Adik kita tawan puncak gunung!
Selain mempunyai pelbagai keunikan baik dari segi kebudayaan dan kaum, Malaysia juga dihampar lebih 240 gunung serta bukit berketinggian 339 hingga 4,095 meter.
Keadaan itu telah menyaksikan ramai golongan tua atau muda memilih untuk menjalankan aktiviti pendakian sebagai rehat minda (healing) setelah menjalani kehidupan seharian.
Aktiviti mendaki bukan sahaja sesuai untuk meluangkan masa bersama keluarga atau rakan-rakan tetapi ia turut membantu meningkatkan rembesan adrenalin di samping menikmati anugerah alam ciptaan Tuhan.
Tidak melepaskan peluang itu, sembilan pelajar termasuk dua beradik dari Rumah Anak Yatim dan Asnaf As Sakinah, Lok Kawi, Papar, Sabah telah berjaya menawan puncak Gunung Kinabalu baru-baru ini.
Mereka berusia antara 13 hingga 17 tahun itu berjaya menjejakkan kaki ke puncak berketinggian 4,095.2 meter itu sekitar jam 5.50 pagi selepas kira-kira tiga jam pendakian dari tempat penginapan di Laban Rata.
Menurut Norhayati Abdullah, 17, walaupun sedang berhadapan dengan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) namun ia tidak menghalang untuknya menyertai misi menawan Gunung Kinabalu.
"Latihan untuk mendaki gunung dilakukan sejak tiga bulan lalu dan dalam masa sama saya membuat persediaan untuk menghadapi SPM.
"Namun ia langsung tidak menjejaskan masa untuk belajar kerana saya anggap latihan sebagai aktiviti riadah setiap minggu dan Alhamdulillah misi menawan Gunung Kinabalu telah selesai. Jadi bolehlah selepas ini saya menumpukan sepenuh perhatian kepada peperiksaan yang akan bersambung pada 30 Januari ini," katanya kepada Sinar Bestari.
Dia yang merupakan pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tansau, Putatan, Sabah berjaya menawan puncak Kinabalu bersama adiknya Norhafika, 13.
Norhafika berkata, walaupun dia antara termuda dalam misi mereka namun dengan berbekalkan semangat dan sokongan daripada kakak serta rakan-rakannya akhirnya berjaya menempuh segala cabaran.
"Ketika membuat pendakian dari Timpohon Gate, saya bermula dengan perlahan kerana tidak mahu tercedera dan turut mengalami semput kerana keadaan cuaca yang sejuk ketika itu. Saya hanya tiba di tempat penginapan pada jam 7 malam. "Keadaan cuaca agak ekstrim kerana berada pada paras ketinggian yang tidak pernah dijangkakan menyebabkan saya terpaksa menggunakan empat lapis pakaian untuk mengelak terlalu sejuk," katanya.
Namun Norhafika berkata, selepas menghadapi pelbagai halangan dia berjaya juga sampai ke puncak sebelum jam 6 pagi dan menikmati matahari terbit dari Gunung Kinabalu.
Latih tubi
Seorang lagi pelajar yang turut menyertai misi itu, Awang Ahmad Danial Mohd Razif, 16, turut berkongsi tips untuk menaiki gunung tertinggi di Asia Tenggara tersebut.
"Selain latihan joging, saya juga menggunakan kaedah turun naik bangku bagi menguatkan otot lutut di mana ketika mendaki gunung bahagian anggota kaki dan lutut paling banyak main peranan.
"Jadi saya lebihkan latihan pada bahagian kaki sebelum mendaki gunung. Selain itu, saya juga cuba mengawal pernafasan dengan tidak membuka langkah yang besar ketika melakukan pendakian. Alhamdulillah semua yang dilakukan berjaya membawa ke puncak gunung," katanya yang bersekolah di SMK Tansau.
Muhammad Hidayat Ismail, 15, pula, mengakui akan berbeza latihan mendaki bukit dengan realiti mendaki gunung tersebut.
"Daki gunung sudah tentu susah sebab banyak tempat yang curam begitu juga tangganya yang banyak agak mencabar.
"Jadi ketika melalui tangga, saya amalkan satu tangga satu nafas seperti yang diajar sebelum ini. Akhirnya tepat jam 5.50 pagi saya berjaya tiba di puncak Gunung Kinabalu," katanya yang bersekolah di SMK Kinarut.
Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah rumah anak yatim itu, Samin Ongki berkata, ekspedisi itu adalah bertujuan untuk membina keyakinan diri kepada penghuni yang kurang bernasib baik.
"Pelepasan ekspedisi disempurnakan saya sendiri dan ia berjaya dilaksanakan hasil tajaan sepenuhnya daripada orang perseorangan serta dua syarikat lain.
"Saya harap ekspedisi ini dapat memotivasikan putera dan puteri yang tinggal di As Sakinah selain membantu mereka supaya menimba ilmu dengan lebih gigih lagi," katanya.