Kor Sispa UiTM Shah Alam siap siaga hadapi banjir
Kekerapan banjir yang berlaku di banyak negeri di Malaysia, membuatkan sekumpulan pelajar Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor Sispa), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam menganjurkan Service Learning Malaysia - University for Society (Sulam), baru-baru ini.
Ketua Program, Adzre Naqiudin Mohd Ariffin berkata, seramai 49 mahasiswa menyertainya membabitkan pameran reruai dan aktiviti Kesiapsiagaan Menghadapi Bencana Banjir yang diadakan sempena Karnival Semarak Siswa Madani serta sambutan Hari Sukarelawan Sedunia di Dewan Agong Tuanku Canseleri (DATC) UiTM Shah Alam.
"Tajuk Kesiapsiagaan Menghadapi Bencana Banjir atau tema banjir ini dipilih bertepatan dengan peralihan Monsun Timur Laut serta cuaca yang tidak menentu yang mana hujan yang berterusan berlaku di beberapa lokasi.
"Hal ini secara tidak langsung menyebabkan berlakunya banjir kilat, limpahan air sungai dan paras air naik mendadak," katanya kepada Sinar Bestari.
Adzre Naqiudin berkata, program ini merupakan medium terbaik buat para mahasiswa berkongsi ilmu dan kesedaran mengenai kesiapsiagaan menghadapi banjir.
“Kami lebih memfokuskan persediaan menghadapi banjir itu sendiri, di mana pengunjung didedahkan dengan apa yang perlu mereka lakukan sebelum, semasa dan selepas berlakunya bencana itu,” katanya.
Jelasnya, program itu juga mengingatkan pengunjung supaya menyediakan lebih awal Beg Kecemasan Bencana “Ready-2-Go Bag” yang berisi wang, dokumen penting, lampu suluh, bekalan ubatan peribadi, makanan tin, air botol, wisel dan power bank.
"Ia supaya apabila berlakunya banjir, mereka boleh terus bergerak ke Pusat Pemindahan Semnetara yang telah ditetapkan dengan segera," katanya.
Sementara itu, Jurulatih Kor Sispa UiTM Shah Alam, Lt M (PA) Mohd Naim Baharudin berkata, program ini julung kalinya diadakan secara karnival yang mana para pelajar dikehendaki membuat program bagi berkongsi ilmu mereka bersama masyarakat awam.
“Sebelum ini, program Sulam hanya dilakukan dengan kita pergi melawat ke tempat atau lokasi terpilih seperti rumah anak yatim, tahfiz, surau dan masjid untuk perkongsian ilmu pertahanan awam bersama mereka seperti rawatan awal, balutan, luka dan kepatan serta melawan kebakaran," tambah beliau.