30 mahasiswa UiTM bakal pamer koleksi percetakan
Seramai 30 mahasiswa semester akhir Ijazah Sarjana Muda Teknologi Percetakan (Kepujian), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam akan terlibat dengan program Tetradic Printing Technology Market - Oriented Degree Showcase 2023.
Program yang akan berlangsung pada 5 Ogos depan bermula pada pukul 12 tengah hari hingga 4.30 petang di Gesturz 2 (Lakeside Gallery) Kompleks Alam Bina dan Seni Reka, UiTM Kampus Puncak Alam adalah anjuran Jabatan Teknologi Percetakan, Kolej Pengajian Seni Kreatif, universiti berkenaan.
Selain bertujuan mempamer dan memasarkan produk percetakan para penuntut yang memiliki kualiti pasaran ia turut memberi peluang kepada mahasiswa mempraktikkan segala ilmu pengetahuan yang diperolehi sepanjang tiga tahun pengajian di Jabatan Teknologi Percetakan.
Penyelia merangkap pembimbing program, Ts Mastura Omar berkata, produk inovasi yang dipamerkan akan dinilai daripada pelbagai aspek oleh panel yang terdiri daripada pensyarah berpengalaman yang memiliki latar belakang berbeza dalam ilmu percetakan.
Menerusi penilaian itu, jumlah markah akan diberikan bergantung kepada produk percetakan yang dihasilkan.
Tambah Mastura lagi, selain mempamerkan produk, penuntut juga perlu belajar bekerjasama dan berkomunikasi dengan pelanggan masing-masing sebagai langkah persediaan sebelum memasuki alam pekerjaan yang sebenar.
Mengulas lanjut tentang produk yang dihasilkan, beliau memberitahu, setiap produk yang dihasilkan penuntut perlulah berdasarkan konsep ‘Real Life Product’.
“Semua mahasiswa perlu menjalani tiga peringkat proses percetakan sebenar untuk mencipta produk bercetak bagi syarikat yang telah dipilih.
“Tiga peringkat tersebut terdiri daripada prepress, press dan post press.
“Pada permulaannya, memang nampak sukar namun jika ada kerjasama daripada semua pihak, saya yakin proses percetakan ini akan berjalan lancar,” ujarnya.
Sementara itu, Dr Shalida Mohd Rosnan yang juga penyelia dan pembimbing program menjelaskan, terdapat proses penyelidikan yang harus dilakukan penuntut dalam membantu mereka menghasilkan sekali gus menyiapkan sesebuah produk.
“Setelah proses penyelidikan itu selesai, produk akan dipamerkan dan dari sini akan berlaku sesi penilaian untuk mendapatkan kelulusan daripada pensyarah dan pelanggan supaya mereka boleh bergerak ke peringkat seterusnya iaitu proses percetakan.
“Unsur kreativiti dan inovasi yang diterapkan kepada mahasiswa dalam percetakan berfungsi untuk memasarkan produk ke arah pengguna dengan kerjasama daripada syarikat terpilih,” tuturnya lanjut.
Tetradic Printing Technology Market - Oriented Degree Showcase 2023 kali ini bertemakan ‘TETRADIC’ yang bermaksud gabungan empat warna daripada varian khas warna skema iaitu oren, kuning, biru dan ungu.
Satu warna dominan telah dipilih sebagai kemuncak untuk edisi ke-45 ini yang dilihat mempunyai keupayaan mencipta dan menginovasi sesebuah produk cetakan.
Menerusi program ini juga, ia berjaya memperlihatkan para penuntut UiTM Kampus Puncak Alam bersedia menunjukkan kreativiti dan imaginasi untuk produk cetakan masing-masing.
Kemampuan atau daya kreatif juga menjadi matlamat dalam mencapai kejayaan untuk produk cetakan yang dilakukan.
Projek akhir reka bentuk pembungkusan yang mewakili jenama dan bertindak sebagai medium yang boleh digunakan sebagai insentif untuk tujuan pemasaran ini membolehkan peserta terdedah kepada perspektif yang lebih meluas.
Ia sangat membantu penuntut mengaplikasi pelbagai kaedah yang dipelajari sepanjang tiga tahun sebelum melangkah ke alam pekerjaan.
Justeru, diharapkan semua peserta dapat memanfaatkan semua ilmu diperoleh demi membina masa depan yang lebih baik.