Waktu terbaik bersenam sepanjang Ramadan
Menjalani ibadah puasa dalam bulan Ramadan tidak bermakna guru, pelajar dan orang ramai menolak untuk melakukan aktiviti senaman.
Tahukah anda, bersenam ketika berpuasa tetap dibolehkan asalkan mengikut kaedah yang betul supaya tidak membawa kesan negatif terhadap tahap kesihatan badan masing-masing.
Hari ini, Sinar Bestari kongsikan tiga waktu terbaik yang boleh anda lakukan di bulan mulia ini.
Jom baca!
1) Satu jam sebelum berbuka puasa
Dengan bersenam waktu ini, guru, pelajar dan orang ramai mampu membakar lemak di dalam badan dengan lebih banyak.
Ia kerana, bersenam dengan keadaan perut kosong membantu menjadikan proses pembakaran lebih berkesan.
Setelah bersenam menggunakan sisa tenaga yang dimiliki, anda boleh makan dengan lebih berselera semasa berbuka bagi menggantikan tenaga yang hilang.
Namun diingatkan supaya tidak bersenam berlebihan kerana baki tenaga yang badan anda miliki hanyalah sedikit jika bersenam dalam tempoh tersebut.
2) Dua atau tiga jam selepas berbuka puasa
Waktu ini adalah waktu terbaik melakukan sebarang senaman dan bersukan.
Dalam tempoh ini, badan sudah menghadam makanan yang dimakan ketika berbuka dan bersedia ditukarkan menjadi tenaga bagi disalurkan kepada badan.
3) Selepas waktu sahur
Sahur adalah waktu untuk umat Islam makan dan minum di awal pagi sebelum azan Subuh.
Melakukan senaman pada waktu ini boleh membuatkan badan bertambah cergas dan segar sepanjang hari.
Namun diingatkan senaman pada waktu ini harus dilakukan biasa-biasa sahaja kerana anda perlu menyimpan tenaga untuk aktiviti pada hari tersebut.