Mustapha (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada pelajar pada Majlis Semarak Ramadan KPT bersama UiTM Sabah di Kota Kinabalu.
Mustapha (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada pelajar pada Majlis Semarak Ramadan KPT bersama UiTM Sabah di Kota Kinabalu.

3,000 pelajar terima manfaat Dapur HEP sepanjang Ramadan

31 Mar 2024 09:58pm

Kira-kira 3,000 pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Kota Kinabalu menerima manfaat sumbangan yang disalurkan kepada Dapur Hal Ehwal Pelajar (HEP) yang dilaksanakan di universiti tersebut sepanjang Ramadan ini.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud berkata, sumbangan sebanyak RM20,000 diberikan menerusi Pejabat Parlimen Sepanggar kepada Dapur HEP untuk membantu pelajar golongan B40 yang ada di UiTM ini.

"Ia bagi memastikan mereka mendapat makanan dan peralatan yang mencukupi seterusnya melengkapkan Dapur HEP ini. Dapur HEP ini memang sudah wujud cuma untuk Ramadan kita tambah lagi dan mana-mana pihak yang mahu memberi sumbangan.

"Kita pun maklum UiTM ini ramai pelajar dari golongan B40 iaitu kira-kira 3,000 pelajar yang akan mendapat manfaat daripada Dapur HEP.

"Mana-mana pelajar yang rasa mereka tidak mampu, disediakan peralatan dan makanan seperti nasi, makanan tin dan mereka juga boleh memasak sendiri di dapur HEP ini. Untuk Ramadan ini disediakan untuk waktu bersahur dan sungkai (berbuka puasa)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita ketika menghadiri Majlis Semarak Ramadan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bersama UiTM Sabah di sini pada Jumaat.

Mustapha yang juga Ahli Parlimen Sepanggar dalam pada itu turut memaklumkan program tersebut turut diadakan dialog bersama pimpinan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di UiTM.

"Kita mahu melihat apa keutamaan atau isu-isu yang dibangkitkan oleh MPP dan juga mahasiswa di universiti ini.

Artikel Berkaitan:

"Kita juga turut memberi sumbangan kepada beberapa asnaf yang hadir hari ini," katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp