Delegasi UMS berkongsi pelbagai ilmu sepanjang lawatan mereka ke AMBS, University of Manchester, England baru-baru ini.
Delegasi UMS berkongsi pelbagai ilmu sepanjang lawatan mereka ke AMBS, University of Manchester, England baru-baru ini.

2 bidang jadi pilihan UMS untuk bekerjasama dengan universiti di England

ROSHLAWATY MD RAIEH
31 May 2023 04:37pm
A
A
A

Setiap universiti mempunyai kepakaran dan pengetahuan tinggi dalam bidang masing-masing.

Sekiranya diberi peluang, mereka sebolehnya mahu bekerjasama dengan pelbagai universiti hanya kerana ingin berkongsi ilmu dengan semua pihak berkaitan.

Bagi Universiti Malaysia Sabah (UMS), kesempatan mengadakan pertemuan dengan Alliance Manchester Business School (AMBS), University of Manchester, England baru-baru ini, bagaikan satu rezeki.

Masakan tidak, hasil pertemuan itu, kedua-duanya sepakat mengadakan kolaborasi penyelidikan dan akademik khususnya dalam bidang ekonomi dan perniagaan.

Menurut Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr Kasim Mansor, antara topik perbincangan khusus dalam pertemuan tersebut adalah pertukaran kepakaran dalam ekonomi dan perniagaan serta kaedah pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian atau Pembelajaran Jarak Jauh Terbuka (ODL).

Perkara tersebut dinyatakan oleh Kasim ketika mengetuai delegasi UMS bersama pihak AMBS di England.

Lawatan yang diadakan dengan meriah itu disambut Dekan AMBS, Profesor Dr Kenneth McPhail yang merupakan profesor dalam bidang perakaunan dan wakil AMBS yang lain.

Dalam perjumpaan itu, Kasim yang juga salah seorang Ahli Majlis Penasihat Ekonomi Negeri Sabah turut menekankan potensi penyelidikan di Sabah yang mempunyai kepelbagaian sumber semula jadi terutamanya keselamatan makanan, biodiversiti, seni budaya dan pelancongan serta minyak dan gas.

Artikel Berkaitan:

Katanya, sumber-sumber berkenaan menjadi tonggak ekonomi negara dan asas kepada penyelidikan berfokus untuk kesejahteraan masyarakat.

Selain perkongsian Kasim kepada pihak AMBS, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ir Dr Rosalam Sarbatly turut berkongsi pengalamannya dengan mahasiswa Malaysia dan Indonesia yang mengikuti program Doktor Falsafah (PhD) di universiti berkenaan.

Dalam sesi tersebut, Rosalam bercerita mengenai peluang kerjaya sebagai ahli penyelidik dan akademik di UMS.

Malah beliau juga berkongsi tip bagaimana menjalani pengajian dengan jayanya dalam tempoh ditetapkan iaitu mencapai Graduate on Time (GOT).

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok