Antara situasi dikongsi pelajar UniMAP yang memaparkan mereka membawa baldi masing-masing untuk mengambil air bersih dari lori bantuan (gambar kanan).
Antara situasi dikongsi pelajar UniMAP yang memaparkan mereka membawa baldi masing-masing untuk mengambil air bersih dari lori bantuan (gambar kanan).

2 minggu tiada bekalan air, pelajar UniMAP lancar mogok

ROSHILA MURNI ROSLIROSHILA MURNI ROSLI
17 Apr 2025 10:40am

Ketiadaan bekalan air yang dipercayai berlarutan sejak dua minggu lalu menyebabkan pelajar Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di Kompleks Perumahan UniCITI Alam (KPUA), Kampus Sungai Chuchuh, Padang Besar, Perlis melancarkan mogok pada Selasa.

Video berdurasi 48 saat yang tular di media sosial itu memaparkan pelajar-pelajar di blok perempuan KPUA melaungkan 'air, air, air' dan 'nak balik rumah' secara beramai-ramai.

Selain itu, terdapat rungutan daripada ibu bapa yang risaukan keadaan anak-anak mereka di kampus tersebutterutamanya yang tinggal jauh dari Perlis.

"Hari hantar dorang (pelajar) elok je air laju. Eh tiba-tiba mak ayah dah sampai rumah tak ada air pula. Dah dua minggu pula tu nak balik bukan dekat masing-masing, yang dekat boleh la balik ni dari Johor, Selangor, Terengganu, Kelantan," rungut seorang waris di ruang komen video terbabit.

Selain video mogok berkenaan, beberapa video lain turut ditemui di media sosial yang memaparkan pelajar-pelajar universiti berkenaan sedang menunggu air dari lori dan juga sedang mengusung baldi turun mengambil air.

Sementara itu, kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Pusat Komunikasi Korporat UniMAP pada Rabu menjelaskan, pihak UniMAP akan mengambil langkah-langkah proaktif untuk memastikan kebajikan pelajar terus terpelihara sepanjang ketiadaan bekalan air di KPUA Kampus Sungai Chuchuh.

Menurut kenyataan terbabit, antara tindakan yang telah dilaksanakan termasuk pelaksanaan kuliah secara dalam talian bagi pelajar Fakulti Pengurusan Perniagaan (FPK) sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pihak UniMAP turut menyediakan penghantaran lori bekalan air dan tangki air di setiap blok kediaman selain penyampaian maklumat semasa menerusi aplikasi Telegram dan WhatsApp.

"Waktu operasi Pusat Kesihatan UniMAP juga dipanjangkan dan kami turut menyediakan pengangkutan ke masjid dan rumah ibadah berdekatan untuk pelajar yang memerlukan," katanya dalam kenyataan.

Jelas kenyataan itu lagi, gangguan bekalan air di KPUA terbabit adalah akibat kebocoran saluran utama perpaipan berhampiran kawasan berkenaan.

"Kejadian tersebut menyebabkan tekanan air menjadi terlalu rendah dan menjejaskan kehidupan seharian pelajar yang menghuni kompleks tersebut," katanya.

Pihak universiti komited memastikan aspek pembelajaran pelajar tidak terjejas serta kebajikan mereka terus menjadi keutamaan.

"Sebarang perkembangan lanjut berhubung situasi berkenaan akan dimaklumkan kepada semua pihak dari semasa ke semasa," katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp