19 penyelidik terima Malaysia Scopus Research Excellence Awards, tahniah!
Seramai 19 penyelidik menerima anugerah Malaysia Scopus Research Excellence Awards pada majlis anugerah kecemerlangan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) - Elsevier bersempena Putrajaya Festival of Ideas (FOI) 2024 pada Khamis.
Antara yang menerima anugerah itu ialah Profesor Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM); Profesor Dr Ahmad Zaharin Aris, Universiti Putra Malaysia (UPM); dan Profesor Dr Nor Aishah Saidina Amin (UTM) bagi kategori Ground Breaking Contributions.
Kategori Research Innovations dianugerahkan antaranya kepada Profesor Datuk Seri Dr Abdul Rahman Mohamed daripada Universiti Sains Malaysia (USM) dan Kategori Societal Impact dianugerah kepada Profesor Datuk Dr Jafri Malin Abdullah (USM).
KPT dalam kenyataan memaklumkan, kesemua anugerah berkenaan disampaikan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dalam satu majlis di Putrajaya.
"Objektif anugerah ini adalah untuk memberi pengiktirafan kepada penyelidik yang telah menghasilkan penerbitan ilmiah yang berkualiti, yang memberi manfaat dan impak terhadap sosial dan pembangunan negara," menurut kenyataan itu.
Sementara itu, KPT memaklumkan 11 jurnal menerima anugerah Scopus Journal CREME Awards.
"Penganugerahan taraf CREME yang telah diperkenalkan pada tahun 2012 kepada jurnal tempatan untuk mengiktiraf jurnal-jurnal terbitan dalam ekosistem KPT yang berprestasi tinggi untuk menerima insentif.
"Ini adalah sebagai galakan dan membantu meningkatkan lagi prestasi jurnal tersebut di peringkat antarabangsa.
Kenyataan itu memaklumkan, penganjuran majlis anugerah itu turut mendapat kerjasama daripada Elsevier yang merupakan syarikat yang berpengkalan di Belanda yang memainkan peranan penting dalam penyelidikan dan penerbitan di peringkat antarabangsa. - Bernama