
27 program UniMAP diiktiraf TVET
Kolaborasi erat industri perkukuh kurikulum, latihan praktikal lahir graduan berkemahiran tinggi
Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terus mendapat suntikan baharu apabila sebanyak 27 daripada 47 program diklasifikasikan secara rasmi sebagai Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Inisiatif itu sejajar dengan hasrat negara melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir yang mampu memenuhi kehendak industri moden. Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) UniMAP, Profesor Ir Dr Mohd Shukry Abdul Majid berkata, salah satu ciri-ciri industri berkenaan merupakan kolaborasi dengan industri.
“Dalam pembangunan kurikulum, kita (UniMAP) sememangnya melibatkan industri. Kita juga ada Panel Penasihat Industri yang mana tugasan mereka memberi input industri.
“Selalunya, lantikan ini terlibat dengan industri-industri yang rapat dengan UniMAP. Input inilah membangunkan kurikulum,” katanya sewaktu Bual Bestari, baru-baru ini.
Belajar di tempat kerja Pendekatan pembelajaran berasaskan kerja (work-based learning) antara elemen penting dalam sistem pendidikan teknikal dan vokasional negara.
Melalui kaedah ini, pelajar tidak hanya belajar secara teori dalam bilik kuliah, namun turut diberi peluang menimba pengalaman sebenar di tempat kerja.

Tegas Mohd Shukry, pelajar perlu menjalani program teknologi bersama industri pilihan masing-masing sebanyak tiga bulan setahun. “Kita gelarkan program itu sebagai pembelajaran berasaskan kerja.
Jadi, kita akan letakkan pelajar dengan projek industri yang mereka lakukan.
“Secara tidak langsung, projek industri tersebut dapat input seperti permasalahan industri yang sebenarnya boleh dilakukan oleh pelajar,” kata Mohd Shukry lagi.
Lebih menarik perhatian, gabungan antara ilmu akademik dan latihan praktikal ini dilihat mampu melahirkan graduan yang lebih bersedia, berdaya saing serta menepati keperluan industri semasa.
Ia bukan sahaja memperkasa kemahiran pelajar, malah membuka ruang kepada kebolehpasaran yang lebih tinggi sebaik tamat pengajian.