Redah perjalanan 200km cari peluang kerja dalam program Kerjaya Minyak dan Gas di Kota Kinabalu
Walaupun terpaksa menaiki bas meredah perjalanan sejauh kira-kira 200 kilometer (km) merentas sempadan negeri, itu tidak menghalang seorang lepasan graduan Universiti Malaysia Sabah (UMS) mencuba nasib mencari peluang pekerjaan di Kota Kinabalu.
Ammyliza Salim, 24, antara 2,000 pencari kerja yang hadir mencari peluang pekerjaan dalam program Hari Kerjaya Minyak Dan Gas anjuran Petroliam Nasional Bhd (Petronas) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) Kota Kinabalu pada Sabtu.
Pemilik Ijazah Sarjana Muda Geologi itu berkata, selepas saja bergraduasi pada bulan lalu sehingga kini, dia masih belum mendapat sebarang pekerjaan walaupun sudah memohon di pelbagai syarikat.
"Buat masa ini, saya menetap di negeri kelahiran iaitu Lawas, Sarawak, selepas tamat pengajian tempoh hari dan sedang mencari peluang pekerjaan di mana-mana agensi atau syarikat.
"Program ini saya tahu melalui media sosial dan ambil keputusan untuk segera datang ke sini dengan menaiki bas dari Lawas ke Kota Kinabalu.
"Saya bermalam di rumah rakan untuk hadir mencari pekerjaan jika ada syarikat memberi peluang kepada graduan baharu," katanya ketika ditemui Sinar Bestari pada program itu.
Ammyliza berkata, walaupun masih baharu selepas tamat pengajian tetapi menyedari persaingan kerjaya sangat mencabar dan menyebabkannya perlu berusaha lebih gigih untuk mencari pekerjaan.
"Saya tidak kisah untuk keluar dari zon selesa dengan meluaskan kerjaya di tempat lain, selain daerah kelahiran termasuk boleh bekerja di Sabah atau di Semenanjung.
"Saya berharap menerusi program hari ini, dapat membuka ruang untuk kerjaya di masa hadapan," katanya sambil memaklumkan dmembelanjakan hampir RM100 untuk perjalanan dari Lawas ke Kota Kinabalu, demi mencari peluang pekerjaan dalam pogram itu.
Intai peluang walau belum graduasi
Sementara itu, tiga sahabat dari Politeknik Kota Kinabalu yang berada di tahun akhir turut meluangkan masa melihat peluang kerjaya yang ditawarkan dalam program tersebut.
Menurut Nurshahyiah Hasanudin, 23, walaupun belum lagi tamat belajar, namun lebih baik untuk mereka mengkaji seterusnya meneroka kerjaya yang akan menjadi pilihan selepas selesai pengajian nanti.
"Di sini, kami diterangkan dengan keperluan majikan terhadap pekerja. Jadi sebelum tamat pengajian, kami sudah didedahkan peluang untuk kami diambil bekerja nanti.
"Lebih baik mencari peluang lebih awal supaya selepas ini kami bersedia untuk berada di alam pekerjaan," katanya.
Sementara itu, rakannya Syakinah Abdul Rahman, 23, berkata, walaupun bidang minyak dan gas berbeza dengan bidang elektrik yang dipelajari, namun masih ada peluang untuk mereka ceburi nanti.
"Kami sudah melihat beberapa syarikat dan bidang elektrik serta elektronik masih mempunyai peluang dalam bidang minyak dan gas terutama di Sabah," katanya.
Umi Kalsom Awang Sani, 24, pula berkata, mereka yang kini berada di tahun akhir pengajian digalakkan untuk menyertai program mencari kerjaya kerana persaingan sengit dengan graduan dan pencari pekerja lain.
"Jadi kami tidak sia-siakan peluang ini dengan melawat kesemua reruai supaya kami terdedah dengan pelbagai bidang termasuk minyak dan gas," katanya.