Mohd Roslan ketika Program Jom Balik Raya UPM@WAZAN 2023 baru-baru ini.
Mohd Roslan ketika Program Jom Balik Raya UPM@WAZAN 2023 baru-baru ini.

340 mahasiswa asnaf, B40 UPM dapat tajaan balik kampung

NADZARUL AMIR ZAINAL AZAM
19 Apr 2023 11:30am
A
A
A

Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (WAZAN) Universiti Putra Malaysia (UPM) bersama PLUS Malaysia Bhd membantu seramai 340 mahasiswa golongan asnaf dan B40 universiti terbabit untuk pulang beraya ke kampung halaman secara percuma.

Naib Canselor UPM, Datuk Profesor Dr Mohd Roslan Sulaiman berkata, program itu adalah inisiatif universiti bagi membantu meringankan beban kewangan pelajar terutama dalam urusan penyediaan pengangkutan pulang ke kampung sempena Hari Raya Aidilfitri.

“Ini merupakan salah satu wadah untuk warga universiti berkongsi rezeki dengan berzakat dan menyumbang untuk dimanfaatkan kepada pelajar Asnaf UPM dan B40,” katanya dalam kenyataan baru-baru ini.

Dalam pada itu, Pengarah WAZAN UPM, Profesor Madya Dr Mohd Daud Awang berkata, perbelanjaan bagi menjayakan program ini ialah RM29,950 melibatkan 400 pelajar yang dibiayai oleh PLUS Malaysia menerusi sumbangan zakat wakalah kepada WAZAN UPM.

Sebahagian mahasiswa Program Jom Balik Raya UPM@WAZAN 2023.
Sebahagian mahasiswa Program Jom Balik Raya UPM@WAZAN 2023.

Beliau menjelaskan, WAZAN UPM turut mempelbagaikan lagi bentuk-bentuk agihan yang boleh diberikan kepada warga UPM terutamanya dalam kalangan pelajar

"Sebanyak sembilan buah bas digunakan untuk menghantar 340 mahasiswa asnaf dan B40 UPM di beberapa buah negeri di Semenanjung Malaysia iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Johor," ujarnya.

Sementara itu, mahasiswa Bacelor Sains Kimia dengan kepujian, Muhammad Syafi Abdul Malik meluahkan rasa syukur dan gembira dengan inisiatif berkenaan.

"Saya pulang ke kampung halaman pada cuti semester lalu malah panggilan video sentiasa menjadi pengubat rindu untuk 'bertemu' dengan ibu bapa yang berjauhan.

"Terima kasih kepada UPM dan PLUS atas keprihatinan membantu mahasiswa-mahasiswa yang memerlukan terutama di utara dan pantai timur," katanya yang akan pulang ke Kepala Batas, Pulau Pinang.

Artikel Berkaitan:

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok