dalam kes ini, tidak semua rakan mangsa boleh memberikan kerjasama sepenuhnya kerana bimbang terhadap ancaman dan ugutan oleh pelaku buli.

Justeru, mewujudkan pasukan mata-mata / pemantau atau risikan dalam kalangan pelajar yang bertanggungjawab secara rahsia dalam menyalurkan maklumat kepada pihak yang berwajib.

Penyaluran maklumat melalui telefon atau kemudahan teknologi lain tanpa perlu bersemuka dengan menggunakan nama samaran atau kod yang tertentu bagi menyalurkan maklumat kepada pihak yang tertentu juga dilihat sebagai salah satu usaha menangani kes buli di sekolah.

Jika didalami kejadian kes buli ini, kita tidak boleh menuding jari mencari salah siapa dan siapa dalangnya.

Semua pihak bertanggungjawab bagi menangani isu ini.

Walaupun pelbagai kaedah dilaksanakan bagi mengurangkan kes-kes buli yang berlaku dan pelbagai hukuman telah dilaksanakan bagi menunjukkan keprihatinan dan keseriusan pihak kerajaan menangani isu buli ini, namun masih ada kejadian buli yang menggemparkan sehingga berlakunya kehilangan nyawa.

Adalah menjadi tanggungjawab kita bersama, bukan setakat institusi pendidikan dan kerajaan, malah setiap insitusi kekeluargaan, individu atau masyarakat perlu bertanggungjawab atas keselamatan diri sendiri, ahli keluarga, saudara dan rakan-rakan.

Masyarakat atau individu perlu mempunyai sifat bertolak ansur, kemanusiaan dan saling menghormati antara satu sama lain.

Ini kerana asas kepada wujudnya KELUARGA MALAYSIA adalah dibentuk daripada keperibadian generasi pada masa kini.

Maklumat penulis:

Mejar Rozaimi Kamarudin merupakan Ketua Bahagian Operasi Jabatan Keselamatan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Artikel berkaitan

Persatuan alumni USIM terima sumbangan rumah pejabat bernilai RM130,000

Jom kenali pereka cipta kelahiran Malaysia yang telah banyak berbakti kepada negara

“Setiap malam mengigau seolah-olah dipukul” – bapa mangsa buli


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp
Artikel Disyorkan