Penuntut program Kejuruteraan Awam, Fakulti Kejuruteraan UMS terlibat dalam program Industrialised Building System (IBS) Talk.
Penuntut program Kejuruteraan Awam, Fakulti Kejuruteraan UMS terlibat dalam program Industrialised Building System (IBS) Talk.

Pendedahan awal mahasiswa UMS ke dunia perindustrian

06 Jan 2024 07:00am

Lebih 100 mahasiswa Kejuruteraan Awam di Universiti Malaysia Sabah (UMS) diberi pendedahan awal mempersiapkan diri memasuki dunia perindustrian selepas menamatkan pengajian nanti.

Pendedahan itu dibuat menerusi Program Ceramah Industrialised Building System (IBS) yang berfokuskan kepada ‘Light Steel Frame’ anjuran Kelab Kejuruteraan Awam, Fakulti Kejuruteraan UMS baru-baru ini.

Pengarah program ceramah tersebut, Natasha Oswen Bernard Lojikim berkata, program yang diadakan di Perpustakaan UMS itu antara lain bertujuan untuk menambahkan ilmu pengetahuan berkaitan dengan konsep IBS yang kini semakin terkenal di dunia perindustrian.

"Program dengan kerjasama Beau Villas IBS Sdn Bhd ini juga bertujuan memperkenalkan dan sebagai satu platform untuk mempelajari salah satu elemen penting dalam aspek pembangunan serta pembinaan yang mampan kepada pelajar kejuruteraan awam.

"Ini sekali gus mampu meningkatkan peluang pekerjaan kepada pelajar Kejuruteraan Awam khususnya kerana pelajar telah didedahkan dengan pengetahuan berkenaan industri,” katanya.

Natasha turut berkata, tiga wakil daripada Beau Villas IBS Sdn Bhd iaitu Pemilik dan Ketua Pegawai Eksekutif, Michael He Long; Pengurus Projek, Clifford Darwin; dan Pentadbir Pemasaran, Bexter Jimmy telah hadir untuk memberikan ceramah IBS dan penggunaan ‘Light Steel Frame’.

Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Kejuruteraan Awam, Sr Ts Dr Asmawan Mohd Sarman ketika merasmikan program tersebut mengalu-alukan kerjasama bersama industri tersebut.

"Saya mengharapkan agar semua pelajar mendapat ilmu pengetahuan yang baharu dan berguna untuk masa hadapan yang cemerlang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau dalam pada itu turut mengambil peluang untuk berkongsi beberapa kemajuan masa kini dalam penggunaan IBS dan memberikan beberapa contoh projek-projek yang menggunakan sistem IBS.

Sebelum itu, program tersebut dihadiri oleh pelajar Ijazah Doktor Falsafah dan pelajar Tahun Dua dan Tahun Empat Program Kejuruteraan Awam UMS.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp