Peserta program bergambar sebagai kenangan. Foto: UMT
Peserta program bergambar sebagai kenangan. Foto: UMT

230 mahasiswa UMT sertai Rakan Demokrasi, bukti keprihatinan belia dalam politik

QURRATUL AINA QUDDUSQURRATUL AINA QUDDUS
21 Jan 2025 04:19pm

Seramai 230 mahasiswa Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mengambil bahagian dalam program Rakan Demokrasi: Kuasa Orang Muda Bagi Zon Timur 2025.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT, Profesor Dr. Mohd Izani Mohd Zain berkata, program tersebut bertujuan meningkatkan keprihatinan dan komitmen golongan belia untuk menjadi warganegara muda yang aktif, prihatin serta holistik melalui aktiviti pendidikan politik.

Menurutnya, ia dapat dijayakan dengan membekalkan peserta dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk melibatkan diri secara berkesan dalam proses demokrasi dan pembuatan keputusan.

“Bengkel ini juga direka untuk memberi pendedahan kepada pelajar mengenai pelbagai aspek demokrasi termasuk penerokaan, pemahaman terhadap proses pilihan raya dan peranan belia dalam memberi impak positif kepada sistem demokrasi.

“Program ini seiring dengan hasrat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UMT untuk menjayakan pendidikan politik dalam kalangan mahasiswa malah telah wujud sebelum ini iaitu Unit Literasi dan Advokasi Politik atau ADVOKASI@UM.

“Ini bagi menggerakkan usaha literasi politik secara tersusun,” katanya.

Peserta bertanyakan soalan kepada penceramah.
Peserta bertanyakan soalan kepada penceramah.

Artikel Berkaitan:

Program Rakan Demokrasi: Kuasa Orang Muda Bagi Zon Timur 2025 itu merupakan anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan kerjasama Pertubuhan Nusa Bangsa (NUSA), Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan (JPKK), Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM) dan HEPA UMT.

Sementara itu, pelajar Sarjana Muda Pengurusan Pelancongan, Adam Qayyum Rasukhan berkata, banyak manfaat yang diterima daripada program tersebut antaranya kepentingan berpolitik secara demokrasi.

Ujarnya, manfaat itu secara tidak langsung membantu rakyat memahami hak dan tanggungjawab sebagai warganegara.

“Saya berharap, program ini dapat diteruskan secara berkala dan dijadikan program tahunan di setiap universiti bagi memberi mendedahkan para mahasiswa tentang kecelikan berpolitik serta sistem demokrasi berparlimen,” katanya.

Dalam pada itu, pelajar Fakulti Perikanan dan Sains Makanan (FPSM), Nur Suriati Ruslan berpandangan bahawa program tersebut memberi kesedaran yang lebih mendalam kepada mahasiswa dan anak muda tentang peranan mereka dalam sistem demokrasi.

“Ia juga memberi peluang kepada mereka untuk mengasah kemahiran

kepimpinan dan meningkatkan rasa tanggungjawab terhadap komuniti.

“Program seperti ini dapat membentuk generasi muda yang lebih peka dan aktif dalam urusan negara sekali gus dapat meningkatkan proses penglibatan orang muda dalam politik serta masyarakat,” ujarnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp