Zakat pertanian merupakan salah satu daripada jenis harta yang diwajibkan zakat apabila memenuhi syarat-syarat yang telah ditentukan oleh syarak. Gambar kecil: Fatin Nurshazrina.
Zakat pertanian merupakan salah satu daripada jenis harta yang diwajibkan zakat apabila memenuhi syarat-syarat yang telah ditentukan oleh syarak. Gambar kecil: Fatin Nurshazrina.

Kepentingan petani bayar zakat

FATIN NURSHAZRINA AHMAD ZAMRI DAN DR JAHARUDIN PADLI
07 Feb 2024 07:30am
A
A
A

Petani merupakan salah satu profesion terpenting dalam masyarakat.

Mereka bekerja keras untuk menghasilkan makanan untuk orang ramai bagi meneruskan hidup sebagai contoh beras, buah dan sebagainya.

Namun, malangnya terdapat segelintir petani yang enggan membayar zakat yang sepatutnya menjadi kewajipan bagi setiap orang Islam.

“Kenapa zakat itu penting?”

Zakat pertanian merupakan salah satu daripada jenis harta yang diwajibkan zakat apabila memenuhi syarat-syarat yang telah ditentukan oleh syarak.

Di Malaysia, dari segi pengamalannya hanya padi sahaja yang dikenakan zakat pertanian iaitu berdasarkan kepada pandangan mazhab Syafi‘e yang merupakan mazhab rasmi dan utama di Malaysia.

Manakala tanaman-tanaman lain seperti kelapa sawit, getah dan buah-buahan tidak dikenakan zakat pertanian kerana ia dikenakan dalam zakat pendapatan.

Berdasarkan amalan taksiran zakat pertanian terutama tanaman padi di Malaysia yang diletakkan di bawah bidang kuasa negeri, maka terdapat kaedah taksiran yang berbeza antara negeri-negeri.

Artikel Berkaitan:

Zakat merupakan salah satu daripada lima rukun Islam yang diwajibkan bagi setiap muslim yang berkemampuan.

Zakat adalah wajib bagi setiap orang Islam yang mempunyai harta atau harta melebihi nisab (had minimum) selama satu tahun.

Zakat ini kemudiannya akan diberikan kepada mereka yang memerlukan seperti orang miskin, anak yatim, ibu Tunggal dan orang yang berhutang.

Namun, ramai petani enggan membayar zakat atas pelbagai sebab.

Ada di antara mereka merasakan tidak mampu membayar zakat kerana hidup dalam serba kekurangan.

Mereka beranggapan jika sebahagian daripada hasil tuaian mereka disedekahkan kepada zakat, maka mereka akan sukar untuk memenuhi keperluan harian mereka.

Mereka bimbang mereka akan kekurangan stok makanan serta pendapatan yang mereka perolehi.

Selain itu, terdapat juga petani yang merasakan mereka telah memberikan zakat secara tidak langsung melalui sedekah yang mereka lakukan setiap hari.

Mereka beranggapan dengan menyediakan makanan kepada orang yang memerlukan atau menderma kepada masjid dan institusi kebajikan lain, mereka menunaikan kewajipan zakat.

Malangnya tidak, sedekah dan zakat merupakan dua perkara yang berbeza.

Namun, alasan tersebut sebenarnya tidak sah pada pandangan Islam.

Zakat wajib tunaikan

Zakat merupakan kewajipan yang wajib ditunaikan oleh setiap Muslim yang berkemampuan tanpa terkecuali.

Tidak ada sebab untuk mengabaikan kewajipan ini walaupun seseorang merasakan bahawa mereka hidup dalam keadaan serba kekurangan.

Sehubungan dengan itu, dibelenggu dengan ekonomi yang sering menguji kehidupan petani juga boleh menjadi salah satu sebab petani enggan membayar zakat.

“Bagaimana hendak bayar zakat? Makan pun kais pagi, makan pagi, kais petang makan petang, nak makan pun sesak,” keluh seorang petani.

Keadaan kewangan yang sukar disebabkan kegagalan tanaman ataupun tanaman tidak menjadi sudah membuatkan petani sukar memenuhi keperluan hidup apatah lagi membayar zakat.

Lebih 100,000 pesawah kecewa apabila terpaksa berhadapan dengan kelewatan dan eksploitasi harga benih yang tidak berkesudahan, harga benih semakin meningkat, permintaan pula semakin merosot.

Keadaan ini menjadi bebanan kepada petani dari segi kewangan, sehinggakan mereka enggan membayar zakat walaupun sebenarnya mereka mempunyai kemampuan melakukannya.

Namun, terdapat juga kemungkinan petani berasa tidak pasti sama ada zakat yang mereka keluarkan benar-benar sampai kepada golongan yang memerlukan ataupun tidak.

Rasa kesangsian terhadap institusi pengurusan zakat atau merasakan sumbangan mereka tidak akan memberi impak besar kepada masyarakat yang memerlukan sering menjadi asbab petani enggan membayar zakat.

Kejahilan petani terhadap zakat yang perlu dibayar boleh berpunca daripada kurangnya kefahaman tentang konsep zakat dan kepentingan membayar zakat dalam agama Islam.

Mereka mungkin tidak menyedari bahawa zakat adalah satu kewajipan yang wajib ditunaikan apabila sampai nisab yang telah ditentukan sebagai sebahagian daripada ibadah mereka.

Selain itu, mereka juga mungkin tidak faham bahawa zakat mempunyai tujuan untuk membantu meringankan beban orang yang memerlukan termasuk diri mereka sendiri ketika mengalami kesusahan ekonomi.

Kurangnya pendidikan tentang zakat dan bagaimana zakat akan diagihkan juga boleh menyebabkan petani menjadi jahil tentang zakat.

Oleh itu, adalah penting untuk memberikan pemahaman dan pendidikan yang lebih baik kepada petani tentang konsep zakat, tujuan zakat, dan bagaimana zakat akan diagihkan kepada mereka yang memerlukan.

Dengan pemahaman yang lebih baik, diharapkan petani akan lebih bersemangat untuk melaksanakan kewajipan membayar zakat dan yakin sumbangan mereka akan memberi impak yang besar kepada masyarakat yang memerlukan.

Kurang kesedaran

Antara punca petani enggan membayar zakat ialah kurangnya kesedaran terhadap kewajipan sebenar.

Hal ini merujuk kepada tingkah laku petani yang tidak memahami tentang pengiraan zakat sebenar dalam hukum agama.

Kesan daripada keengganan petani untuk membayar zakat akan mengakibatkan ketidakseimbangan dalam masyarakat dan ekonomi.

Hal ini kerana, zakat merupakan satu bentuk kebajikan dan solidariti dalam Islam dimana, jika zakat tidak dibayar dengan sewajarnya, ketidakadilan dan ketidakseimbangan dalam masyarakat akan berlaku.

Di samping itu, ia merupakan satu kaedah penyucian harta dan cara untuk berkati rezeki, maka dengan mengelak daripada membayar zakat, petani mungkin mengalami kesulitan dalam perniagaan.

Oleh itu, golongan asatizah hendaklah memberikan perhatian yang lebih mendalam lagi dalam ilmu penyampaian terutamanya tentang zakat pertanian.

Ketidakpercayaan terhadap kerajaan atau institusi yang bertanggungjawab mengagihkan zakat juga boleh menjadi asas kepada keengganan petani untuk membayar zakat.

Mereka mungkin merasakan kerajaan tidak telus dalam pengurusan dana zakat dan tidak memberikan maklumat yang cukup jelas tentang bagaimana dana zakat akan diagihkan.

Oleh itu, kerajaan perlu meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti dalam pengurusan dana zakat, dan memastikan dana zakat benar-benar diagihkan kepada mereka yang memerlukan dengan sewajarnya dengan cekap.

Justeru, petani akan berasa lebih yakin dan bersemangat untuk membayar zakat sebagai sebahagian daripada kewajipan agama mereka.

Ibadah kepada ALLAH SWT

Sebagai umat Islam, kita harus sedar bahawa zakat adalah sebahagian daripada ibadah kita kepada ALLAH.

Zakat bukan sekadar derma atau sedekah, tetapi merupakan kewajipan yang mesti ditunaikan dengan penuh kesedaran dan tanggungjawab.

Dengan membayar zakat, kita juga menyumbang untuk memerangi kemiskinan dan ketidakadilan sosial dalam masyarakat.

Oleh itu, adalah penting untuk kita memberikan kefahaman yang betul kepada petani tentang kepentingan membayar zakat.

Mereka perlu dididik tentang konsep zakat dalam Islam dan bagaimana zakat boleh menjadi sarana untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Selain itu, kerajaan dan institusi agama juga perlu memberi sokongan dan bantuan kepada petani agar mereka dapat menunaikan kewajipan zakat tanpa mengalami kesulitan.

Dengan cara ini, diharapkan petani dapat memahami kepentingan membayar zakat dan melaksanakannya dengan penuh kesedaran.

Jadi, mereka boleh menjadi contoh yang baik dalam mengamalkan ajaran agama Islam dan menyumbang kepada pembinaan masyarakat yang lebih adil dan makmur.

Maklumat Penulis

1) Mahasiswa Tahun Akhir, Sarjana Muda Ekonomi Sumber Alam, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Fatin Nurshazrina Ahmad Zamri

2) Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, UMT, Jaharudin Padli

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok